Selasa, 12 November 2019 | 11:00am

Aplikasi teknologi lonjak produktiviti

DALAM persekitaran yang dinamik dan berkembang pantas, penggunaan teknologi tinggi dilihat menjadi penyelesaian terbaik bagi syarikat untuk kekal berdaya saing.

Penggunaan automasi menjadi pemacu utama kepada syarikat, terutama berkaitan sektor perkilangan untuk berkembang pantas dalam memenuhi permintaan yang semakin sofistikated, pada masa sama dapat meningkatkan produktiviti negara.

Bagi syarikat berkaitan sektor perkilangan, automasi ternyata amat membantu dalam menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing.

Di samping itu, penggunaan teknologi tinggi juga membantu syarikat menguruskan kos dengan lebih cekap dan berkesan serta menyediakan ruang untuk syarikat berinovasi dalam memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat dan berubah secara pantas.

Justeru, langkah kerajaan menggalakkan syarikat di negara ini, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan teknologi tinggi untuk meningkatkan produktiviti menerusi pelaksanaan Dasar Industri 4.0 atau dikenali Dasar Industry4WRD adalah tepat pada masanya.

Penggunaan teknologi Industri 4.0 mampu meningkatkan produktiviti yang akan menjadi pemangkin ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Malah, penggunaan teknologi Industri 4.0 dengan tepat dan sesuai dengan perkembangan serta hala tuju syarikat juga akan mengukuhkan daya saing mereka, meskipun berdepan persekitaran persaingan yang sengit dan mencabar.

Potensi impak pelaksanaan Industri 4.0 terhadap nilai tambah sektor perkilangan di negara ini juga dijangka lebih tinggi dengan pakar industri mengunjurkan tambahan nilai terhadap sektor perkilangan sebanyak 35 hingga 40 peratus.

Penggunaan teknologi tinggi juga mampu mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan global dan membantu Malaysia beralih daripada industri berintensifkan buruh kos rendah kepada industri berteknologi tinggi.

Bagaimanapun, persoalan kini adalah mengenai kesediaan dan kemampuan syarikat di negara ini untuk menggunakan teknologi Industri 4.0 dalam membawa syarikat mereka ke fasa pertumbuhan selanjutnya.

Dalam dunia yang maklumat boleh diperoleh hanya di hujung jari, tidak mustahil untuk mendapatkan maklumat dengan mudah mengenai Industri 4.0 dan manfaatnya kepada syarikat dalam memetakan hala tuju syarikat ke peringkat pertumbuhan selanjutnya.

Apa yang penting kini dengan maklumat yang diperoleh itu, sejauh manakah syarikat memanfaatkannya dan mengadaptasikan teknologi Industri 4.0 yang tepat untuk mereka maju ke hadapan dengan kukuh.

Dari segi mendapatkan dana untuk menggunakan automasi, kerajaan memang menyediakan bantuan dana kepada syarikat yang layak dan memerlukan.

Apa yang dilihat masih perlu diberi perhatian adalah dari segi bimbingan kepada syarikat, terutama PKS tempatan untuk memilih teknologi yang tepat bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Pemahaman dan gambaran yang jelas mengenai penggunaan teknologi Industri 4.0 yang betul akan membantu PKS merangka strategi pengembangan syarikat yang berkesan dan membantu mereka menguruskan kos operasi dengan lebih baik.

Justeru, selain menyediakan bantuan dana, tumpuan juga harus diberikan dalam memberi bimbingan menerusi kajian kes bagaimana perniagaan dibangunkan dengan bantuan teknologi tinggi kepada syarikat tempatan.

Dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi, inovasi, automasi, kecekapan dan produktiviti akan membantu syarikat menghasilkan produk yang berkualiti pada skala yang besar.

Penyediaan pakej pelaburan yang menarik dan kompetitif di samping persekitaran yang mesra perniagaan juga akan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ia juga akan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat menerusi peningkatan pendapatan dan kualiti hidup terutama golongan berpendapatan rendah, sekali gus menepati objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilaungkan kerajaan.

Penulis adalah wartawan Meja Bisnes Berita Harian.

Berita Harian X