Khamis, 14 November 2019 | 11:00am
Calon BERJASA, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (tengah) bertemu peniaga dan pengunjung ketika berkempen bagi PRK Parlimen Tanjung Piai di pasar malam Taman Utama, Pekan Nenas, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Ke mana hala tuju GAGASAN menjelang PRU-15?

PENYERTAAN Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menerusi presidennya, menambah rencah dalam percaturan politik negara.

Tanpa restu PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), satu lagi parti komponen GAGASAN, BERJASA menegaskan keputusan itu dibuat atas dasar prinsip selain memeriahkan sistem demokrasi di Malaysia.

Bagi BERJASA, kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) wajar ditandingi semula bagi memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam selepas Barisan Nasional (BN) gagal meletakkan calon dalam kalangan kelompok itu.

Untuk rekod, selain Tanjung Piai, BERJASA turut mempertaruhkan calon di Parlimen Selayang, menjadikan parti serpihan PAS itu menyertai PRU-14 dengan bertanding di dua kerusi Parlimen.

GAGASAN dibentuk pada 2016 meletakkan calon di 158 kerusi Parlimen atas tiket PAS pada PRU-14. Dominasi PAS terserlah apabila parti itu bertanding di 155 kerusi, termasuk tiga kerusi - Bentong, Kampar dan Batu Kawan oleh calon Dewan Himpunan Penyokong PAS.

IKATAN pula diberi mandat bertanding di kerusi Parlimen Subang, satu-satunya kerusi ditandingi parti pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Bagaimanapun prestasi GAGASAN kurang menyerlah apabila hanya menang di 18 kerusi Parlimen dengan PAS muncul sebagai satu-satunya parti yang memiliki kerajaan negeri dan pemimpinnya bergelar Yang Berhormat.

Persoalannya, sejauh mana blok kuasa ketiga ini mampu kekal relevan terutama dalam mendepani cabaran politik negara khususnya menghadapi PRU-15, ketika Majlis Presiden GAGASAN didakwa gagal berfungsi sehingga mendedahkan kelemahan organisasi kepada musuh politik.

Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad sebelum ini menyebut BERJASA, IKATAN dan satu lagi parti komponen GAGASAN, Parti Cinta Malaysia (PCM) tidak dipanggil membincangkan isu calon PRK Tanjung Piai, malah isyarat supaya Majlis Presiden GAGASAN berbincang tidak disahut pimpinan PAS.

Sikap acuh tak acuh parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dilihat ramai sebagai cubaan meminggirkan suara rakan komponen. Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam reaksinya menyatakan tiada keperluan untuk dibincangkan kerana sudah dipersetujui menerusi asas muafakat yang lahir selepas PRU lalu, malah diperkukuhkan menerusi piagam Muafakat Nasional yang dimeterai 14 September lalu.

Meskipun piagam itu secara khusus antara PAS dengan UMNO, ia juga ditafsirkan pimpinan pembangkang sebagai simbolik kepada jalinan kerjasama antara GAGASAN dengan BN. Rentetan isu yang terus menjadi polemik mendedahkan GAGASAN hanya sebuah pakatan longgar yang tidak diikat dengan syarat ketat, sebaliknya bersandarkan kepada budi bicara dan moral politik.

Itu penegasan Hadi yang turut diakui pimpinan BERJASA. Dr Kamarul Zaman Yusoff turut menyatakan GAGASAN adalah pakatan longgar bertujuan menampakkan PAS juga ada blok sendiri, biarpun dua parti lain, iaitu IKATAN dan BERJASA, mempunyai peranan sangat minimum.

“GAGASAN tidak mempunyai perjanjian khusus dari segi agihan kerusi, disiplin parti dan sebagainya. Kebanyakan didominasi PAS, termasuk bilangan kerusi yang hampir semua ditandingi oleh parti itu,” katanya.

Jika bersama GAGASAN, PAS memenangi 18 kerusi Parlimen, menerusi Pakatan Rakyat (PR) yang ditubuhkan selepas PRU 2008 pula, PAS menang di 21 daripada 73 kerusi yang ditandingi pada 2013. Bagaimanapun PR akhirnya berkubur pada 2015 kerana perselisihan faham dan konflik antara PAS dengan DAP.

PR kemudiannya digantikan dengan Pakatan Harapan (PH) dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara yang kemudiannya menerima kemasukan parti serpihan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Jika benar, bagaimana bentuk masa depan GAGASAN ketika PAS semakin selesa dengan UMNO?

Penulis khas Meja Rencana dan Politik BH

Berita Harian X