Khamis, 14 November 2019 | 11:00am
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada Tan Sri Lee Lam Thye pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah bersamaan 2019 Masihi baru-baru ini. Turut sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Anugerah suntik semangat berkhidmat untuk masyarakat

SAYA amat terharu apabila terpilih menerima anugerah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah bersamaan 2019 Masihi baru-baru ini.

Menjunjung kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di atas pemilihan saya untuk menerima anugerah istimewa ini.

Saya percaya anugerah ini diberikan atas sumbangan yang saya berikan lebih 45 tahun kepada negara dan masyarakat. Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana gementar perasaan apabila pihak JAKIM menghubungi saya untuk memaklumkan hasrat mereka memberikan anugerah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

Perasaan keterujaan turut menyelubungi hati saya kerana sebagai seorang bukan Islam, tidak pernah terlintas di fikiran bahawa saya akan terpilih menerima anugerah yang amat penting bagi umat Islam itu.

Namun, saya akhirnya bersetuju menerima anugerah itu apabila rakan, terutama beragama Islam, memberikan sokongan dan berkata saya layak menerima anugerah itu atas sumbangan diberikan kepada masyarakat selama ini.

Sambutan Maulidur Rasul juga amat signifikan kerana ia memuliakan keputeraan Nabi Muhammad yang seharusnya menjadi contoh kepada semua insan kerana mengamalkan dan mempromosi sifat terpuji seperti amanah, berbudi bahasa dan menghormati penganut agama lain.

Dalam kerangka negara majmuk, pendekatan sebegini mampu meningkatkan perpaduan dan menjamin keharmonian secara berterusan. Ia juga mampu mengatasi sikap ekstrem yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan kaum.

Dalam soal keselamatan di sekolah tahfiz, saya mula membangkitkan perkara ini apabila program keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di sekolah mendapat sambutan menggalakkan.

Apabila berlaku insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat pada 14 September, 2017, saya mengambil peluang itu untuk membangkitkan isu keselamatan di sekolah tahfiz seluruh negara.

Dalam insiden yang berlaku pada pukul 5.15 pagi itu, 21 pelajar dan dua guru terbunuh apabila mereka terperangkap di tingkat tiga asrama yang terbakar. Seperti yang kita sedia maklum, kejadian itu juga bukanlah yang pertama meragut nyawa di sekolah agama kerana pada 22 September 1989, Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai ‘Pondok Pak Ya’ di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah turut terbakar yang mengorbankan dua puluh tujuh pelajar perempuan.

Selepas kejadian di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) membangunkan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan di institusi pendidikan agama yang dikenali sebagai KKP untuk Sekolah Tahfiz serta menerbitkan buku panduan berkaitan.

Saya amat mengambil berat soal keselamatan dan sangat berbesar hati apabila dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan sekolah tahfiz ketika menjadi Pengerusi NIOSH sebelum ini.

Sepanjang berkhidmat untuk masyarakat, saya sering menganggap diri saya sebagai warga Malaysia yang memberikan perkhidmatan dan bantuan kepada orang ramai tanpa mengambil kira latar belakang agama dan bangsa.

Saya buta warna dalam memberi khidmat kepada masyarakat. Saya akan meneruskan usaha mempromosi aspek keselamatan di setiap lapisan masyarakat dan akan terus berkhidmat untuk orang ramai.

Sesungguhnya anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan itu memberi suntikan semangat untuk saya terus berkhidmat terutamanya menerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) yang saya tubuhkan bersama rakan yang mengambil berat aspek keselamatan dan kesihatan komuniti.

Melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ikatan Komuniti Selamat, saya akan terus menyumbang kepada masyarakat, termasuk meningkatkan tahap keselamatan di sekolah agama dan pusat tahfiz memandangkan masih banyak kes kemalangan yang berlaku.

Melalui pertubuhan ini, saya akan menggembleng tenaga pakar bersama-sama menyampaikan ilmu dan pengalaman kepada pengendali institusi tahfiz di negara ini kerana percaya kita perlu memastikan tempat belajar dan tinggal yang selamat untuk anak yang tidak berdosa.

Penulis adalah aktivis masyarakat

Berita Harian X