Isnin, 2 Disember 2019 | 11:01am
Ibu bapa perlu memantau anak ketika musim banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. - Foto hiasan/BERNAMA

Pantau anak elak tragedi musim banjir

Saban tahun masyarakat terutama di negeri Pantai Timur pasti berdepan banjir dek kedatangan musim tengkujuh yang melanda negara ini. Bencana alam ini yang berlaku pada setiap hujung tahun menjadi topik utama diperkatakan orang ramai ekoran memberi impak besar bukan sahaja terhadap kehidupan seharian ‘mangsa’, tetapi juga kemudaratan terhadap harta benda dan risiko kepada diri.

Setiap kali musim banjir, kita turut mendengar dan membaca artikel dipaparkan media mengenai kisah sedih akibat kehilangan nyawa disebabkan lemas atau insiden. Bagaimanapun, jika diteliti punca kejadian itu, kebanyakannya disebabkan kurang kesedaran dan sikap individu memandang enteng aspek keselamatan.


Sukarelawan bersama jabatan agensi keselamatan bergotong royong membersihkan ruang kelas yang dipenuhi lumpur akibat banjir di SK Lubuk Periuk, Hulu Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori

Sebagai contoh, baru-baru ini tular rakaman video sekumpulan kanak-kanak menjadikan longkang sebagai tempat permainan ketika hujan walaupun di sebalik tawa, mereka tidak sedar perbuatan dilakukan itu boleh mengundang bahaya besar.

Dalam video berkenaan kelihatan beberapa kanak-kanak riang menahan arus deras di longkang terbabit untuk membolehkan mereka menggelongsor di laluan saluran itu. Biarpun tiada insiden menimpa mereka, bayangkan sekiranya penahan kaki yang digunakan kanak-kanak terbabit patah atau terlepas daripada sasaran, kemungkinan dia akan dibawa arus sehingga ke empangan atau tadahan hujan lebih besar.

Ibarat pepatah ‘menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada guna.’ Sekiranya kanak-kanak terbabit berdepan insiden lemas, pastinya mengundang pilu tidak berpenghujung. Justeru, aspek keselamatan perlu diberi perhatian dan bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi lebih penting harus dititikberatkan di rumah dan sekolah.


Mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Banggol Peradong, Kuala Terengganu mendapat rawatan. - NSTP/Norizuan Shamsuddin

Ibu bapa perlu memainkan peranan penting memantau pergerakan anak mereka setiap masa, terutama ketika musim banjir bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku. Sikap mengambil tahu dan memantau pergerakan anak tidak bermaksud mengehadkan aktiviti atau ‘mencabuli’ hak kebebasan kanak-kanak, tetapi bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Pada peringkat sekolah mungkin lebih membantu sekiranya diwujudkan silibus ringkas setiap minggu berhubung kepentingan menjaga keselamatan diri sepanjang masa. Silibus ini boleh merangkumi topik keselamatan secara umum seperti langkah perlu diambil dan dielakkan ketika berdepan bencana, termasuk banjir.

Pendedahan dan pendidikan sejak kecil pasti sedikit sebanyak mampu menerapkan nilai sivik dalam kalangan masyarakat, terutama kanak-kanak mengenai tindakan wajar dilakukan terhadap orang lain serta diri sendiri, termasuk ketika berdepan banjir.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada akhir tahun lalu merekodkan lebih 300 kematian akibat lemas, termasuk disebabkan banjir di seluruh negara.


Kawasan kampung di Jalan lama Pasir Mas-Jeram Perdah di Rantau Panjang, Kelantan. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Terbaru, banjir yang melanda Terengganu dan Kelantan pada akhir November dilaporkan bertambah serius sehingga memerlukan penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mengelakkan mereka berdepan bahaya.

Sehubungan itu, saya berharap penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, selain peka dengan perubahan cuaca semasa dan mengikuti perkembangan terkini banjir di saluran maklumat sah.

Penulis adalah wartawan Meja Am Berita Harian

Berita Harian X