Khamis, 5 Disember 2019 | 11:00am
ANWAR bertemu Azmin selepas mesyuarat Biro Politik PKR di Bangunan Parlimen, semalam.

Pertemuan Azmin, Anwar henti kemelut dalaman parti

KIRA-KIRA sejam sebelum Maghrib semalam, sosok Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelihatan di bangunan Parlimen sambil diiringi ‘pasukannya’ daripada kalangan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bersama beberapa pemimpin PKR lain seperti Zuraida Kamaruddin, R Sivarasa, Tian Chua, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Amirudin Shari, pantas dihampiri media kerana pada waktu berkenaan juga, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut ada di lokasi sama.

Tumpuan media terarah kepadanya kerana kira-kira sebulan lalu, jemputan untuk beliau merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR di Melaka dibatalkan, membelakangkan tradisi diamalkan parti itu sejak bertahun lalu.

Jangkaan media tidak salah kerana ketika ditanya mengenai kehadirannya, Mohamed Azmin memaklumkan beliau mahu berjumpa dan berbincang dengan Anwar, termasuk bagi menyatakan komitmen menghadiri Kongres Nasional PKR ke-14 di Negeri Bersejarah yang bermula malam ini.

“Saya akan berikan kenyataan rasmi setelah saya dan rakan-rakan yang dipilih dalam kongres (MPP) bertemu dengan Presiden," katanya ringkas sebelum berlalu pergi.

Kira-kira dua jam kemudian, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil bertemu wakil media dan memaklumkan bahawa mesyuarat MPP parti itu yang dipengerusikan Anwar dan turut dihadiri Mohamed Azmin, mencapai kata sepakat bahawa Timbalan Presiden parti akan merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR, malam ini.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan PKR kekal dengan tradisinya, iaitu Timbalan Presiden merasmikan persidangan kedua-dua sayap parti berusia 20 tahun terbabit pada Kongres Nasionalnya.

Kata Fahmi lagi, mesyuarat sama juga memutuskan majlis penutup kongres kedua-dua sayap akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perkembangan berkenaan sekali gus menyaksikan kontroversi pembatalan jemputan kepada Mohamed Azmin bagi merasmikan Kongres AMK seperti diumumkan ketua sayap berkenaan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada 13 November lalu, sudah bernoktah.

Ia juga menamatkan ‘perang mulut’ di antara Akmal Nasrullah dengan Timbalannya, Muhammad Hilman Idham yang bertegas mahu Mohamed Azmin merasmikan kongres sayap berkenaan, bukannya oleh Dr Wan Azizah.

Bantahan Muhammad Hilman turut mendapat sokongan sebahagian besar atau 20 daripada 25 anggota kepemimpinan pusat sayap PKR itu yang menang pada pemilihan lalu.

Untuk rekod, kepemimpinan pusat AMK mengandungi 43 anggota dengan 25 daripada mereka dipilih menerusi pengundian, manakala 18 lagi mengisi jawatan lantikan.

Rentetan kontroversi yang tercetus, tersebar khabar bahawa kumpulan dikaitkan dengan Mohamed Azmin merancang satu himpunan berasingan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung di Melaka, namun kini tidak diketahui bagaimana statusnya.

Berikutan perkembangan terbaru semalam, Akmal Nasrullah ketika ditemui media, memaklumkan Mohamed Azmin dan ‘pasukannya’ menyatakan komitmen untuk menghadiri kongres parti di Melaka.

Muhammad Hilman dalam reaksinya pula menyatakan penghargaan kepada usaha kepemimpinan parti menyelesaikan kemelut terbabit, sekali gus mengembalikan tradisi serta konvensyen parti yang menyaksikan Timbalan Presiden merasmikan kongres AMK dan Wanita.

Perkembangan itu juga menunjukkan kepemimpinan PKR bersetuju dengan desakan 21 Ahli AMK yang membantah keputusan membelakangi tradisi dibuat Akmal Nasrullah.

Difahamkan, selain akur Mohamed Azmin merasmikan kongres dua sayap berkenaan, Anwar turut bersetuju supaya daripada 20 pembahas pada kongres nasional PKR, 10 adalah dari kem timbalannya itu.

Penulis adalah Pengarang Berita Kanan BH

Berita Harian X