Jumaat, 6 Disember 2019 | 8:01am
Anwar dan Azmin mengadakan pertemuan di bangunan Parlimen, petang kelmarin.

Sejauh mana perbalahan dalam PKR berakhir?

KETIKA diajukan soalan mengenai perbalahan dalaman PKR dalam satu pertemuan di pejabatnya di Parlimen pagi Selasa lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tenang menjawab yang beliau tidak mahu campur tangan, apatah lagi sebagai ‘pendamai’ bagi mendamaikan kem Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pendekatan kali ini sudah jauh berbeza. Ketika menjadi Perdana Menteri keempat sebelum ini, Dr Mahathir pernah menghantar Tun Abdul Ghafar Baba sebagai pendamai bagi menyelesaikan kemelut dalam MCA pada 1980-an.

Ghafar yang pernah digelar sebagai ‘Presiden sementara’ MCA berjaya menyelesaikan krisis kepemimpinan selama 14 bulan, di antara Datuk Neo Yee Pan dan Tan Koon Swan dari 1984 hingga 1985. Ketika itu dan dua dekad kemudiannya, MCA adalah parti kedua terkuat selepas UMNO dalam Barisan Nasional (BN).

Selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada Mei 2018, PKR menjadi parti terkuat dalam kerajaan dengan 50 kerusi, diikuti DAP (42), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 14, Parti Amanah Negara (AMANAH) 11, selain Parti Warisan Sabah (9) dan satu UPKO.

Dalam temuramah eksklusif dengan BH, Dr Mahathir mengakui yang beliau tiada kemampuan untuk bertindak sebagai ‘pendamai’ bagi menjernihkan perbalahan antara Anwar dan Azmin.

“Saya tak ada kemampuan itu (jadi pendamai), saya dapati walaupun dalam pekerjaan ni mereka terima saya sebagai PM, tetapi tak terima saya sebagai pendamai kepada orang lain.. itu dia punya hal la,” katanya.

Dalam sejarah politik negara ini, rasanya tiada parti yang tidak mengalami keretakan dan lazimnya perpecahan itu berakhir dengan penubuhan parti baharu. Misalnya, PAS ditubuhkan pada 1951 oleh golongan ulama dalam UMNO (ditubuhkan pada 1946).

Bila UMNO berpecah lagi, Parti Melayu Semangat 46 atau Semangat 46 ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 1988, selepas tewas dalam pemilihan dengan Dr Mahathir. Parti itu sudah berkubur.

PAS pun turut berpecah apabila sekumpulan pemimpinnya diketuai Mohamad Sabu keluar dan menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH), yang dilancarkan pada 16 September 2015.

Begitu juga dengan PKR, yang lahir berikutan gerakan reformasi selepas Anwar dipecat daripada UMNO pada 2 September 1998. Ketika itu, Anwar adalah Timbalan Presiden UMNO.

Kini, PKR melakar sejarah politik negara dengan cara tersendiri. Perbalahan yang diuar-uarkan bakal berlaku pada Kongres Nasionalnya di Melaka bermula malam tadi, nampaknya reda sedikit selepas kedua-dua kumpulan mengadakan pertemuan di bangunan Parlimen, petang kelmarin.

Dua syarat menjadi inti pati damai antara dua pihak, iaitu Azmin merasmikan serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di Melaka, yang diadakan malam tadi. Kedua ialah persetujuan untuk memberi ruang kepada 10 pembahas masing-masing dari kem Anwar dan Azmin pada kemuncak kongres itu, esok.

Persetujuan itu sekali gus turut membabitkan pembatalan penganjuran perhimpunan yang dinamakan sebagai ‘Rapat Keadilan Perjuangan’ serta bertemakan ‘Kembali Ke Landasan Reformasi’ yang dirancangkan oleh kumpulan Azmin di ibu negara, pada esok dan lusa.

Bagaimanapun, persoalan yang timbul sekarang ini ialah apakah krisis dalaman PKR itu benar-benar sudah berakhir? Apakah wujud usaha mewujudkan parti baharu seperti berlaku kepada UMNO dan PAS sebelum ini?

Oleh itu, kongres PKR kali ini menarik perhatian ramai, terutama mesej dalam perbahasan perwakilan dari seluruh negara, selain ucapan Anwar dan Azmin, apabila masing-masing menggulung perbahasan pada akhir kongres Ahad ini.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Rencana & Politik BH

Berita Harian X