Ahad, 8 Disember 2019 | 11:00am

Isu kesihatan jangan sampai beban rakyat

DALAM tempoh kurang dua minggu ini, dua keputusan besar dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) yang menyentuh mengenai perkhidmatan kesihatan negara, iaitu cadangan pindaan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Akta Racun 1952 dan pemansuhan fi perundingan klinik perubatan serta pergigian swasta.

Kedua-duanya mempunyai impak besar terhadap pengamal perubatan swasta, industri farmasi dan rakyat yang menjadi pelanggan mereka. Cadangan pindaan Akta Racun 1952 dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada 25 November lalu dan jika diluluskan mewajibkan pengamal perubatan berdaftar mengeluarkan preskripsi jika diminta pesakit.

Ini bererti pelanggan mempunyai pilihan sama ada mahu mengambil ubat di klinik tempat mereka mendapatkan rawatan atau meminta preskripsi daripada pengamal perubatan untuk mendapatkan ubat di farmasi berdaftar.

RUU itu turut memperuntukkan denda RM3,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya, sekiranya mereka enggan memberikan slip preskripsi apabila diminta pesakit. Kesannya, pesakit ada pilihan untuk membeli ubat di klinik atau di farmasi.

Ini berikutan, banyak aduan sebelum ini ubat di klinik swasta lebih mahal berbanding harga di farmasi. Cadangan pindaan itu bagaimanapun ditentang habis-habisan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr N Ganabaskaran, mendakwa ada agenda tersembunyi di sebalik cadangan pindaan itu, selain mendedahkan KKM tidak pernah mengadakan perbincangan dengan pihaknya berhubung pindaan berkenaan.

Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) seperti dijangka menyokong pindaan itu atas alasan pesakit perlu diberi pilihan untuk mendapatkan ubat-ubatan mereka, selain sudah tentu ia akan meningkatkan pendapatan farmasi swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan cadangan pindaan RUU Akta Racun tidak menyekat pengamal perubatan berdaftar membekalkan ubat kepada pesakit sekiranya memilih mengambil ubat di fasiliti seperti amalan sekarang, namun mandatori untuk memberi preskripsi jika diminta pesakit.

Akta Racun 1952 memperuntukkan seorang pengamal perubatan berdaftar, pengamal pergigian berdaftar atau pegawai veterinar boleh membekalkan racun (ubat) untuk tujuan rawatan pesakit atau pelanggan mereka.

Bagaimanapun, bacaan kali kedua dan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019 yang dijadualkan minggu lalu ditangguhkan ke sesi persidangan akan datang yang sudah tentu memberi ruang untuk MMA untuk terus berhujah kes mereka.

Dalam satu lagi isu, Kabinet kelmarin memutuskan untuk memansuhkan kawalan terhadap fi perundingan klinik perubatan dan pergigian swasta yang sudah membawa berita gembira untuk lebih 7,000 pengamal perubatan am.

Dr Dzulkefly berkata, keputusan dibuat secara holistik dan komprehensif dengan mengambil kira saranan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara untuk mengharmonikan kadar fi perundingan klinik perubatan dan pergigian swasta.

Kesannya, fi perundingan pegawai perubatan dan pergigian swasta kini ditentukan oleh pasaran. Pesakit sebagai pelanggan boleh memilih klinik yang menawarkan fi terendah. Walaupun pada dasarnya keputusan itu berniat baik dan bagus untuk rakyat, ada pandangan seperti dihujah Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) bahawa perlu ada kadar siling untuk fi perundingan berikutan kebimbangan pengamal perubatan mengambil peluang ini dan bersekongkol untuk menetapkan kadar tinggi sehingga membebankan rakyat.

Pegawai perubatan swasta sudah berpuluh tahun memperjuangkan untuk penyelarasan fi perundingan yang dikenakan klinik dan hospital swasta. Fi perundingan dikenakan pegawai perubatan di hospital swasta didakwa tinggi berbanding di klinik persendirian walaupun kelayakan mereka sama.

Fi perundingan ini bagaimanapun tidak membabitkan pakar perubatan kerana tertakluk kepada jadual fi mereka tersendiri. Sebelum ini, kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor swasta dicadang dinaikkan antara RM35 hingga RM125 daripada RM10 hingga RM35, yang tidak disemak lebih 12 tahun.

Kerajaan perlu berhati-hati dalam mengendalikan kedua-dua isu berkaitan kesihatan ini kerana ia membabitkan bukan sahaja nasib pengamal perubatan, pergigian dan farmasi, tapi jutaan rakyat yang berharap kesihatan tidak menjadi alat politik atau agenda mana-mana pihak berkepentingan.

Jangan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak, pastikan perkhidmatan kesihatan terus dapat dinikmati dengan kos yang munasabah dan tidak membebankan rakyat.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Berita & Digital BH

Berita Harian X