Rabu, 11 Disember 2019 | 11:00am
Gambar fail, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) bersalaman bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua dari kiri) sambil diperhatikan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) pada Kongres Nasional Keadilan ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, 7 Disember lalu. - Foto Rasul Azli Samad

Krisis PKR 'ditelan mati emak, diluah mati bapak'

‘Lawan bukan dengan kawan’. Itu adalah antara peringatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan ucapan dasarnya yang pertama sebagai Presiden dalam Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Sabtu lalu.

Begitu pun, parti berusia 20 tahun yang ditubuhkan dengan semangat reformasi, kini berdepan krisis dan konflik khususnya antara beliau dengan kumpulan diketuai Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mungkin Anwar tidak menyangka laungan ‘lawan tetap lawan’ yang beliau cetuskan dalam gerakan reformasi selama ini dilihat seperti ‘senjata makan tuan’ apabila pemimpin PKR kini ‘berlawan’ sesama sendiri yang juga ‘rakan seperjuangan’.

Sambutan dua dekad PKR yang sepatutnya diraikan dengan penuh kemasyhuran khususnya apabila berjaya menjadi parti pemerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu, kini dilihat bertukar menjadi ‘musibah’.

Di manakah silapnya? Inilah yang dibangkitkan Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang mempersoalkan kenapa pemimpin parti itu bergaduh ketika meraikan ulang tahun penubuhan parti ke-20 tahun.

Melihat konflik antara Anwar dengan Mohamed Azmin ketika ini, hala tuju bahtera PKR dijangka akan terus terumbang-ambing yang bukan sahaja boleh menggugat kesepaduan parti, bahkan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

Jika melihat kepada jawapan Anwar apabila diajukan persoalan mengenai tingkah laku ditunjukkan ‘anak didiknya’ itu, termasuk adakah perlu dipecat daripada parti, ternyata Ahli Parlimen Port Dickson itu masih memberi ruang dan peluang kepada Mohamed Azmin dan kumpulannya untuk berunding serta berdamai demi menjaga perpaduan parti.

Sambil tersenyum, Anwar pada hari akhir Kongres Nasional PKR mengungkapkan: “Kita semua kawan-kawan. Jika ada masalah kita boleh berunding”. Soalnya kini, bagaimana rundingan dan perdamaian ini mampu direalisasikan.

Mungkin ada beberapa cara untuk menamatkan krisis ini dan tindakan memecat pemimpin PKR yang tidak mampu lagi untuk ‘seiring dan sejalan’ dengan kepemimpinan tertinggi parti adalah pilihan terbaik setakat ini.

Soalnya adakah Anwar sanggup menanggung harga yang mahal membuat keputusan berani memecat Mohamed Azmin dan rakannya yang bukan lagi berada dalam kelompok ‘teman sejati’ dalam PKR.

Memecat Mohamed Azmin dan rakannya akan memberi implikasi kepada PKR, sama ada dalam Pakatan Harapan (PH) atau kerajaan. Memecat Mohamed Azmin dan rakannya bermakna akan melemahkan pengaruh PKR dalam PH yang ketika ini memiliki 50 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, sekali gus mempengaruhi pelan peralihan kuasa untuk beliau diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden PKR itu sudah pasti tidak mahu pelan peralihan kuasa yang dimeterai dalam perjanjian PH gagal. Beliau juga sudah tentu tidak mahu menjadi punca kepada kegagalan peralihan kuasa itu. Namun, apa pilihan yang ada pada Anwar?

Atas sebab itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua mengingatkan ahli dan kepemimpinan tertinggi PKR supaya tidak terlalu taasub dengan agenda mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan, sebaliknya harus mengutamakan juga agenda reformasi dan perjuangan membela nasib rakyat.

Sekiranya Anwar memilih untuk berdamai pula dengan Mohamed Azmin, sudah tentu banyak perkiraan yang harus ditangani oleh beliau termasuk ‘menjawab’ penyokongnya selama ini yang berjuang untuk mengangkat beliau segera menggantikan Dr Mahathir.

Namun, dapat dilihat berdamai seperti bukan satu pilihan utama bagi Anwar, tambahan pula beliau ketika ini berdepan dakwaan salah laku seksual terhadap bekas penganalisis sukarelawan beliau, Muhammad Yusuff Rawther.

Ini yang dibangkitkan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin apabila ditanya adakah kedua-dua pihak harus mencari jalan berdamai bagi menamatkan sengketa. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mendakwa, Anwar kini sedang berdepan masalah peribadi, maka lebih wajar bagi Presiden PKR itu menyelesaikan masalah itu berbanding mencari jalan berdamai dengan Mohamed Azmin.

Kenyataan Zuraida yang menasihatkan Anwar supaya menyelesaikan terlebih dahulu masalah peribadinya berbanding berusaha untuk berdamai dengan Mohamed Azmin menunjukkan kumpulan Timbalan Presiden PKR itu sebenarnya memang menolak sebarang usaha ke arah perdamaian.

Bermakna, pihak Anwar kini sedang berada dalam persimpangan dilema. Mendepani penentangan daripada Mohamed Azmin menjadikan apa juga keputusan mahu dibuat Anwar ibarat ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’.

Mungkin, selain menghayati lagu Teman Sejati dendangan Yasin Sulaiman, PKR juga perlu menghayati lagu Semangat Perjuangan Harmoni daripada kumpulan XPDC yang liriknya seolah-olah menceritakan keadaan berlaku dalam parti itu.

Penulis Khas Meja Rencana dan Politik BH

Berita Harian X