Rabu, 8 Januari 2020 | 11:00am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Peranan wakaf dalam pelbagai keperluan kehidupan

PERSATUAN Ibu bapa dan Guru (PIBG) dicadang memainkan peranan signifikan membantu pihak sekolah dengan memperkenalkan skim wakaf tunai.

Melaluinya, ibu bapa dan guru serta masyarakat setempat boleh bersama-sama melakukan amal jariah untuk membantu meringankan bebanan kerajaan yang selalunya berbelanja besar untuk bajet pendidikan.

Dana wakaf terkumpul boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan pembiayaan pendidikan termasuk pembinaan kemudahan untuk pelajar dan biasiswa kepada pelajar daif.

Daripada hanya yuran PIBG yang biasa dibayar setiap kali sesi persekolahan baharu dibuka, ibu bapa boleh melakukan amal jariah yang pahalanya berkekalan hingga kiamat dengan menyumbang kepada skim wakaf tunai di sekolah.

Boleh jadi dengan cara ini masyarakat tertarik menyumbang lebih banyak wang ringgit daripada sekadar membayar yuran demi beroleh ganjaran berlipat kali ganda.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila mati anak Adam maka terputus segala amalan di dunia melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya” (Hadis riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis ini pewakaf yang berwakaf untuk sekolah dan mana-mana institusi pendidikan diharap beroleh ganjaran pahala berpanjangan daripada ketiga-tiga kategori sekali gus.

Justeru, apa lagi yang lebih diharapkan daripada semua itu, terutama ketika seseorang bersendirian di alam barzakh dan tiada sesiapa dapat menolongnya kecuali amal jariah wakaf yang diusahakan semasa hidup.

Melalui dana wakaf tunai dikumpulkan sama ada daripada sumber yuran ataupun sumbangan atas nama wakaf tunai oleh ibu bapa, guru, syarikat korporat, usahawan mahupun hartawan, dapat digunakan untuk pelbagai keperluan sekolah.

Menurut Syed Ghazali Wafa dalam konteks pendidikan di sekolah, sedekah wakaf dapat memenuhi tiga keperluan teras iaitu pembangunan sekolah dan kemudahannya, menampung kos operasi harian sekolah dan aktiviti kecemerlangan akademik, sahsiah dan kepemimpinan pelajar dan guru.

Ibu bapa juga boleh memainkan peranan dengan mewakafkan buku persekolahan anak yang tidak lagi digunakan agar dapat dipinjam pelajar tidak berkemampuan. Dalam hal ini perpustakaan sekolah boleh menjadi orang tengah, agar dapat menjaga kelangsungan buku hingga dapat dipinjam dari semasa ke semasa.

Jika ada pakaian sekolah yang masih boleh digunakan ataupun untuk aktiviti kokurikulum yang masih elok, boleh juga diwakafkan kepada pihak sekolah.

Melalui skim wakaf buku juga, PIBG dengan kerjasama perpustakaan sekolah boleh memperkenalkan skim wakaf satu murid satu buku. Dengan cara ini naskhah buku terkumpul di sekolah akan bertambah dari setahun ke setahun sehingga manfaatnya bukan sahaja dinikmati pelajar, tetapi masyarakat setempat.

Ini dapat membantu perpustakaan sekolah yang mungkin menghadapi masalah kewangan untuk membeli buku baharu sekali gus menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat.

Masyarakat harus memahami peranan wakaf tidak sekadar mewakafkan tanah untuk tujuan khusus seperti pembinaan masjid semata-mata, atau terhad kepada tanah wakaf untuk perkuburan, madrasah dan pusat tahfiz.

Apa sahaja sumbangan berbentuk kehartaan yang manfaatnya dapat digunakan zaman berzaman, boleh dinilai sebagai sedekah jariah ataupun wakaf. Malah, sumbangan wakaf molek diperluaskan kepada pelbagai keperluan kehidupan sejagat agar kegemilangan wakaf dapat disuburkan semula pada masa kini.

Yang jelas, peranan wakaf dalam kehidupan manusia sangat signifikan, sehingga kajian Dr Razali Othman, menggambarkan bagaimana seseorang dilahirkan di rumah wakaf, tidur dalam buaian wakaf, makan dan minum daripada harta wakaf, membaca buku yang diwakafkan, belajar di sekolah wakaf, menerima gaji daripada sumber wakaf dan kesudahannya mati diletakkan dalam keranda wakaf dan dikebumikan di perkuburan wakaf.

Justeru tepuk dada tanya iman.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA Pasir Gudang, Johor.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X