Khamis, 9 Januari 2020 | 11:00am

Bantu pendidikan negara, jangan asyik kritik

Kita kini berada pada 2020 - tahun di mana satu ketika dahulu wawasan negara ditetapkan bagi mencapai status negara maju sepenuhnya.

Dizahirkan Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Keenam pada 1991, Wawasan 2020 meletakkan status negara maju bukan sahaja dalam bidang ekonomi, tetapi politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta perpaduan nasional.

Teras kepada keupayaan negara mencapai Wawasan 2020 adalah melalui pendidikan berterusan, seperti aspirasi Falsafah Pendidikan Negara (FPN) diperkenalkan pada 1988 dan ditambah baik menjadi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) pada 1993.

Bagi merealisasikan FPK, Kurikulum Baharu Sekolah Rendah dilaksanakan sejak 1982 diubah kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) pada 1993. Penyemakan semula kurikulum penting bagi memastikan ia relevan merentas masa.

Konsep bersepadu menjadi asas kurikulum supaya pengetahuan, kemahiran dan nilai diintegrasi dalam pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Dalam kandungan KBSR diintergrasikan supaya ada kesepaduan.

KBSR ini menggabung jalin kemahiran dalam penyerapan ilmu dan nilai diterapkan secara berterusan dalam PdP. Hasil kesepaduan teori dan praktis ini memberi peluang kepada murid memperoleh dan merasai pengalaman hidup seperti menyelesaikan masalah, berkomunikasi dan bertukar pendapat, membina persefahaman dalam pergaulan dan memupuk semangat kerja antara satu sama lain.

Transformasi kurikulum dan pelaksanaan dalam sistem pendidikan negara sentiasa mengambil kira perkembangan sains dan teknologi dunia serta keperluan pada masa akan datang.

Ketika berlaku ledakan teknologi maklumat sekitar 1990-an melalui internet, Kementerian Pendidikan mengorak langkah melaksanakan inisiatif Sekolah Bestari atau The Smart School Initiative, satu institusi pembelajaran yang direkayasa secara sistematik dalam amalan PdP dan pengurusan bagi menyediakan murid berfungsi dengan jaya ketika era teknologi maklumat.

Inisiatif ini juga satu daripada program flagship Multimedia Super Corridor (MSC) yang dilaksanakan kerajaan bagi memacu objektif Wawasan 2020 dan membangunkan masyarakat berasaskan pengetahuan, berkemahiran dan mempunyai nilai tinggi, berdasarkan acuan kita sendiri.

Perkembangan teknologi dunia yang begitu pesat selepas 2000, menuntut sistem pendidikan negara bergerak lebih pantas agar murid lebih bersedia mendepani ketidaktentuan masa hadapan.

Misi nasional pada waktu itu memberi penekanan tinggi ke atas pembangunan modal insan ‘Minda Kelas Pertama’ sebagai pendekatan utama bagi negara melonjak ke status negara maju.

Kerajaan menetapkan lima teras utama untuk menjayakan misi nasional ini dan peranan pendidikan amat penting terutama bagi Teras 2 iaitu - Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’.

Selaras misi ini dan perubahan dunia, dalam fasa 15 tahun kedua ke arah mencapai Wawasan 2020, kementerian melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006–2010 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025.

Jelas usaha dijalankan Kementerian Pendidikan seiring visi kerajaan dan selaras perubahan berlaku pada peringkat global. Namun, kita perlu menerima hakikat pelaksanaan inisiatif pendidikan ini berdepan pelbagai cabaran yang menjejaskan pencapaian seperti dihasratkan.

Kesan paling ketara apabila sistem pendidikan negara ditanda aras dengan pentaksiran antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS). Malaysia tidak berada dalam kelompok satu pertiga teratas negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia.

Kementerian Pendidikan dengan telus menyatakan dalam naskhah PPPM 2013-2025 sebab berlaku fenomena ini dan menggariskan pelan strategik untuk meningkatkan kualiti pendidikan.

Tidak cukup dengan itu, pemantauan pelaksanaan inisiatif di bawah PPPM 2013–2025 juga dilaporkan secara tekal melalui Laporan Tahunan PPPM setiap tahun sejak 2013.

Justeru, sebelum ada dalam kalangan kita lantang mengkritik ‘kepincangan’ dalam sistem pendidikan negara, selidik dahulu latar belakang dan usaha dilakukan mereka yang bertungkus-lumus memastikan anak warganegara mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

Benar, sistem pendidikan kita belum sempurna, tetapi mengkritik tanpa mengetahui fakta akan menjejaskan kredibiliti kita sebagai sebuah negara, kerana pendidikan adalah tulang belakang sebuah negara yang berdaulat.

Tidak adil membandingkan Malaysia dengan negara yang sememangnya jauh di hadapan dalam pentaksiran antarabangsa.

Letakkan Malaysia dalam kalangan negara yang memberikan peruntukan pendidikan hampir sama dan lihat sendiri di mana prestasi negara kita.

Sistem pendidikan kita sedang melalui proses transformasi dan kajian dijalankan McKinsey and Co menunjukkan 70 peratus program transformasi berskala besar melalui kegagalan kerana pelaksanaan yang kurang berkesan.

Justeru jangan begitu gemar mengkritik, tetapi bersama-samalah kita memberikan sumbangan positif demi memastikan anak warganegara Malaysia dapat menyumbang untuk kemakmuran negara.

Penulis adalah Pengarah Kolej Genies Isan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X