Selasa, 14 Januari 2020 | 11:00am
Aktivis alam sekitar, Greta Thunberg bersama poster bermaksud ‘Mogok Sekolah Untuk Iklim’ salah satu demonstrasi yang dilakukannya bagi memperjuangkan pemuliharaan alam sekitar. - Foto Per Grunditz/Shutterstock

Contohi Thunberg 'ubah dunia'

Nama Greta Thunberg begitu dikenali dan semakin popular walaupun hanya beberapa tahun menjadi aktivis alam sekitar.

Puncanya, remaja itu lantang menegur sikap sambil lewa dan lesu pemimpin dunia ketika Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani isu perubahan iklim dunia.

Thunberg membuktikan generasi muda boleh memainkan peranan besar dalam isu pemuliharaan alam sekitar. Yang jelas beliau tidak bersendirian.

Ramai sebenarnya anak muda lain yang ‘bersama’ dengannya dalam memperjuangkan isu berkaitan alam sekitar. Antaranya Louise Mobulo dari Filipina; Adjany Costa (Angola); Anna Luisa Beserra (Brazil); Marianna Muntianu (Russia); Molly Burhans (Amerika Syarikat); Omar Itani (Lubnan) dan Sonikar Manandhar (Nepal).

Mereka antara pemenang Young Champions of the Earth 2019, anugerah Program Alam Sekitar PBB untuk menghargai usaha anak muda menangani permasalahan alam sekitar semasa.

Pengiktirafan diberi susulan usaha gigih masing-masing menangani pelbagai isu berkaitan alam sekitar. Antaranya penggondolan hutan, perlindungan haiwan liar, penuaian air hujan untuk kegunaan manusia, penanaman semula hutan, pemberdayaan komuniti agama, pengurangan sisa fabrik di tapak pelupusan dan tenaga hijau.

Hakikatnya, Malaysia sendiri tidak ketinggalan. Nama seperti Masbudi Malek daripada Inspirasi KAWA; Liyana Yamin (Malaysian Youth Delegation); Ili Nadiah Dzulfakar dan Nurul Fitrah Ahmad Marican (KAMY); Hafizudin Nasarudin (KUASA); Tin Fong Yun (pejuang sisa sifar); Dr Louisa Shobhini Ponnampalam (MareCet) serta Dr Renard Siew Yung Jhien (pejuang isu perubahan iklim) wajar menjadi sebutan.

Pembabitan dan kesungguhan mereka memperjuangkan pemuliharaan alam sekitar membuktikan usia muda bukan penghalang melakukan perubahan.

Mereka ini memanfaatkan usia untuk memperjuangkan apa yang mereka percayai dan ini selaras ajaran Islam yang menuntut kita menggunakan usia muda dengan melakukan perkara baik. Malah, mereka yang menggunakan usia untuk beribadah kepada Allah SWT antara tujuh golongan dilindungi-Nya.

Ibadah bukan semata-mata dalam bentuk ibadah wajib, tetapi merangkumi pelbagai pekerjaan yang memberi faedah kepada masyarakat. Antaranya memperjuangkan kesejahteraan alam untuk kelangsungan manusia.

Peranan generasi muda diiktiraf dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Lestari 2030. Mereka berkebolehan membentuk kesedaran terhadap pelbagai isu alam sekitar, memulakan dan mengetuai usaha menangani isu persekitaran setempat mahupun global.

Mereka berkongsi idea serta kebolehan memulihara alam serta melobi pemimpin negara dan pihak berkepentingan untuk bersama-sama menjaga persekitaran dan membantu pembentukan dasar negara yang berkaitan.

Kelebihan utama generasi muda ialah kemampuan menggunakan media baharu dan memikirkan idea kreatif serta inovatif dalam usaha menjaga persekitaran. Kecekapan menggunakan pelbagai bentuk teknologi penyebaran maklumat menyebabkan segala maklumat dapat disampaikan ke serata dunia dengan lebih cepat dan luas.

Idea kreatif dan inovatif mereka menghasilkan jalan penyelesaian masalah alam sekitar semasa yang mudah, murah dan berkesan. Malah, anugerah ‘tenaga muda’ mereka memungkinkan usaha dan pelbagai perancangan boleh dilaksanakan dengan cepat.

Namun, pada usia muda itu, mereka tidak memiliki segala-galanya. Kekurangan dana, sokongan dan panduan antara punca yang boleh menyekat kebolehan untuk meninggalkan impak berkesan dalam pemuliharaan alam sekitar. Dengan itu, golongan berkenaan masih memerlukan bantuan sama ada wang ringgit, nasihat dan panduan agar dapat melaksanakan misi dengan jayanya.

Jelas, generasi muda atau belia berperanan besar dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Daripada usaha itu, apa yang boleh diteliti adalah mereka bermula tanpa apa-apa bantuan, tetapi masih mampu meninggalkan kesan besar dalam isu diperjuangkan.

Bayangkan jika mereka memperoleh bantuan dan sokongan dalam gerakan pemuliharaan alam sekitar itu, pasti usaha mereka memberikan kesan lebih besar.

Perkara lain dapat dikenal pasti, mereka terdedah kepada isu alam sekitar pada awal usia, sama ada melalui pendidikan formal mahupun tidak formal. Mereka kerap kali bertanyakan soalan berkaitan isu alam sekitar di sekeliling. Persoalan yang timbul menjadi pemangkin memulakan usaha pemuliharaan mereka.

Ini menunjukkan pendedahan awal kepada isu alam sekitar adalah penting. Ia dapat mendekatkan diri mereka terhadap apa berlaku di persekitaran dan boleh menimbulkan rasa tanggungjawab mengatasi isu berkenaan.

Peribahasa Melayu ada menyebut ‘kecil-kecil anak harimau’ khusus menunjukkan walaupun berusia muda seseorang boleh menjadi berani dan kuat. Ini bermakna, usia muda bukan penghalang melakukan sesuatu bermanfaat kepada dunia.

Mereka kini perlu diberikan kepercayaan, dorongan, bantuan dan nasihat agar dapat mengembangkan potensi ke arah kebaikan.

Penulis adalah Felo Institut Kfahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X