X
Isnin, 27 Januari 2020 | 9:34am
Perlu diwujudkan akta khusus untuk melindungi bendera rasmi seperti Jalur Gemilang dan bendera negeri. - Foto hiasan
Perlu diwujudkan akta khusus untuk melindungi bendera rasmi seperti Jalur Gemilang dan bendera negeri. - Foto hiasan

Jalur Gemilang tiang seri satukan masyarakat

ZAMAN sentiasa berubah, begitu juga sebuah negara. Daripada sebuah negara yang mundur, akan bergerak ke arah negara maju.

Namun, dalam menuju kemajuan, kita kadang-kadang terlupa setiap negara mempunyai nilai tersendiri berpaksikan sejarah dan adat. Saya nampak dengan jelas nilai ini semakin lusuh dalam kalangan rakyat disebabkan beberapa faktor.

Isu Jalur Gemilang antara topik perbualan dalam masyarakat disebabkan berapa insiden yang digambarkan sebagai tidak menghormati bendera Malaysia itu.

Kita kena faham bahawa bendera ialah simbol kekuatan dan kemerdekaan sesebuah negara. Jika tidak dihormati, ia membawa mesej yang kita sudah menghina perjuangan kebebasan negara kita.

Sebagai bekas anggota tentera, saya sangat kecewa apabila mendapat perkhabaran ada pihak mengibarkan atau mengangkat Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik.

Ini tidak boleh dimaafkan kerana apa-apa ketidakpuasan hati baik oleh individu atau kumpulan, tidak boleh menggunakan Jalur Gemilang sebagai bahan kempen.

Tindakan tegas mesti diambil pihak berkuasa agar ia dijadikan teladan kepada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menghina Jalur Gemilang, yang mewakili rakyat Malaysia yang inginkan keamanan dan keharmonian.

Turut mengecewakan, apabila ada organisasi berdaftar di Malaysia tersalah mengibarkan bendera Malaysia ketika acara pembukaan bagi satu pertandingan. Ini tidak boleh dimaafkan kerana anak kecil juga mampu membezakan Jalur Gemilang.

Insiden ini menunjukkan masih ramai rakyat negara ini tidak mempunyai kesedaran sivik dan penghayatan terhadap maruah sesebuah negara melalui bendera.

Saya percaya beberapa langkah dan penyelesaian mesti digerakkan semua pihak, terutama kerajaan dalam memastikan perkara ini tidak berlaku.

Pada saat ini, saya percaya perlu diwujudkan akta khusus untuk melindungi bendera rasmi seperti Jalur Gemilang dan bendera negeri. Ini penting bagi memastikan semua lapisan masyarakat serta warga negara asing mengambil berat sensitiviti masyarakat tempatan, terutama apabila berkaitan dengan bendera.

Kesedaran mengenai Jalur Gemilang di Malaysia mesti diperkasakan. Penekanan perlu diberikan dalam pendidikan Malaysia terutama berkait rapat dengan sivik dan sejarah negara, agar anak kita sekarang betul-betul faham apa yang dimaksudkan sebagai sebuah negara merdeka.

Saya sebagai Ahli Parlimen sudah mulakan langkah dalam mengambil tanggungjawab dalam memastikan kesedaran rakyat mengenai Jalur Gemilang berada pada tahap tertinggi, seperti mengarahkan semua Jalur Gemilang yang lusuh diturunkan di Padang Serai dan digantikan dengan Jalur Gemilang baharu.

Saya juga meminta semua sekolah jenis kebangsaan (SJK) agar menitikberatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar, terutama yang masih mempunyai penguasaan rendah bahasa itu dan bahasa Inggeris.

Kesimpulannya, Jalur Gemilang adalah maruah negara dan tiang seri dalam menyatukan masyarakat majmuk di bawah satu bumbung. Bendera ini perlu dipertahankan dan dijaga semua kerana ia melambangkan perpaduan kepada Malaysia yang tercinta ini.

Penulis adalah Ahli Parlimen Padang Serai

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X