Jumaat, 7 Februari 2020 | 8:21am
Bagi memastikan produk organik benar-benar lestari, penilaian kitar hayat dari aspek kos, alam sekitar serta impak kepada komuniti harus dilakukan. - Foto NSTP
Bagi memastikan produk organik benar-benar lestari, penilaian kitar hayat dari aspek kos, alam sekitar serta impak kepada komuniti harus dilakukan. - Foto NSTP

Produk hijau perlu ambil kira faktor komersial

KETERLIHATAN produk alternatif berlabelkan ‘mesra alam sekitar’ kian meningkat. Produk sebegini selalunya ditakrif sebagai produk hijau, iaitu mempunyai impak alam sekitar yang rendah berbanding produk sedia ada.

Produk hijau memanfaatkan bahan terbuang, bersifat organik dan proses pembuatannya menggunakan tenaga rendah. Produk sebegini sebahagiannya masih pada peringkat penyelidikan, namun tidak kurang yang berada di pasaran.

Kesedaran masyarakat terhadap pentingnya menjaga alam sekitar mendorong keterlihatan produk hijau. Mengambil contoh produk plastik, terdapat kempen menggunakan penyedut minuman besi sebagai alternatif.

Ia lebih mudah dibersihkan dan dapat digunakan berulang kali. Beg plastik pula ada jenis terbiodegradasikan dengan sendiri.

Sesetengah premis makanan juga memperkenalkan penyedut minuman diperbuat daripada kertas. Semua inisiatif ini bertujuan mengurangkan penggunaan plastik, lalu membantu mengurangkan sisa plastik dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Namun, adakah benar produk hijau ini mesra alam sekitar? Perbandingan yang selalu digunakan penulis dalam kuliah, antara beg plastik dengan beg kertas, yang manakah satukah lebih mesra alam sekitar?

Sesetengah khalayak berasakan beg kertas lebih mesra alam kerana bahan plastik sukar dilupuskan. Kita sedia maklum lambakan sampah plastik mengundang banyak masalah pada peringkat global.

Namun, dari sudut lain, beg plastik boleh digunakan berulang kali dan lebih tahan lasak berbanding beg kertas. Penghasilan beg kertas pula menyebabkan pelepasan karbon dioksida melalui jentera digunakan untuk menebang pokok.

Lantas, yang mana satu lebih mesra alam? Jawapan kepada perbandingan ini sebenarnya subjektif. Apa yang penting, label mesra alam sekitar sahaja tidak cukup mencapai hasrat kelestarian alam.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelestarian terbahagi tiga cabang, iaitu alam sekitar, ekonomi dan sosial.

Dari aspek ekonomi, produk hijau harus menjimatkan kos dan memberi keuntungan kepada pengusaha. Ia penting memastikan produk hijau terus berada di pasaran, kekal relevan serta mampu menarik minat pembeli.

Aspek sosial pula lebih rumit kerana membabitkan hal berkaitan komuniti. Contohnya, kewujudan peluang pekerjaan dan penambahan kualiti kehidupan.

Berdasarkan tiga cabang ini, PBB memperkenalkan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) atau singkatannya SDGs.

Mengambil contoh produk keluaran syarikat Bakeys di Hyderabad, sudu dihasilkan tidak mengandungi plastik, sebaliknya menggunakan bahan makanan seperti beras dan gandum. Ia boleh dimakan terus sebagai snek selepas habis digunakan.

Usaha ini bukan sahaja mengurangkan sisa plastik, tetapi membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat, terutama wanita untuk terbabit dalam proses penghasilan dan penjualan produk.

Ringkasnya, usaha ini mencapai matlamat membasmi kemiskinan dan mengurangkan impak perubahan iklim seperti digariskan melalui SDGs.

Di institut pengajian tinggi pula, banyak produk hijau dihasilkan melalui penyelidikan. Sebahagiannya memenangi pelbagai anugerah peringkat kebangsaan mahupun global.

Namun, mengapa penggunaan produk sebegini tidak meluas? Sebahagiannya terhenti pada peringkat idea. Tidak kurang yang hanya sampai ke peringkat pembuktian konsep.

Seolah-olah produk ini tidak mampu menembusi pasaran komersial dan tidak sampai ke tangan pengguna. Jika mampu menembus pasaran sekalipun, ia tidak bertahan lama. Akibatnya, hasrat melihat masyarakat menggunakan produk hijau lalu mengurangkan impak masalah alam sekitar, tidak tercapai.

Penulis percaya antara punca kegagalan adalah penilaian produk tidak menitik berat cabang utama kelestarian.

Produk hijau cenderung mementingkan aspek alam sekitar sahaja tanpa memikirkan kemampuan bertahan di pasaran dan bersaing dengan produk lain.

Bagi memastikan produk organik benar-benar lestari, penilaian kitar hayat dari aspek kos, alam sekitar serta impak kepada komuniti harus dilakukan.

Kajian menyeluruh sesuatu produk akan menilai kesesuaian sesuatu produk untuk dikomersialkan dan digunakan orang ramai.

Sebahagian kajian keberkesanan produk hijau dilakukan pengkaji di luar negara. Tentunya dengan kedudukan geografi, komuniti dan logistik berbeza, kajian sebegini tidak sepenuhnya relevan dengan konteks Malaysia.

Justeru, hala tuju penyelidikan produk hijau di Malaysia perlu mengambil kira aspek pengurusan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Berita Harian X