Khamis, 13 Februari 2020 | 10:00am
Gejala penyalahgunaan dadah adalah isu besar yang perlu ditangani segera. - Foto hiasan

Masyarakat berperanan banteras salah guna dadah

Penyalahgunaan dadah menjadi isu besar di negara kita. Umum tahu kesannya boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan fizikal, mental, emosi dan tingkah laku.

Lebih memeritkan penyalahgunaan dadah ini menyebabkan pelakunya ketagihan dan membuatkan mereka bergantung hidup kepada dadah.

Merujuk data Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), 14 kanak-kanak terbabit dengan dadah seawal usia 10 hingga 12 tahun pada 2016, manakala 64 lagi pada 2017.

Statistik penagih dadah pada 2017 pula melaporkan bilangan penagih meningkat bermula peringkat remaja (13 hingga 18 tahun) sehingga belia (19 hingga 39 tahun).

Bilangan penagih dadah tertinggi direkodkan bagi kategori usia 30 hingga 34 tahun dengan 4,820 kes. Sementara bilangan penagih dadah bagi peringkat usia dewasa antara 40 hingga lebih 50 tahun pula menurun, namun bilangannya masih tinggi, iaitu 6,405 kes.

Dari segi sebab penggunaan dadah, statistik 2014 hingga 2018 menunjukkan pengaruh rakan sebaya menyumbang punca tertinggi sebanyak 59 peratus, diikuti perasaan ingin tahu, untuk keseronokan, tekanan jiwa dan lain-lain sebab.

Lain-lain sebab ini termasuk rangsangan, secara tidak sengaja, agresif, berasaskan pekerjaan, hiburan, kurang didikan agama, masalah kewangan, melangsingkan badan, penderaan, perubatan, rindu, seks, teraniaya tiada ilmu tentang dadah dan untuk belajar.

Melalui semua data ini, dapat dilihat aliran penyalahgunaan dadah berada pada tahap membimbangkan, terutama jika dilihat penyalahgunaan yang bermula di peringkat usia remaja seawal 10 tahun.

Gejala negatif ini bukan sahaja merugikan individu itu, malah memberi kesan tidak baik kepada negara.

Dari sudut kesihatan fizikal ia mengganggu tumpuan, melambatkan proses berfikir, penglihatan kabur dan mengganggu percakapan akibat ketidakseimbangan fungsi minda.

Dalam konteks psikologikal pula, penagih dadah berkemungkinan kurang keyakinan diri, berhalusinasi dan berhadapan stigma serta persepsi negatif daripada masyarakat terhadap golongan penagih dadah.

Hubungan kekeluargaan juga berpotensi terjejas. Banyak akhbar melaporkan tindakan luar batas penagih dadah seperti mengugut ahli keluarga dan mencuri. Malah, ada kes penagih dadah sanggup membunuh ahli keluarga sendiri apabila keinginan mereka tidak dipenuhi.

Gejala penyalahgunaan dadah ini sememangnya satu isu besar yang perlu ditangani segera. Walaupun terdapat agensi ditubuhkan untuk membanteras aktiviti tidak sihat ini, tanggungjawab menangani masalah ini sebenarnya harus dipikul setiap warga Malaysia.

Setiap lapisan masyarakat perlu sentiasa berganding bahu menghentikan gejala penyalahgunaan dadah. Kempen dan program pemulihan dilaksanakan agensi berkenaan sangat bagus. Namun kerjasama dan sokongan peringkat komuniti masyarakat setempat sangat diperlukan.

Kes penyalahgunaan dadah boleh berlaku dan bermula di mana-mana sahaja. Jadi, komuniti setempat boleh memainkan peranan melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan mereka.

Stigma negatif masyarakat terhadap golongan penagih dadah juga perlu diubah, terutama terhadap bekas penagih yang sedang bergelut untuk kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Sokongan masyarakat sekeliling sangat diperlukan golongan ini untuk sentiasa kekal positif dan bersemangat menjauhi gejala penyalahgunaan dadah.

Masyarakat juga harus sedar gejala penyalahgunaan dan penagihan dadah boleh berlaku dalam kalangan orang terdekat dan rapat. Kadangkala disebabkan perasaan malu dan takut untuk berhadapan kecaman dan masyarakat, bantuan sepatutnya diberikan kepada penagih dadah ini seperti menghantar mereka ke pusat pemulihan, diabaikan.

Oleh itu, usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah memerlukan bantuan setiap individu. Jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan tindakan yang sepatutnya dilakukan bagi sesuatu keadaan, ia boleh disalurkan kepada pihak berwajib seperti polis ataupun agensi bertanggungjawab untuk membanteras penyalahgunaan dadah iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Semoga segala usaha yang kita dilakukan mampu mengatasi gejala penyalahgunaan dadah seterusnya menjadikan Malaysia negara yang bebas dadah demi kemakmuran bersama.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA Pasir Gudang, Johor.

Berita Harian X