X
Selasa, 24 March 2020 | 3:40pm
Golongan gelandangan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 kerana tiada akses kemudahan asas dan kesihatan. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Golongan gelandangan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 kerana tiada akses kemudahan asas dan kesihatan. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

COVID-19: Apa nasib gelandangan?

PENULARAN COVID-19 boleh berlaku dalam kalangan gelandangan yang mempunyai masalah tempat tinggal khususnya di Kuala Lumpur yang padat penduduk.

Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2017, Melayu menjadi kumpulan etnik paling tinggi dalam kalangan gelandangan.

Mereka menjadi sasaran mudah kepada penularan wabak kerana terpaksa hidup berhimpit sama ada di rumah perlindungan atau tinggal di jalanan dan lorong sempit yang tidak mempunyai akses tetap kepada kemudahan asas kebersihan seperti tandas serta bilik mandi.

Lebih merisaukan, terdapat gelandangan mempunyai isu kesihatan mental dan fizikal kronik terbabit dalam penyalahgunaan bahan terlarang bahkan mereka berusia 50 tahun ke atas mempunyai sistem imunisasi rendah serta lemah yang mempunyai beberapa kali ganda risiko jangkitan COVID-19.

Di samping itu, mereka kurang mendapat akses kepada penjagaan kesihatan turut berpotensi dijangkiti COVID-19 dan penyakit lain. Merujuk kepada International Journal of Infectious Diseases, gelandangan berpotensi dijangkiti penyakit tuberculosis, hepatitis A dan B dan jangkitan kulit dan tisu lembut (SSTI).

Selain itu, penularan wabak COVID-19 lebih mudah terdedah dalam kalangan gelandangan kerana mereka kerap bergerak dan agak sukar dikesan untuk dirawat berbanding orang awam.

Golongan ini tidak boleh diabaikan dan perlu dibantu kerana mereka juga rakyat Malaysia. Beberapa langkah segera perlu diambil pihak berkuasa antaranya mereka perlu didedahkan dengan maklumat cara penularan COVID-19.

Mereka tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan COVID-19 kerana tiada akses kepada media massa atau media sosial seperti kita. Mereka perlu disantuni dan dilatih mengenai cara untuk mengelak dijangkiti sama ada di rumah perlindungan mahupun di kaki lima.

Ruang alternatif perlu diwujudkan untuk mengkuarantin dan merawat golongan gelandangan terdedah kepada wabak COVID-19. Golongan ini khususnya mereka mempunyai masalah kesihatan mental sangat takut untuk dimasukkan ke hospital.

Kerajaan juga perlu menyediakan rumah transit mudah alih tambahan yang mempunyai kemudahan seperti tandas dan bilik air kepada golongan gelandangan.

Dalam hal ini, Kementerian Wanita dan Keluarga menerusi Akta Orang Papa 1977 (Akta 183) mempunyai kuasa untuk menubuhkan rumah transit mudah alih yang boleh dikategorikan sebagai rumah kebajikan.

Ini dapat direalisasikan dengan kerjasama menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Di samping itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin memberikan impak negatif kepada gelandangan. Kumpulan sukarelawan yang kerap turun padang membantu untuk menyediakan makanan kepada mereka tidak dapat berbuat demikian kerana ruang pergerakan dihadkan dan jalan utama ditutup.

Pihak berkuasa perlu menyediakan pelan untuk menyelesaikan masalah ini. Kita menantikan perancangan ampuh selepas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bakal mengadakan satu mesyuarat khusus bagi membincangkan soal kebajikan gelandangan di ibu kota sepanjang tempoh PKP ini.

Penulis ialah Felo Bersekutu, Pusat Penyelidikan Keadilan dan Perundangan dan Pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X