Selasa, 31 March 2020 | 4:54pm
KETIKA dunia berdepan dengan musibah COVID-19, rantaian berita palsu menular dengan pantas memberi banyak kesan buruk kepada masyarakat dan negara. - Foto hiasan
KETIKA dunia berdepan dengan musibah COVID-19, rantaian berita palsu menular dengan pantas memberi banyak kesan buruk kepada masyarakat dan negara. - Foto hiasan

Tiga langkah mudah kenali berita palsu

KETIKA dunia berdepan dengan musibah COVID-19, rantaian berita palsu menular dengan pantas memberi banyak kesan buruk kepada masyarakat dan negara. Pihak berkuasa terpaksa memperuntukkan sumber berharga dalam waktu kritikal untuk membuat penjelasan terhadap berita palsu.

Ada mangsa menderita emosi kerana penyebaran berita tidak benar menjatuhkan maruah diri, ramai panik dan mengalami masalah kesihatan mental kerana bimbang berlebihan akibat percaya kepada berita palsu sensasi yang tidak tahu hujung pangkal dari mana datangnya.

Berita palsu ini banyak berlegar dalam media sosial yang sepatutnya menjadi medan mendapatkan maklumat komuniti, dipenuhi dengan rantaian berita palsu entah dari mana datangnya tetapi kononnya dipanjangkan daripada ‘bilik sebelah’, yang turut berkongsi berita palsu sama.

Kisah sensasi penuh emosi kesedihan dan kemarahan membuatkan berita serta cerita palsu ini cepat menular kerana memanipulasi perasaan manusia.

Dalam suasana negara dilanda musibah COVID-19, kita bukan sahaja boleh membantu negara dengan duduk di rumah untuk memutuskan rantaian wabak, malah kita juga boleh menolong dengan memutuskan rantaian ‘virus’ berita palsu tersebar di alam maya.

Sebenarnya, ada tiga cara mudah untuk kita menghentikannya.

Pertama, semak sumber berita sebelum memanjangkannya. Jika maklumat yang hendak dipanjangkan bersumber seperti ‘daripada adik kepada kawan adik sepupu saya di sekolah’ atau ‘bapa saudara kepada adik kawan jiran yang bertugas di hospital sekian-sekian’, elakkan daripada menyebarkannya.

Ini kerana besar kemungkinan maklumat itu tidak benar, atau jika benar sekalipun, mungkin ada pertambahan palsu yang menjadikannya sensasi.

Kecanggihan multimedia boleh menjadikan berita palsu nampak seperti berita rasmi terutama dengan meletakkan imej jata negara, logo atau nama orang kenamaan untuk menambah rasa percaya. Kata kuncinya ialah semak, semak dan semak sebelum sebar. Jika tidak pasti, jangan kongsi.

Jika ingin berkongsi, kongsilah daripada sumber rasmi seperti laman media sosial pihak berautoriti dan akhbar utama tempatan. Dalam kes COVID-19 ini, laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), Public Health dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah ialah antara rujukan utama mendapatkan maklumat sahih lagi terkini.

Kedua, fikir manfaat berita sebelum berkongsi dan memanjangkan maklumat. Apabila kita berhenti seketika untuk berfikir, kita boleh menilai manfaat di sebalik penyebaran berita tidak pasti: apakah hanya untuk menimbulkan panik atau sekadar menjadi jaguh dalam berkongsi maklumat terkini? Jika tiada manfaat jelas, eloklah agar tidak dikongsi dan disebar.

Ketiga, berhati-hati dengan cerita penuh emosi. Tidak dapat dinafikan, ramai terjejas dalam musim COVID-19 dari segi kesihatan dan kewangan. Namun, setiap cerita tersebar baik dari kamar hospital oleh ‘petugas perubatan’, mahupun untuk mengutip derma buat keluarga yang susah, perlu diteliti dan disemak terlebih dahulu.

Tidak dapat dinafikan, ada kisah memang asli, tetapi tidak kurang yang datangnya dari ‘scammer’ yang ingin mengambil kesempatan. Jika simpati dan ingin menderma, dermalah ke pihak yang benar-benar diketahui integritinya dan ada autoriti dalam bidang terbabit seperti pejabat Zakat dan NGO yang terpilih.

Jika ada kes yang kita tahu secara peribadi, hubungi pihak berautoriti terlebih dahulu agar bantuan dapat diagihkan dengan lebih sistematik.

Hakikatnya, kita semua barisan hadapan negara dalam konteks untuk menghentikan penularan berita palsu yang membahayakan. Kita tidak akan rugi apa-apa jika tidak berkongsi maklumat sensasi dengan pantas, dan ingat, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mungkin akan mengambil tindakan tegas jika maklumat yang kita sebarkan tidak benar.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (UUM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X