Selasa, 31 March 2020 | 7:49pm
Barang makanan segera habis disebabkan pembelian panik susulan COVID-19. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Barang makanan segera habis disebabkan pembelian panik susulan COVID-19. - NSTP/Saifullizan Tamadi

COVID-19: Permintaan tinggi produk mudah-sedia, jejaskan operasi pengilang

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan kerajaan menampakkan hasil signifikan daripada segi mobilasi orang awam dan bilangan kes berjangkit secara amnya.

Namun di sebalik kawalan itu, kesan berantai yang umumnya tidak mengetahui ialah kesan ‘burnout’ yang terjadi kepada kilang pemprosesan makanan memproses makanan yang mempunyai jangka hayat singkat seperti roti mahupun barangan sejuk beku berasaskan daging dan sebagainya.

Apabila perintah kawalan ini memasuki ke minggu kedua, suri rumah mula mengeluh untuk menyiapkan menu masakan lain yang lebih mudah dan cepat. Oleh itu, pembelian panik pengguna kepada barangan makanan alternatif seperti produk roti menyebabkan kilang berkenaan menjalankan operasi pemprosesan pada kapasiti maksimum dan akhirnya menyebabkan keputusan bekalan di semua stokis pembekalan roti seluruh negara.

Itu antara contoh yang berlaku dan tidak mustahil apabila tempoh PKP dilanjutkan, lebih banyak bekalan makanan alternatif yang mudah dimasak atau disediakan akan mengalami situasi sama akibat.

Kesiapsiagaan pihak pengilang dalam menghadapi situasi begini amatlah diperlukan dan beberapa saranan serta langkah perlu diambil untuk mengurangkan ‘burnout’ daripada segi kapasiti unit operasi terbabit, pekerja dan rantaian mobilasi pembekalan jika tempoh masa kawalan dipanjangkan.

Pertama, dari sudut Hazard and Operability Action (HAZOP). Memandangkan pengilang terpaksa memenuhi permintaan luar biasa, pasukan teknikal kilang pemprosesan perlu bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan luar biasa kerosakan unit operasi yang berisiko tinggi.

Dalam konteks ini, jurutera dan juruteknik bertanggungjawab seharusnya memainkan peranan kritikal dalam menghadapi kemungkinan ‘sudden plan shutdown’. Jika ia berlaku, siapakah yang perlu bersedia dan apakah langkah proaktif yang perlu dilakukan sekiranya beban operasi berkenaan melangkaui beban dibenarkan agar kualiti produk dihasilkan masih sama daripada segi rasa, bentuk, tesktur dan kandungan nutrisinya.

Di samping itu, keselamatan pekerja yang mengendalikan unit operasi dalam bebanan maksimum perlu juga diambil secara serius agar tiada kemalangan boleh berlaku seperti letupan mahupun kebakaran dalam mana operasi bebanan penuh berjalan.

Sekiranya juga ada unit operasi yang rosak ketika bebanan penuh berlangsung, kesiapsiagaan pasukan teknikal dan bantuan baik pulih perlu kekal ada termasuk bekalan alat ganti penting dan memantau setiap masa sepanjang operasi berlangsung secara online mahupun offline.

Kedua, perkongsian pintar melalui pembuatan kontrak. Sekiranya segala usaha mendapatkan kembali kilang pemprosesan kembali beroperasi kepada bebanan penuh gagal, pihak pengilang masih boleh atau disarankan untuk mengenalpasti pengilang lain dalam sektor pembuatan makanan yang sama dan berstatus GMP dan HACCP bagi memenuhi demand luar biasa tersebut secara pembuatan kontrak.

Ini bermakna, segala bahan mentah dan resipi atau ramuan akan disediakan pengilang utama dan hanya proses penghasilan produk makanan tersebut dibuat di kilang lain secara serentak dengan kapasiti sedia ada tanpa bebanan penuh.

Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah mampu mengurangkan bebanan melampau pada unit operasi sedia ada di samping secara jangka panjangkan akan memanjangkan hayat komponen sensitif unit operasi yang digunakan.

Ketiga, Revolusi Industri (4.0 IR) melalui teknik pengesanan pintar. Keadah ini agak baharu dan berkemungkinan memerlukan kos operasi tambahan yang sistem pengkongsian maklumat secara pintar melalui pembangunan aplikasi dalam sistem Android telefon bimbit pengguna bagi mengenalpasti lokasi produk makanan yang boleh diperoleh secara pantas.

Pembangunan sistem ini juga memerlukan pihak pengilang menghantar maklumat secara harian kepada semua pembekal dan penjual yang menerima produk dan melakukan audit secara ‘masa kini’ setiap kali pembelian dan penghantaran dilakukan di satu-satu lokasi dan ‘data sharing’ ini akan dikemaskini di dalam sistem aplikasi bagi kemudahan pengguna dalam merancang pembelian tanpa panik.

Di samping itu, maklumat diperoleh turut memudahkan pihak pengilang atau pembekal untuk merancang pembekalan produk makanan di lokasi berpopulasi tinggi dengan melakukan ‘adhoc shifting/distribution’ daripada lokasi pembelian yang kurang ke lokasi pembelian berkepadatan tinggi seperti di kawasan bandar dan sub-bandar berbanding di kawasan luar bandar.

Aspek logistik seperti rak penyediaan produk makanan dan lori pengangkutan tambahan perlu disediakan pihak pengilang sementara waktu sekiranya berlakunya situasi permintaan luar biasa agar tiada kerosakan pada produk yang dihantar atau dipindahkan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X