Selasa, 31 March 2020 | 7:52pm
Kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melakukan operasi nyah cemar bagi mengekang penularan COVID-19 di Pasar Besar Kedai Payang ketika tinjauan malam tadi. - Foto BERNAMA
Kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melakukan operasi nyah cemar bagi mengekang penularan COVID-19 di Pasar Besar Kedai Payang ketika tinjauan malam tadi. - Foto BERNAMA

COVID-19 uji tadbir urus, kepakaran universiti

KAMPUS universiti tidak pernah sesunyi ini. Kegiatan harian universiti sentiasa dipenuhi dengan tanggungjawab pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan.

Sehinggalah penularan COVID-19 menyekat operasi kebiasaan universiti. Kini seluruh universiti global berusaha menyediakan pelan tindakan dan kawalan.

Dalam konteks tempatan, universiti turut menghadapi dua fasa wabak COVID-19. Fasa pertama, setiap universiti proaktif melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengawal penularannya.

Malah, langkah kawalan dan pencegahan turut dilakukan mengikut panduan kerajaan dari semasa ke semasa. Ini termasuk melakukan saringan dan ujian kesihatan semasa kemasukan pelajar antarabangsa.

Pada masa sama, peraturan kuarantin dan kawalan mobiliti staf serta pelajar dikuatkuasa. Selain itu, kerjasama strategik bersama hospital dan pusat kesihatan kerajaan turut dilakukan bagi langkah pencegahan dan perawatan.

Hasilnya, penularan COVID-19 dapat dibendung. Harus diingat, universiti mempunyai kapasiti staf dan pelajar yang mencecah bilangan puluhan ribuan.

Gelombang kedua COVID-19 pula adalah di luar jangkaan. Seperti institusi lain, universiti perlu beroperasi semasa tempoh penguatkuasaan peraturan kawalan pergerakan yang tidak menentu lagi.

Dalam langkah awal, universiti terus memberikan perlindungan dan bantuan bersesuaian kepada pelajar yang masih berada di dalam kampus. Sumbangan juga diterima daripada pelbagai pihak bagi memastikan kebajikan pelajar kekal terjaga.

Dalam aspek pendidikan, semua universiti memperkasa proses pembelajaran dan pengajian (PdP) atas talian. Penyampaian PdP seharusnya lebih mudah dilaksanakan secara kawal jauh dengan berbantukan teknologi dan kemudahan digital.

Bagaimanapun, kemampuan dan akses terhadap fasiliti serta kualiti penyampaian perlu diberikan perhatian dan sokongan. Dalam langkah berkesan, pelaksanaan berkenaan boleh direkabentuk secara bertahap dengan mengambil kira pertimbangan terhadap anjakan semester dan perubahan cuti pengajian.

Lebih pada itu, kandungan pembelajaran berasaskan cabaran COVID-19 semasa dapat dirintis. Misalnya, pelajar bidang sains kesihatan dan sains sosial boleh diberikan tugasan kuliah bersesuaian membabitkan pendidikan dan komunikasi untuk masyarakat.

Hasil pembelajaran bukan sekadar menggiatkan pelaksanaan projek berasaskan pemasalahan bagi memenuhi keperluan akademik. Kesannya adalah secara langsung memberikan manfaat semasa kepada masyarakat.

Proses lebih mencabar adalah untuk melaksanakan pentaksiran kursus. Universiti seharusnya berani meneroka kaedah pentaksiran alternatif dan pentaksiran fleksibel tanpa peperiksaan.

Semua inisiatif PdP yang dilaksanakan tetap bertujuan mencapai matlamat pendidikan. Justeru, anjakan proses pentaksiran akademik melangkaui ukuran kuantitatif dan norma gred harus digalakkan.

Universiti juga perlu bersedia dengan operasi penyelidikan baharu sekurang-kurangnya buat masa terdekat. Perintah kawalan menyebabkan kebanyakan ruang penyelidikan perlu ditutup dan akses fasiliti menjadi terhad.

Kesannya terhadap produktiviti penyelidikan akan lebih jelas dalam jangka masa yang lebih panjang. Tentunya bidang penyelidikan yang berteraskan penggunaan makmal sukar dilaksanakan.

Begitu juga penyelidikan sains sosial yang memerlukan pergerakan di lapangan. Dengan itu, universiti perlu meminimumkan risiko dengan bersinergi dan mengenalpasti peluang penyelidikan baharu.

Pada masa sama, khidmat penyelidikan universiti ditagih untuk bersama-sama menyumbang kepada negara. Misalnya, kepakaran penyelidik universiti diperlukan dalam meningkatkan kapasiti pengujian dan keberkesanan kaedah pengesanan COVID-19.

Dalam aspek sosio-ekonomi dan kesihatan awam, universiti juga harus mengkaji kesan dan mencerap pola penularan wabak terhadap kehidupan dan populasi masyarakat secara bersistematik. Tujuannya untuk menambahbaik sistem kesihatan dan kualiti kehidupan semasa dan akan datang.

Mengikut rekod, hampir 80 peratus penyelidik negara berada di institusi pendidikan tinggi. Justeru, kelangsungan penyelidikan universiti adalah penting untuk negara.

Universiti turut menggiatkan usaha perkhidmatan untuk semua segmen masyarakat. Kita harus memuji inisiatif semua universiti yang membantu menyalurkan bahan keperluan semasa.

Antaranya cecair pembasmi kuman yang teruji berkesan. Universiti juga berinovasi dengan membekalkan produk perlindungan kepada petugas kesihatan barisan hadapan.

Secara keseluruhan, tadbir urus universiti juga perlu mengamalkan pendekatan pintar. Kecekapan pengurusan perlu dikekalkan dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi serta kaedah automasi.

Proses adaptasi mana-mana institusi pastinya mengambil masa. Universiti perlu berubah dengan meneroka model operasi anjal, kreatif merintis kaedah alternatif dan merangka strategi kemampanan baharu. Paling penting, universiti perlu kekal berkhidmat untuk membawa manfaat kepada semua.

Penulis ialah Penolong Dekan (Pendidikan Berterusan dan Transnasional) Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X