Rabu, 1 April 2020 | 8:51pm
Penduduk barang keperluan di sebuah kedai runcit PPR Batu Muda. Mulai 1 April kerajaan menguatkuasakan PKP Fasa 2 untuk menangani penularan COVID-19. - NSTP/Asyraf Hamzah
Penduduk barang keperluan di sebuah kedai runcit PPR Batu Muda. Mulai 1 April kerajaan menguatkuasakan PKP Fasa 2 untuk menangani penularan COVID-19. - NSTP/Asyraf Hamzah

PRIHATIN bendung musuh halimunan, betulkan kitaran ekonomi

ASAS kepada model kitaran ekonomi ialah ‘interaksi’ antara manusia dalam aktiviti pembelian (permintaan) dan aktiviti pengeluaran barang (penawaran). Aktiviti pembelian membabitkan interaksi pembeli dengan penjual. Aktiviti pengeluaran juga membabitkan interaksi pekerja dengan firma.

Pembeli ialah pekerja yang terbabit dalam proses pengeluaran, manakala penjual pula adalah firma yang mengeluarkan barang. Kedua-dua aktiviti pembelian dan pengeluaran saling memerlukan dalam model kitaran ekonomi. Dalam erti kata lain, pembelian tidak akan berlaku sekiranya tiada interaksi manusia dalam proses pengeluaran.

Bagaimanapun, prinsip asas ini terganggu dengan penularan COVID-19 yang kini menjadi wabak di seluruh dunia, sekali gus memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan interaksi sesama manusia. Ini kerana kebarangkalian COVID-19 untuk merebak semakin tinggi jika interaksi sesama manusia dibenarkan.

Kesannya, PKP mengetatkan kawalan pergerakan dan mengehadkan hanya untuk aktiviti perniagaan dan pengeluaran kritikal sahaja. Ini menyebabkan ‘gangguan’ kepada model kitaran ekonomi.

Semua bentuk perniagaan dan aktiviti pengeluaran diarahkan ditutup kecuali untuk bidang kritikal seperti makanan, kesihatan dan keselamatan. Ini menyebabkan asas kepada model kitaran ekonomi terganggu kerana ‘interaksi’ sesama manusia untuk membeli dan juga mengeluarkan barang menjadi terhad.

Banyak aktiviti pengeluaran bidang bukan kritikal tidak boleh dihasilkan kerana operasi kilang dihentikan berikutan mematuhi langkah PKP. Kesannya, pekerja terpaksa diberhentikan atau diberi cuti tanpa gaji. Akhirnya, mereka tidak mempunyai cukup wang untuk terus berbelanja walaupun untuk keperluan asas.

Langkah PKP juga mengganggu aktiviti pembelian barang kerana hanya perniagaan bersifat kritikal sahaja dibenarkan beroperasi. Bahkan, aktiviti perniagaan ini berjalan dengan kawalan interaksi sesama manusia yang ketat.

Firma dalam perniagaan yang tidak kritikal tidak dapat menjual barang dan perkhidmatan. Ini menyebabkan mereka menanggung kerugian hingga memaksa untuk memikirkan pilihan untuk menggantung pekerja.

Semua ini adalah satu ‘malapetaka’ kepada model kitaran ekonomi kerana manusia tidak boleh interaksi seperti biasa. Krisis ekonomi yang dihadapi ini dijangka lebih besar dari krisis kewangan 1998 kerana penularan wabak COVID-19 menyebabkan gangguan secara besar kepada permintaan dan penawaran barang serta perkhidmatan dalam ekonomi.

Di sinilah wujudnya fungsi penting Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion. Ia sebagai kesinambungan kepada Belanjawan 2020 yang diumum kerajaan terdahulu dalam membendung wabak COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi.

Dua komponen penting dalam belanjawan adalah peruntukan operasi dan peruntukan pembangunan. Ia bukanlah bertentangan dengan teori ekonomi jika jumlah belanjawan operasi dan pembangunan melebihi daripada hasil negara. Situasi ini dikenali sebagai belanjawan defisit.

Walaupun mengalami belanjawan defisit, kedudukan fiskal negara dianggap masih stabil sekiranya belanjawan operasi lebih kecil daripada hasil negara. Inilah yang dipertahankan kerajaan sejak sekian lama untuk memastikan belanjawan operasi kekal rendah dari hasil negara. Ia adalah indikator penting untuk memastikan kerajaan mempunyai duit yang cukup untuk menjalankan operasi tanpa perlu meminjam.

Belanjawan 2020 yang diumumkan pada tahun lepas berjaya memastikan hasil negara terus melebihi peruntukan operasi. Namun, pakej rangsangan yang diumumkan baru-baru ini mempunyai tekanan untuk mengekalkan jurang yang selesa antara hasil negara dan belanjawan operasi.

Ini kerana penularan wabak COVID-19 merosakkan kedudukan ekonomi negara. Hasil negara dijangkakan akan menurun tidak seperti disasarkan. Ini jangkaan hasil daripada cukai syarikat, pendapatan dan SST menyusut kerana banyak aktiviti ekonomi terjejas.

Pada masa sama, PRIHATIN memperuntukkan belanja operasi besar untuk menangani COVID-19 dan memulih serta menggerakkan aktiviti ekonomi. Kesannya, jurang hasil negara dan belanjawan operasi akan menjadi sangat kecil gara-gara wabak COVID-19.

Banyak ahli ekonomi dunia meramalkan wabak COVID-19 boleh menyebabkan krisis ekonomi paling besar dalam sejarah dunia kerana kita berjuang menentang musuh yang tidak boleh dilihat.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mengharapkan PRIHATIN yang bernilai RM250 bilion ini berjaya membendung wabak COVID-19 dan memperbetulkan semula model kitaran ekonomi.

Akhir sekali sumbangan paling minimum yang mampu kita buat sebagai rakyat adalah dengan mematuhi langkah PKP dengan duduk di rumah dan mengehadkan pergerakan untuk keluar rumah kecuali untuk urusan penting.

Kepatuhan tinggi kepada langkah PKP ini mampu menyelamatkan nyawa orang lain dan membantu ekonomi negara untuk bangkit semula.

Penulis ialah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X