Khamis, 23 April 2020 | 11:34am
Sampel ujian COVID-19. Gambar hiasan
Sampel ujian COVID-19. Gambar hiasan

COVID-19 buka ruang kreatif ahli sains

Setiap dakwaan perlu mempunyai bukti sains dan fakta sahih. Ini penegasan biasa diberikan Ketua Pengarah Kesihatan ketika sidang media harian berkenaan COVID-19.

Tentunya semua inisiatif perlu dilaksanakan berdasarkan kajian dan data. Dalam konteks ini, peranan sains kritikal mendepani pelbagai persoalan membabitkan pengurusan dan perawatan wabak.

Bagi membendung penularan COVID-19, sains bukan sekadar diperlukan ketika proses pengesanan pesakit atau pembangunan vaksin. Kefahaman sains turut penting dalam urusan seperti penjagaan tahap kebersihan individu atau ketika proses nyah jangkit di ruang awam.

Justeru, sebarang tindakan, terutama membabitkan masyarakat awam perlu dirujuk kepada pakar, termasuk saintis.

Pada masa sama, saintis perlu menggiatkan komunikasi sains untuk masyarakat bagi mengelakkan salah faham dan melawan pemalsuan fakta.

Mengikut kajian, pengetahuan masyarakat kita dalam sains masih pada tahap rendah walaupun mempunyai minat tinggi.

Kini, COVID-19 membuka ruang kreatif kepada saintis menggunakan pelbagai platform bagi komunikasi maklumat sahih dan tepat.

Malah jika dibuat undian ketika ini, saintis termasuk doktor dijangkakan menduduki tangga teratas sebagai profesion paling dipercayai. Bukan sekadar kepercayaan, mereka turut diharap membantu untuk memberi penyelesaian segera.

Dalam hal ini, setiap negara perlu mempunyai kapasiti saintis dan penyelidik mencukupi. Umum tahu kita perlu menguruskan saluran bakat sains daripada peringkat pendidikan hingga kerjaya dengan lebih baik.

Kepentingannya semakin terserlah kerana kepakaran dan teknologi tempatan sangat diperlukan untuk membangunkan kaedah pengesanan dan perawatan pesakit.

Penularan COVID-19 memperlihatkan kebergantungan kita kepada pihak luar terhad kerana semua negara mendepani cabaran yang sama.

Agenda penyelidikan negara juga wajar diberi penambahbaikan berterusan. Belanjawan penyelidikan perlu dijajarkan seiring keperluan semasa, manakala keutamaan penyelidikan mesti diseimbangkan dalam aspek sains asas seiring dengan kajian eksperimental dan aplikasi.

Bidang kajian juga harus membabitkan persediaan mendepani jangkaan dan ancaman masa depan. Selain perubahan iklim, kajian penyakit berjangkit seumpama COVID-19 perlu menjadi keutamaan dan diberikan insentif khas.

Kita mengalu-alukan cadangan strategik menubuhkan pusat penyelidikan pembangunan vaksin negara.

Seterusnya, sumbangan dan kerjasama semua pihak, termasuk industri penting bagi memanfaatkan hasil penyelidikan untuk kepentingan bersama.

COVID-19 mengubah operasi kerjasama dalam bidang sains. Data kajian dikongsi terbuka, bersegera dan mudah akses. Ia menjadi tanda aras baharu tempoh masa diperlukan bagi penghasilan vaksin bermula daripada kerja makmal.

Selain itu, kesediaan platform digital turut diuji bagi berkongsi penemuan saintifik secara masa sebenar yang boleh diakses pelusuk dunia.

Menariknya, COVID-19 menyebabkan fokus penyelidikan diberikan kepada satu topik pada satu masa dalam skala besar. Kerjasama global turut dirintis dalam landskap baharu bagi mengenal pasti kaedah perawatan COVID-19 berkesan.

Misalnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan Kaji Selidik Solidariti dengan beberapa negara, termasuk Malaysia dipilih untuk kajian keberkesanan ubat COVID-19.

Di sinilah reputasi negara terserlah dengan bersama menyumbangkan kepakaran saintifik bagi manfaat global. Seperti aspirasi WHO, inilah masa solidariti dan kerjasama sains berlangsung tanpa sempadan.

COVID-19 pasti menyediakan norma baharu, termasuk membabitkan pembangunan dan perkembangan sains. Dalam semua keadaan, sumbangan dan kemajuan sains tetap diharap untuk manfaat dan kesejahteraan semua.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X