Selasa, 28 April 2020 | 11:00am
Kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) keluar dari kawasan Selayang Baru setelah ditutup berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut. - Foto hiasan/Asyraf Hamzah
Kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) keluar dari kawasan Selayang Baru setelah ditutup berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut. - Foto hiasan/Asyraf Hamzah

Terima perubahan reka bentuk ruang premis pasca PKP

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjut lagi hingga 12 Mei. Walaupun statistik harian COVID-19 menampakkan penurunan dan statistik pesakit sembuh juga semakin tinggi, kita perlu terus waspada.

Kaedah terbaik memenangi 'peperangan' ini tentu pembangunan ubat dan vaksin. Usahanya sedang giat dijalankan.

Selagi ubat dan vaksin belum ditemui, Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan empat pendekatan mengelak jangkitan.

Empat pendekatan itu ialah tiada perhimpunan awam, kawalan jarak sosial, kerap mencuci tangan dan duduk di rumah jika tiada urusan di luar.

Dalam kita ternanti penamatan PKP, kita perlu mengambil kira jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa peperangan menentang COVID-19 mungkin akan berlanjutan hingga 2021.

Melihatkan statistik negara lain yang masih tinggi dan ada yang masih meningkat, jangkaan itu berasas. Oleh itu, kita meyakini prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan kerajaan menuju pengakhiran PKP serta fasa pasca PKP akan terus berkisar meliputi pendekatan saranan KKM.

Kepatuhan masyarakat kepada SOP ini dilihat akan membentuk kelaziman baharu dalam hidup. Ia merujuk perubahan gaya hidup masyarakat secara berkelompok.

Jika kita melihat perilaku manusia secara umum, pembentukan kelaziman baharu biasanya terbentuk menerusi proses dan waktu panjang, hampir sahaja tidak disedari.

Namun, kelaziman baharu juga boleh terbentuk secara drastik. Umumnya ia amat jarang terjadi, malah sukar. Perubahan drastik memerlukan satu atau lebih faktor pemangkin untuk memaksa sesuatu masyarakat berubah.

Dalam memerangi COVID-19 hari ini, tahap kesedaran masyarakat mengenai penularan wabak antara faktor pemangkin. Namun, tahap kesedaran masyarakat berbeza mungkin diterjemahkan pada tahap perubahan kelaziman berbeza.

Antara faktor perubahan kelaziman lain yang mampu menyokong usaha itu adalah keadaan ruang menempatkan sesuatu aktiviti lazim berkenaan.

Dalam konteks seni bina, ia membabitkan perancangan dan reka bentuk ruang itu. Sejak sekian lama, perubahan kelaziman yang perlahan dalam sesuatu masyarakat biasanya membuatkan reka bentuk ruang persekitaran juga berubah perlahan-lahan untuk memenuhi kelaziman itu.

Sementara perubahan kelaziman drastik pula biasanya membabitkan ruang yang direka bentuk dahulu, hingga memaksa masyarakat beradaptasi dengannya.

Oleh itu, sekiranya kelaziman baharu kita terima sebagai suatu bersifat berkekalan, reka bentuk ruang dalam dan luar bangunan kini dan akan datang harus mengambil kira semua saranan pendekatan KKM.

Ia menjadi sebahagian antropologi atau kefahaman perekabentuk terhadap kelompok pengguna ruang itu. Keperluan saiz ruang tentu akan berbeza.

Definisi perhimpunan awam kini perlu ditentukan untuk kita tahu berapakah jumlah pengguna maksimum yang wajar ada dalam sesuatu ruang tertutup.

Berdasarkan jumlah pengguna itu dan jarak sosial penggunanya yang ditetapkan, maka itulah saiz yang wajar bagi sesuatu ruang untuk aktivitinya.

Ini tentu juga akan mempengaruhi normal keluasan ruang yang biasa diguna pakai oleh arkitek dalam proses reka bentuk. Malah, sifat ruang tertutup itu juga harus ditentukan.

Selain itu, ruang sirkulasi juga memerlukan reka bentuk yang membolehkan pengguna menjaga jarak sosial mereka ketika berselisih, berhenti menunggu dan sebagainya.

Ini termasuk ruang laluan, lobi, tandas awam dan ruang pemunggahan. Juga perlu diambil perhatian adalah penyediaan sinki untuk mencuci tangan di lokasi strategik.

Bagi bangunan yang sedia ada, kita mungkin memerlukan perancangan bagaimana ruang itu digunakan.

Pengubahsuaian besar-besaran, walaupun praktikal bukan pilihan kerana akan membabitkan kos tinggi.

Oleh itu, penjadualan penggunaan ruang perlu dilakukan. Sebagai contoh, bilik yang biasa menempatkan hingga 50 orang untuk sesuatu aktiviti kini tidak lagi sesuai.

Maka pembahagian penggunaan mengikut jadual baharu perlu dilakukan. Begitu juga halnya berkaitan ruang sirkulasi. Sebelum ini, kita bebas keluar dan masuk ke sesuatu ruang mengikut arah yang kita mahu.

Syarat kawalan jarak sosial selepas ini tentu akan mengehadkan arah pergerakan kita, menerusi pintu dan tangga yang harus kita lalui untuk masuk dan keluar dari sesuatu ruang. Kebarangkalian berselisih dengan pengguna lain perlu diminimumkan.

Semua langkah ini memang di luar kelaziman kita. Untuk permulaan, kita tentu tidak selesa dengan suasana ini. Namun, sekiranya kita perlu berubah untuk memenangi peperangan ini, maka kita wajib berubah.

Garis panduan pasca PKP pasti akan dikeluarkan kerajaan tetapi bagaimana kita menyahut panduan itu yang akan menentukan kesannya.

Sudah tentu kerajaan tidak dapat memantau kita secara keseluruhan dan berterusan. Maka, jika premis kita memerlukan penjadualan penggunaan ruang untuk penggunanya, ia perlu dilakukan.

Kita sendiri yang harus memantau diri kita, keluarga dan kelompok masyarakat kita. Kita jaga kita.

Penulis adalah Ketua Jabatan Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X