Selasa, 5 Mei 2020 | 6:28am
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Pekerja di Bangunan Perdana Putra, 1 Mei lalu. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Pekerja di Bangunan Perdana Putra, 1 Mei lalu. - Foto BERNAMA

Operasi rangsang ekonomi perlu ikut syarat ketat

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi ucapan khas sempena Hari Pekerja, 1 Mei lalu mengumumkan pembukaan semula ekonomi negara bermula semalam dengan membenarkan industri dan aktiviti perniagaan beroperasi secara menyeluruh.

Pengumuman terbaru ini langkah wajar bagi menstabilkan semula ekonomi negara lanjutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Perlu diakui, langkah penguatkuasaan PKP memberi kesan besar kepada ekonomi negara sehingga kerajaan menganggarkan negara berdepan kerugian RM2.4 bilion sehari.

Selain itu, pertumbuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga dijangka merosot daripada unjuran asal 6 peratus kepada antara -0.5 peratus sehingga 1.9 peratus.

Secara keseluruhan, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini juga merosot dengan Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara dijangka berkembang antara -2 hingga 0.5 peratus bagi tahun ini.

Justeru, langkah kerajaan membuka semula sektor ekonomi tepat pada masanya bagi merangsang semula aktiviti ekonomi.

Selain menstabilkan aktiviti industri, perniagaan dan PKS, antara faktor terpenting mendorong pembukaan semula sektor ekonomi adalah untuk menjamin kestabilan penawaran serta permintaan tenaga buruh tempatan. Ia juga bertujuan memastikan pendapatan dan pekerjaan rakyat terus kekal selepas PKP berakhir.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kerajaan sebelum ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion dan tambahan RM10 bilion Pakej PRIHATIN PKS bagi membantu usahawan PKS.

Bagaimanapun, ia menjadi langkah proaktif bersifat sementara dan berkeupayaan untuk menangani cabaran ekonomi tempoh jangka masa pendek bagi membantu sektor ekonomi dan PKS terus bertahan dalam menghadapi implikasi COVID-19.

Justeru, langkah drastik bagi menstabilkan aktiviti ekonomi negara untuk tempoh jangka masa panjang perlu dilaksana segera untuk mempertahankan aktiviti perniagaan dan pendapatan rakyat tempatan.

Berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), dianggarkan 2.4 juta akan hilang pekerjaan dengan 67 peratus daripadanya adalah pekerja berkemahiran rendah.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan kajian terkini dijalankan Jabatan Statistik Negara berkaitan kesan COVID-19 kepada sektor pekerjaan dan pendapatan rakyat, didapati golongan bekerja sendiri, iaitu usahawan mikro paling terjejas dan terdedah kepada kehilangan pekerjaan dan mengalami penurunan pendapatan sehingga 94.8 peratus.

Selain itu, dari sudut pecahan berdasarkan sektor ekonomi, pekerja dalam sektor perkhidmatan seperti perhotelan dan restoran paling terjejas serta terdedah kepada kehilangan pekerjaan yang merangkumi 43 peratus.

Ia diikuti sektor pertanian dan perikanan 21.9 peratus; sektor perdagangan dan peruncitan (14.3 peratus); sektor pembinaan (11.8 peratus) dan sektor pembuatan (4.2 peratus).

Justeru, langkah pembukaan semula ekonomi ini wajar dilaksanakan bagi memastikan aktiviti ekonomi negara kembali pulih secara berperingkat.

Bagaimanapun, pelaksanaan langkah ini seharusnya tertakluk kepada syarat yang ketat seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi memastikan prosedur operasi standard dipatuhi.

Penulis adalah Pengurus Penggalakan Pelaburan, Perak Investment Management Centre (InvestPerak)

Berita Harian X