Selasa, 5 Mei 2020 | 10:47am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Apa cerita murid jauh di pedalaman?

GOOGLE Classroom, Zoom mahupun Google Meet, menjadi antara wahana alternatif pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian yang semakin popular dalam dunia pendidikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.

Kaedah yang bergantung sepenuhnya kepada capaian internet ini menjadi pilihan tenaga pengajar termasuk guru dan pensyarah bagi memastikan golongan pelajar mampu meneruskan pelajaran dari kediaman masing-masing.

Ia bertepatan dengan arahan kerajaan untuk semua duduk di rumah sepanjang tempoh PKP bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan ibu bapa dan pelajar mengeluh berikutan kekangan serta keterbatasan untuk menjayakannya PdP kerana capaian internet lemah serta tiada peranti elektronik khusus bagi keluarga kurang berkemampuan.

Namun, bagi kebanyakan pelajar di bandar mahupun luar bandar, guru masih boleh menghubungi mereka dengan telefon bimbit untuk diberi tugasan bagi memastikan tidak ketinggalan.

Tidak kisahlah, sekiranya telefon itu hanya mempunyai fungsi asas sahaja, sekadar terima dan jawab panggilan, sekurang-kurangnya masih ada jaringan perhubungan.

Bagaimana pula halnya pelajar jauh di pedalaman, apatah lagi dikelilingi hutan tebal. Bukan sahaja tidak mempunyai capaian internet, malah tidak juga mempunyai sebarang rangkaian talian komunikasi!

Berkemungkinan pelajar di kawasan itu tidak dapat mengikuti sebarang program PdP berbanding rakan-rakan mereka di bandar atau luar bandar, yang masih mampu mendapat capaian internet.

Perkara ini bermain-main dalam pemikiran saya sepanjang PKP ini ketika ingatan singgah ke sebuah kawasan pedalaman di Sarawak yang pernah saya kunjungi akhir 2018 untuk Misi Klinik Bergerak anjuran UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

Terdapat sebuah rumah panjang, Anthony Bau, di kawasan pedalaman yang saya maksudkan itu didiami masyarakat kaum Iban. Ia terletak di Julau, Sarikei.

Selain langsung tiada talian komunikasi, bukan mudah untuk sampai ke penempatan masyarakat Iban itu.

Rumah Panjang Anthony Bau itu sememangnya sangat 'terpisah' dengan dunia luar kerana hutan tebal. Bagi membolehkan penduduk rumah panjang mendapatkan rangkaian komunikasi, mereka perlu ke Julau yang memakan masa berjam-jam lamanya. Itu pun bergantung pengangkutan, sama ada melalui sungai, jalan balak atau udara sahaja.

Sekiranya ke Julau menerusi sungai dengan perahu panjang enjin sangkut, perjalanan mengambil masa kira-kira lima hingga enam jam, malah mungkin lebih, bergantung keadaan sungai untuk sampai ke Jeti Nanga Entabai.

Dari jeti, untuk sampai ke Julau, perlu mengambil pengangkutan van dan jarak perjalanan kira-kira 45 minit.

Jika menggunakan jalan balak, perjalanan agak singkat, iaitu kira-kira empat jam. Bolehlah menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal lasak namun berdepan pelbagai cabaran seperti ancaman binatang buas, jalan licin disebabkan hujan serta berisiko kenderaan rosak.

Dengan segala kesukaran mendapatkan 'talian komunikasi' ini serta dan kepada tragedi perahu karam mahupun terkandas di hutan tebal serta kos perjalanan melebihi RM500 ke atas, apakah semuanya ini boleh mematahkan semangat anak pedalaman ini untuk belajar semasa PKP?

Untuk mengetahui jawapan kepada persoalan ini, penulis menghubungi Guru Penolong Kanan, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju, Julaihi Mahdi, 51, baru-baru ini.

Meskipun belajar jauh di pedalaman dikelilingi hutan tebal, murid-murid sekolah di kawasan itu maklum mengenai Google Classroom serta Google Meet.

"Pada awal tahun, guru sudah memberi penerangan dan penjelasan kepada mereka. Namun, praktikalnya tidak dapat dilakukan pada masa itu termasuk ketika ini disebabkan masalah talian komunikasi dan capaian internet. Jadi, apabila ada PKP yang menyebabkan semua sekolah ditutup, keadaan ini memberi cabaran besar buat guru.

"Bagaimana kami hendak memastikan murid tidak ketinggalan dalam pembelajaran tambahan ketika ini semua guru berada di kediaman masing-masing dan tidak ada seorang pun di asrama sekolah," katanya.

Beliau yang dihubungi melalui telefon dan e-mel berkata, SK Nanga Ju mempunyai 23 murid dari Rumah Panjang Lepong Bilat (Rumah Nyalih) dan Rumah Panjang Nanga Ju (Rumah Gerasi), sekali gus menjadi sekolah paling jauh berbanding tiga sekolah lain.

Dari jeti Nanga Entabai, terdapat tiga sekolah sebelum sampai ke SK Nanga Ju, iaitu SK Nanga Entabai, SK Lubok Asam dan SK Nanga Maong. Difahamkan kira-kira sejam perjalanan dari rumah panjang Anthony Bau.

Sekolah pedalaman ini ada dibekalkan dengan alat komunikasi, iaitu internet yang menggunakan parabola bagi membolehkan perhubungan secara terus kepada satelit.

Namun, Julaihi yang hampir tujuh tahun mengajar di sekolah itu berkata, kemudahan itu mengalami kerosakan, awal tahun ini hingga menyukarkan lagi melaksanakan PdP dalam talian.

"Pelaksanaan PKP menjejaskan perancangan guru khususnya untuk pelajar menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Bagaimanapun, kami bersyukur kerana kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan membatalkan peperiksaan itu.

"Namun, itu bukanlah bermakna kami seramai 10 guru dan enam anggota kumpulan pelaksana (AKP) menjadikan kesukaran komunikasi sebagai alasan membiarkan sahaja murid begitu sahaja.

"Kami ada cara tersendiri untuk memastikan mereka tidak tercicir," katanya yang kini berada di rumah keluarganya di Bintangor.

Menjelaskan lebih lanjut apa dinyatakan Julaihi, Guru Prasekolah SK Nanga Ju, Muhamad Fadheruhisham Daud, 29, yang berasal dari Pasir Mas, memberitahu BERNAMA, terdapat beberapa cara termasuk menyampaikan tugasan kepada wakil ibu bapa.

Menurut beliau, seorang wakil ibu bapa murid secara sukarela ke Julau seminggu sekali untuk menghubungi guru menerusi telefon bagi mendapatkan tugasan murid, selain membeli barangan keperluan.

Sebaik sahaja dapat dihubungi, guru yang sudah menyediakan bahan untuk latih tubi, lebaran kerja, aktiviti kuiz dalam bentuk salinan digital, mahupun gambar, akan memberikannya menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdapat juga latihan berpandukan buku teks kerana sudah mempunyai banyak maklumat dan lengkap, cuma perlu memberitahu halaman sahaja.

"Sekembalinya wakil ibu bapa ini ke rumah panjang, ibu bapa murid lain akan bertemu dengannya dan mengambil gambar tugasan itu menggunakan telefon bimbit masing-masing daripada telefon wakil berkenaan.

"Mesej tugasan tidak dapat dihantar kepada semua kerana tiada talian," katanya yang sudah hampir enam tahun mengajar di sekolah terbabit.

Selain itu, guru juga menggunakan khidmat salah seorang kakitangan sekolah yang tinggal di Sarikei, iaitu Apai Lovy, 38, untuk menghantar tugasan yang sudah dicetak kepada wakil ibu bapa berkenaan di Julau.

Bagaimanapun, sekiranya guru tidak dapat menghubungi mana-mana wakil ibu bapa selepas dua minggu, Apai Lovy akan ke rumah panjang berkenaan menggunakan jalan balak, iaitu kira-kira lapan jam perjalanan pergi balik dari Sarikei untuk menghantar tugasan kepada mereka.

"Kebanyakan guru termasuk saya berada di Sarikei bersama keluarga dan ini memudahkan kami kumpul bahan dan berikan kepada Apai Lovy.

"Kami cuba pastikan mereka tidak tercicir pelajaran. Bagaimanapun, segala tugasan itu akan diperiksa guru selepas berakhirnya PKP nanti," katanya.

Murid sekolah itu juga mempunyai cara tersendiri sekiranya mereka tidak faham akan sesuatu tugasan yang diberikan guru.

Menurut Apai Lovy, ibu bapa murid akan membawa anak mereka ke puncak bukit untuk cuba menghubungi guru sekolah.

"Bolehlah dapat talian tapi nyawa-nyawa ikan. Ada juga yang akan menghubungi cikgu mereka mengenai latihan ketika berpeluang mengikuti ibu atau ayah mereka ke pekan," katanya.

Istimewanya, biarpun mereka tidak ada sebarang talian komunikasi namun kebanyakan rumah panjang di situ mempunyai televisyen.

Ini bukan sahaja membantu mereka mendapatkan informasi semasa mengenai COVID-19 bahkan juga program TV Pendidikan menerusi saluran TV Okey.

Bersiaran selama dua jam, bermula 9 hingga 10 pagi dan 1 tengah hari sehingga 2 petang setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, program itu sedikit sebanyak membantu murid di kawasan pedalaman.

"Walaupun kurang kemudahan, saya perhatikan semangat belajar anak-anak ini kuat. Ibu bapa serta tuai rumah (ketua rumah panjang) pun sangat menitikberatkan pelajaran buat anak-anak ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X