X
Khamis, 7 Mei 2020 | 9:29am

Akur korban kebebasan bukti cintakan negara

Perasaan cinta kepada negara bukan sekadar ungkapan pada bibir, tetapi perlu dibuktikan melalui perbuatan dan tindakan. Tidak kiralah ketika negara bergelut kesukaran akibat wabak penyakit, kemelut ekonomi atau diulit kemewahan.

Kecintaan hakiki terhadap negara bukan berpaksikan 'apa yang negara boleh berikan kepada kita' tetapi mesti berteras 'apa yang kita boleh berikan kepada negara'.

Dalam situasi tanah air dilanda wabak COVID-19, perasaan cinta terhadap negara setiap warga sepatutnya lebih bersemarak dan berkobar-kobar.

Perasaan ini secara langsung terpamer melalui sikap taat dan patuh kepada pucuk pimpinan negara yang bertungkus-lumus memerangi dan berusaha memutuskan rantaian wabak daripada terus menular, khususnya melalui arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun ada segelintir rakyat dan pemimpin gagal mematuhinya. Malah, ada menghalang tugas pihak berkuasa seperti tidak memberi kerjasama.

Contohnya enggan dikuarantin selepas pulang dari luar negara, tidak mengaku mempunyai kontak dengan golongan disahkan positif COVID-19 serta mengelak melakukan ujian saringan wabak apabila diarahkan petugas kesihatan.

Pelbagai tindakan boleh dikenakan kepada pelaku seperti mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas), atau Seksyen 188 (mengingkari perintah yang diisytiharkan pejawat awam), Seksyen 269 (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit) dan Seksyen 271 (mengingkari perintah kuarantin). Namun segelintir rakyat tidak bertanggungjawab ini seolah-olah tidak mempedulikannya.

Ada pula berasa terkongkong dengan PKP, meluahkan perasaan tidak puas hati di media sosial dengan memaki, menghina serta memperlekehkan petugas barisan hadapan.

Perlakuan negatif ditunjukkan memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap arahan kerajaan yang boleh membawa kesan buruk kepada negara secara keseluruhan.

Tindakan mementingkan diri ini seolah-olah mengkhianati usaha kerajaan melalui pihak berkuasa untuk memutuskan rantaian COVID-19 demi keselamatan nyawa rakyat. Ia mempamerkan sisi ketidakprihatinan mereka terhadap pengorbanan masa, tenaga dan nyawa golongan barisan hadapan yang berjuang bersungguh-sungguh memerangi virus berbahaya ini.

Akibat perlakuan dan tindakan segelintir rakyat tidak bertanggungjawab ini, PKP fasa pertama bersambung sehingga fasa keempat untuk memastikan rantaian virus COVID-19 benar-benar dapat diputuskan.

Meskipun pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin, sempena Hari Pekerja baru-baru ini bahawa situasi semakin baik, tidak mustahil PKP yang kini memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan berterusan jika masih wujud golongan mementingkan diri yang boleh menyumbang peningkatan kes jangkitan.

Ini akan terus menjejaskan status ekonomi rakyat, sekali gus memberi impak besar terhadap kemelesetan ekonomi negara.

Perlakuan dan tindakan tidak bertanggungjawab ditunjukkan golongan ini memberi gambaran jelas terhadap penolakan elemen pengorbanan yang menjadi tiang kepada semangat cintakan negara yang perlu ada dalam jiwa setiap warga.

Pengorbanan dimaksudkan merujuk kesediaan mereka mengikut arahan PKP atau PKPB ketika ini yang di dalamnya terkandung elemen pengorbanan dari aspek kebebasan pergerakan. Tanpa pengorbanan ini di manakah perasaan cinta kepada negara? Tidak perlu untuk diungkap kenyataan tidak sayangkan negara, kerana tindakan menterjemahkan segala-galanya.

Jelas sekali golongan seperti ini hanya mengharapkan kepada 'apa yang negara boleh berikan kepada mereka' bukannya 'apa yang mereka boleh berikan kepada negara'.

Penulis ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berita Harian X