Ahad, 10 Mei 2020 | 11:01am
Tinjauan keadaan lalulintas yang agak sesak pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Jalan Kuching, Kuala Lumpur. - Foto hiasan/Eizairi Shamsudin
Tinjauan keadaan lalulintas yang agak sesak pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Jalan Kuching, Kuala Lumpur. - Foto hiasan/Eizairi Shamsudin

Mengurus infodemik elak rakyat panik

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), rakyat Malaysia meluangkan masa purata 8 jam sehari melayari internet.

Jumlah pengguna internet meningkat kepada 87.4 daripada 76.9 peratus daripada jumlah populasi pada 2018.

Peningkatan dalam peratusan ini juga meletakkan Malaysia dalam kalangan lima negara yang mempunyai penembusan internet mudah alih tertinggi di Asia Tenggara.

Seramai 75 peratus daripada pengguna internet ini juga membelanjakan duit mereka dalam talian melalui pelbagai aplikasi e-dagang.

Penunjuk ini amat penting dalam memacu pembangunan ekonomi negara masa kini.

Peningkatan statistik ini juga menunjukkan pertambahan peratusan pengguna media sosial, iaitu 73 peratus melalui beberapa aplikasi yang popular antaranya Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram.

Senario ini menggalakkan pendedahan masyarakat kepada lambakan informasi yang dikongsi, sekali gus membuatkan mereka terdedah kepada maklumat tidak tepat atau palsu di media sosial.

Istilah infodemik diguna untuk menggambarkan kemudaratan disebabkan penyebaran maklumat palsu dalam menangani wabak penyakit.

Fenomena ini boleh menjadi faktor pemangkin kepada proses penyebaran virus dengan lebih cepat lagi. Misalnya kita lihat apa yang berlaku di Lombardi, utara Itali pada awal penularan COVID-19.

Berita mengenai kawalan pergerakan terhadap rakyat menular sebelum arahan rasmi dikeluarkan pihak kerajaan.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan di stesen kereta api dan lapangan terbang kerana rakyat berpusu-pusu menuju ke wilayah selatan Itali.

Fenomena ini memangkin penularan COVID-19 dalam masyarakat dan mengganggu strategi kerajaan untuk mengawal wabak.

Seperti kita maklum, Itali kini mencatatkan kira-kira 217,000 kes positif COVID-19 dengan kematian akibat wabak agresif ini mengatasi jumlah korban di China.

Situasi serupa juga berlaku di negara kita. Apabila berita mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama disebarkan melalui media sosial secara pantas, banyak stesen bas di seluruh negara dibanjiri masyarakat yang berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing.

Jalan raya juga sesak dengan kenderaan menuju ke seluruh negara kerana panik dengan maklumat diterima lalu berfikir untuk bersama-sama keluarga pada saat genting itu.

Kecelaruan ini menyebabkan seorang warganegara positif COVID-19 tekad menaiki bas dari selatan tanah air menuju ke Kuantan dan seterusnya mencetus panik dalam kalangan penumpang, pemandu serta pengusaha bas berkenaan.

Situasi ini dapat dibendung jika masyarakat mampu berfikir dengan lebih tenang dan logik mengenai apa yang patut mereka lakukan pada saat terdesak seperti itu.

Fenomena ini membuat kita berfikir, apakah yang dapat kita lakukan jika situasi sama berlaku pada masa akan datang?

Pelbagai penyelidikan sedang dibuat bagi memahami tingkah laku dan respon masyarakat terhadap penularan berita yang tidak pasti.

Pelbagai model kajian digunakan bagi membantu kerajaan merangka polisi berkaitan penularan wabak yang sesuai bagi masyarakat setempat.

Ia dapat dilakukan melalui usaha kolektif dan berkesan antara pihak kerajaan, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi penyelidikan negara dalam merangka strategi berkaitan.

Bagaimanapun, pendidikan dalam kalangan masyarakat perlu diteruskan untuk 'fikir dulu sebelum kongsi' dalam menyebarkan sebarang maklumat dan berita di media sosial.

Persoalan seperti dari mana maklumat ini datang, siapakah yang mengeluarkan maklumat dan bagaimanakah ia terjadi perlu diutarakan dalam minda masyarakat serta wajar disemai sejak di bangku sekolah lagi.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X