X
Isnin, 11 Mei 2020 | 11:00am
Gambar fail, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Ahli Parlimen Semporna yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika sidang media selepas hadir di Majlis Perjumpaan dan Sarapan Bersama Anggota Kabinet Negeri di Hotel Pacific Sutera Kota Kinabalu pada September 2018. - Foto Malai Rosmah Tuah
Gambar fail, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Ahli Parlimen Semporna yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika sidang media selepas hadir di Majlis Perjumpaan dan Sarapan Bersama Anggota Kabinet Negeri di Hotel Pacific Sutera Kota Kinabalu pada September 2018. - Foto Malai Rosmah Tuah

Permainan politik merugikan, tumpu isu lebih penting

Bicara kepolitikan negara tenggelam seketika akibat tumpuan sepenuhnya terhadap pandemik COVID-19. Kini ia kembali hangat tatkala perjuangan membendung pandemik masih belum selesai.

Ahli Parlimen Semporna yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dilapor mengemukakan usul membangkitkan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang melayakkan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Namun, usul berkenaan ditolak disebabkan tidak selari Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa melantik seseorang Perdana Menteri adalah hak Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa sama, Dr Mahathir mengemukakan usul untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Usul diterima Speaker Dewan Rakyat dan dijadual diperbahaskan pada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Pertama bagi Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang akan bersidang 18 Mei ini.

Perkembangan ini mencetus polemik terutama ahli politik baik di blok kerajaan mahupun pembangkang. Namun, sebahagian besar rakyat seperti tidak mengendahkannya, lebih-lebih lagi pada saat negara sedang berjuang bermati-matian mencegah penularan pandemik COVID-19.

Secara amnya, rakyat melihat isu undi tidak percaya lebih berkisarkan politik kepartian dan bukan menumpukan kepada agenda pembangunan ataupun kesejahteraan rakyat.

Mereka berpendapat Ahli Dewan Rakyat seharusnya menumpukan perhatian terhadap masalah lebih penting berbanding politik, iaitu membabitkan soal kehidupan rakyat marhaen yang terkesan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Ramai sebenarnya melihat langkah itu akan memberi impak negatif kepada usaha membangun semula ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Keputusan bakal dibuat terhadap usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dijangka mengundang dua kemungkinan.

Satu kemungkinan yang pasti ialah negara akan terjebak dalam kancah politik yang tidak menentu. Sekiranya Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat, beliau boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Adakah rakyat dan negara sudah bersedia menghadapi satu Pilihan Raya Umum (PRU) dalam senario pandemik COVID-19 yang masih belum berjaya dicegah keseluruhannya?

Yang kedua, jika keadaan ini timbul, bebanan rakyat akan bertambah sedangkan mereka sudah sedia terkesan dengan kehidupan akibat PKP. Rakyat juga akan bergelut kebimbangan kerana kemungkinan segala perancangan membangunkan semula ekonomi negara yang membantu mereka mengharungi kehidupan, terjejas semata-mata kerana permainan politik.

Memandangkan Muhyiddin dilantik Perdana Menteri dengan majoriti tipis, beliau terpaksa menghadapi beberapa kebarangkalian yang mungkin timbul. Antaranya terpaksa menghadapi risiko politik luar jangka seperti undi tidak percaya dan Ahli Parlimen parti memerintah menyertai pembangkang untuk mengurangkan majoriti yang boleh menyebabkan beliau terpaksa berundur daripada jawatan.

Walau apapun, prestasi Muhyiddin selaku Perdana Menteri, amat memberangsangkan, khususnya kecekapan dan kebijaksanaan beliau mengurus pelan tindakan mencegah pandemik COVID-19.

Malah pengumuman pakej rangsangan ekonomi dilancarkan disifatkan antara terbaik dalam dunia, malah sejarah penyediaan rangsangan ekonomi dan bantuan kepada rakyat. Ia satu pakej menyeluruh kerana mengandungi pelbagai pakej khas bantuan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan kelompok.

Seseorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai hak mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dalam mana-mana sistem politik yang bersandarkan demokrasi berparlimen. Ini pernah berlaku dalam beberapa kes di negara luar.

Namun, tindakan mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri ketika ini dilihat sebagai sesuatu yang aneh dan mengejutkan, bukan sahaja bagi rakyat tempatan, malah negara luar. Yang jelas ini kali pertama seorang pengerusi parti mengemukakan undi tidak percaya terhadap presiden partinya sendiri, yang secara kebetulannya adalah Perdana Menteri.

Apa pun, rakyat beranggapan tindakan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin adalah sesuatu yang sia-sia dan lebih kepada satu permainan politik yang tidak menguntungkan rakyat pada saat ini.

Penulis adalah Penganalisis politik dan sosioekonomi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X