X
Isnin, 11 Mei 2020 | 11:19pm
UMNO melakar sejarah perjuangan cukup panjang sebagai saksi kepada pembentukan negara sejak 1946. - Foto hiasan
UMNO melakar sejarah perjuangan cukup panjang sebagai saksi kepada pembentukan negara sejak 1946. - Foto hiasan

Bersihkan UMNO, sebelum kita dibersihkan rakyat

Sejak 1946, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) tidak pernah lekang dalam perjalanan negara ini.

Daripada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (1948), kemerdekaan daripada British (1957), penubuhan Malaysia (1963) sehinggalah hari ini UMNO memainkan peranannya sebagai parti politik utama di negara ini.

Tidak keterlaluan dikatakan tanpa sumbangan UMNO, tidak mungkin negara akan mencapai kestabilan dan pembangunan seperti dinikmati Malaysia hari ini.

Setiap pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri sejak 1957, datangnya daripada UMNO atau paling tidak pernah menjadi pemimpin tertinggi UMNO.

Apabila berlaku kemelut politik negara baru-baru ini di mana kerajaan yang dibentuk oleh Pakatan Harapan (PH) tumbang, UMNO juga menjadi tempat bergantung oleh parti tertentu untuk memastikan kelancaran pentadbiran negara dapat diteruskan.

Walaupun pada asalnya UMNO berpendirian tidak mahu berpihak kepada mana-mana pihak, disebabkan krisis wabak penyakit COVID-19 yang melanda negara, UMNO memilih untuk bersama sama parti lain untuk memastikan kelangsungan sebuah Kerajaan Persekutuan yang dapat berfungsi dalam krisis yang maha hebat ini semata-mata untuk memastikan kepentingan rakyat Malaysia didahulukan.

Kegagalan PH memerintah Kerajaan Persekutuan sepanjang 21 bulan lalu menyebabkan kestabilan politik tergugat, orang Melayu dan Bumiputera terasa hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terhakis, ekonomi tergugat, pasaran saham jatuh merudum, nilai ringgit jatuh, eksport menguncup, keluaran dalam negara kasar (KDNK) menurun, pengangguran bertambah dan diplomasi dengan negara luar menjadi tidak menentu serta hilang arah tuju.

Atas dasar inilah UMNO mengorbankan dirinya menyokong Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan mengambil pendekatan terbaik untuk menyelamatkan negara demi mempertahankan ummah daripada terus diperkotak-katik dan dihancurkan PH walaupun UMNO digelar sebagai 'penumpang' dalam PN.

Di peringkat akar umbi ahli UMNO seperti saya sebelum pembentukan kerajaan PN sudah bersemangat bekerja di bawah panji Muafakat Nasional (BN dan PAS). Ini terbukti kita menang dalam lima pilihanraya kecil berturut-turut di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis walaupun tidak lagi menjadi kerajaan.

Objektif Muafakat Nasional ini jelas pada ketika itu untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan dengan mandat yang jelas daripada rakyat.

Selepas pembentukan PN, ahli di peringkat akar umbi mula menjadi keliru dan seolah-olah kehilangan arah. Kerjasama UMNO dan PAS sudah tidak seperti sebelum ini. Di kala pemimpin Muafakat Nasional mendapat jawatan di kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan, ahli di bawah keliru dengan hala tuju UMNO dan BN serta Muafakat Nasional. Kerjasama ini kelihatan lemah dan pudar.

Saban hari ahli UMNO di peringkat bawahan menunggu penjelasan daripada kepemimpinan tertinggi parti. Ramai semakin gelisah dengan tujuan, objektif dan matlamat sebenar UMNO dan PAS melibatkan diri dalam PN. Tidak ada penerangan dan pendirian yang jelas daripada kepimpinan parti terutamanya daripada Pemimpin Tertinggi UMNO sendiri.

Adakah kehilangan pendirian dan arah tuju pemimpin tertinggi UMNO ini disebabkan sebahagian daripada mereka dibebani dengan kes mahkamah? Atau adakah kerana Presiden, Bendahari, Setiausaha Agung dan beberapa lagi pemimpin kanan parti yang terpalit kes mahkamah menyebabkan parti lawan memandang UMNO ni terlalu korup sehinggakan kekuatan UMNO sudah tidak lagi dipandang sebagai parti yang bernilai dan bermaruah pada mata mereka?

Yang pastinya, tidak ada parti politik dalam dunia di mana pemimpin tertingginya masih mengekalkan jawatan walaupun sudah didakwa di dalam mahkamah atas pelbagai kes seperti rasuah, penyelewengan dan pecah amanah kecuali UMNO dan parti Likud di Israel, di mana Pengerusi parti Likud, Benjamin Netanyahu, masih mengekalkan jawatan walaupun sudah didakwa di mahkamah.

Bagi Yahudi kompas moralnya mungkin tidak sama seperti kita orang Islam. Mungkin bagi mereka didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah bukan sesuatu yang besar, tetapi UMNO sebagai parti Melayu Islam takkanlah kita nak jadi sama macam parti Yahudi di Israel.

Bagaimana UMNO hendak menawan hati rakyat dan menang dalam pilihan raya akan datang sekiranya pemimpin kanan parti masih bergelumang dengan kes berkaitan rasuah di mahkamah?

Ada pula desas desus dalam UMNO hari ini bahawa bekas pemimpin yang membawa UMNO/BN ke kancah kekalahan dalam PRU-14 lalu, kini mahu membuat penampilan semula dan merancang untuk menjadi pemimpin tertinggi BN dalam masa terdekat.

Jika benar ura-ura ini direalisasikan mengikut perancangan individu berkenaan, berkemungkinan UMNO/BN selama-lamanya tidak akan menjadi pilihan rakyat dan akan terus menjadi sejarah. Janganlah kita menggali pusara dan membaca talkin untuk diri kita sendiri.

UMNO tetap berpegang dengan prinsip 'innocence until proven guilty' (tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah), tetapi apabila pemimpin itu sudah didakwa dan dituduh di mahkamah, demi menjaga maruah dan nama parti, sebaiknya pemimpin itu berundur diri atau paling tidak berehat daripada menggalas jawatan dan tugas rasmi sehingga mereka dibuktikan tidak bersalah, dibebas dan dilepas oleh mahkamah.

Kelangsungan UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air bergantung kepada hala tuju parti ini sendiri. Tahun depan, jika keadaan mengizinkan pemilihan parti akan diadakan untuk memilih pemimpin di peringkat cawangan, bahagian dan pusat.

Pilihlah mereka yang masih mempunyai kredibiliti dan intergriti yang utuh bagi meneruskan perjuangan ini. Pemimpin yang bersih, berwawasan dan berpendirian jelas wajib diangkat untuk memimpin dan menerajui parti keramat ini.

Kepada yang mempunyai masalah peribadi, jadilah penyokong yang bermaruah.

Ia peluang terakhir untuk ahli UMNO membuktikan bahawa UMNO akan terus kekal relevan sebagai sebuah parti politik utama dalam negara ini dan mempunyai peluang untuk memenangi PRU-15 akan datang, seterusnya membentuk kerajaan di atas kekuatan sendiri.

Bersihkan parti tercinta ini, atau kita akan dibersihkan oleh rakyat Malaysia dalam pilihan raya umum akan datang, segalanya terletak di tangan kita semua.

Selamat menyambut ulang tahun ke-74 UMNO.

Penulis adalah ahli Veteran UMNO

Berita Harian X