Sabtu, 16 Mei 2020 | 10:43am
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

Sekali guru, selamanya guru

"Semuanya bermula daripada arwah ayah. Jiwa, semangat dan keikhlasannya sebagai pendidik termasuk kepada 'anak-anak istimewa' membuatkan kami adik-beradik jatuh hati terhadap profesion perguruan.

"Arwah ayah, Cikgu Mohd Salim Nordin pernah buka kelas (mengajar) di bawah tangga Sekolah Kebangsaan Simpang Durian (SKSD), Jelebu.

"Beliau tak pernah jemu mengajar ABC setiap hari kepada anak-anak murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Apabila ada anak murid yang pandai membaca, ia satu kepuasan bagi ayah.

"Bertitik tolak dari situ, saya nekad mahu menjadi guru, lebih-lebih lagi menabur bakti mengajar anak-anak istimewa. Ayah berpesan, sebagai guru kita perlu mengikhlaskan hati dan menyerahkan seluruh jiwa raga demi mendidik murid-murid tidak kiralah siapa atau apa pun latar belakang mereka " kata Guru PPKI di Sekolah Menengah Kebangsaan Teriang Hilir (SMKTH), Jelebu, Siti Aishah Mohd Salim.

Ayahnya berkhidmat sebagai guru dari usia 23 tahun sehingga bersara pada usia 60 tahun. Beliau meninggal dunia pada 2017, iaitu setahun selepas bersara.

Memiliki ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) daripada Universiti Sains Malaysia (USM), beliau berpengalaman selama 11 tahun mengajar subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kemahiran Hidup (Masakan) dan Sains bagi PPKI di SMKTH.

SMKTH terletak bersebelahan dengan SKSD, sekolah ayahnya pernah mengajar dahulu.

Siti Aishah ialah anak kedua daripada lima adik beradik. Hanya adik bongsu tunggal lelakinya yang tidak memilih kerjaya sebagai guru. Suami Siti Aishah dan abang iparnya juga guru.

Justeru, tidak hairanlah apabila keluarga Cikgu Salim dikenali sebagai 'keluarga cikgu' oleh penduduk setempat.

Bagi Siti Aishah, mengajar pelajar PPKI ada cabaran tersendiri dan beliau bersyukur serta gembira kerana dapat merealisasikan cita-cita diidamkan.

"Cabaran mengajar pelajar PPKI tidak seperti mengajar pelajar normal kerana mereka pelajar istimewa. Ada yang lambat, sukar memahami apa disampaikan dan perlu diajar berulang kali. Sungguhpun begitu, saya seronok.

"Pelajar PPKI jika diberi peluang dan melalui saluran betul, mereka boleh melakukan sama seperti pelajar aliran perdana malah tidak mustahil juga lebih baik. Mereka juga ada kecenderungan, potensi dan bakat tertentu yang boleh digilap.

"Contohnya, seorang pelajar yang mengalami masalah pembelajaran dari PPKI SKSD, apabila ke SMKTH, saya tempatkan beliau di kelas inklusif aliran perdana. Ketika Tingkatan Empat, beliau menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam dan berjaya mengharumkan nama negara apabila menjuarai pertandingan sukan permotoran di Jepun," katanya.

Berhubung perkembangan pelajaran pelajarnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan COVID-19 ketika ini, Siti Aishah berkata, kerja sekolah dan latihan diberikan melalui aplikasi Whatspps Group penjaga.

"Ada ibu bapa dan penjaga positif membantu pelajar untuk membuat kerja sekolah namun ada juga senyap, diam seribu bahasa. Boleh kata maklum balas diterima 50-50. Selain kekangan kemudahan telefon, kebanyakan pelajar juga agak sukar untuk mengikuti kaedah pembelajaran dari rumah.

"Sungguh pun begitu, perjuangan mendidik tetap diteruskan. Sebagai guru PPKI, kami umpama wira di mata pelajar.

"Tumbang kami, tumbanglah anak-anak PPKI. Insya-Allah saya akan terus menyumbang bakti dan tenaga untuk mendidik mereka, selain berharap ibu bapa juga akan terus memberi kerjasama dan menyokong usaha kami," katanya yang turut berkongsi terdapat ibu bapa bertemu beliau dan mengucapkan terima kasih serta mengalirkan air mata kerana berjaya mendidik anak-anak mereka.

Berbeza pula kisah Muhammad Hilmi Madzaili, 34, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Jelebu, yang majoriti murid sekolah itu dalam kalangan kaum Orang Asli Temuan.

Enam tahun mengajar di SK Putra, beliau berkata, cabaran awal dihadapi ialah kesukaran untuk berkomunikasi kerana bahasa Melayu bukanlah bahasa pertuturan murid-murid di sekolah itu.

"Lebih 95 peratus murid-murid dalam kalangan Orang Asli Temuan. Disebabkan masalah itu, saya perlahan-lahan cuba memahami mereka, membiasakan diri dan kini saya boleh bertutur bahasa mereka.

"Saya mahu mereka berasa selesa, selain memastikan matlamat pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai walaupun kaedahnya mungkin berbeza dengan guru dan sekolah lain," katanya yang sudah 11 tahun menjadi guru.

SK Putra mempunyai seramai 18 tenaga pengajar dan 139 orang murid serta lima orang murid pra-sekolah.

Sekolah itu turut dilengkapi kemudahan asrama yang secara tidak langsung turut menarik minat komuniti anak-anak Orang Asli untuk hadir ke sekolah dan belajar.

Majoriti murid adalah dari Jelebu, iaitu dari Kampung Putra, Kampung Sawah, Kampung Parit Gong, Kampung Simpang Pertang, Kampung Ulu Lakai dan Kampung Rangoi.

Sebahagian lagi dari Pahang, iaitu dari Kampung Gapoi, Kampung Sungai Perdak dan Kampung Semei.

Muhammad Hilmi yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur dan menetap di Sungai Buloh, Jelebu, membuat keputusan untuk tinggal di kuarters guru untuk memudahkan beliau membantu memantau aktiviti pembelajaran murid-murid termasuk mengadakan kelas tambahan.

Mengajar subjek Matematik dan Sejarah Tahun Lima, beliau berkata, murid-murid amat meminati bidang muzik dan sukan, sekali gus memerlukan guru menjadi lebih kreatif. Apa yang mereka lakukan ialah menggabung jalin sesi pengajaran dan pemudah cara (PDPC) membabitkan kedua-dua bidang itu, bagi menarik perhatian murid-murid untuk belajar.

Menyentuh pemantauan sesi pembelajaran murid-murid sewaktu PKP, beliau berkata, Guru Besar SK Putra, Syed Zulkafli Syed Abdul Karim mengambil inisiatif awal dengan menggerakkan guru untuk mengesan keberadaan murid terutama melalui aplikasi Whatsapp setiap kelas.

Cuma katanya, kekangan dihadapi ialah hampir 12 peratus ibu bapa tidak mempunyai telefon pintar selain ada antara mereka tinggal di kawasan pedalaman tidak mempunyai jaringan dan akses internet.

"Kajian dijalankan pihak sekolah mendapati hanya 61 peratus murid sekolah ini yang dapat melaksanakan pembelajaran sepanjang PKP. Sebanyak 27 peratus tidak mempunyai akses internet manakala 12 peratus lagi tiada kemudahan gajet.

"Antara medium pengajaran dan pembelajaran digunakan ialah Google Classroom, Google Meet, panggilan video, WhatsApp, Facebook, SMS atau penghantaran latihan secara manual kepada ibu bapa atau wakil pelajar, bergantung kebolehan capaian maklumat masing-masing.

"Sungguh pun begitu, majoriti ibu bapa memberi maklum balas positif dan menyokong penuh usaha kami guru untuk membantu anak-anak mereka. Ada yang sanggup berkongsi telefon pintar dan talian internet untuk anak-anak menyiapkan latihan yang diberi. Murid-murid pula teruja menyiapkan tugasan sampai ada 'pm tepi' minta tugasan lain," katanya mengagumi sikap ibu bapa dan murid-murid sekolah itu.

Berkongsi misi mendidik anak-anak komuniti Orang Asli, Muhammad Hilmi berkata, stigma kebanyakan masyarakat terhadap kebolehan golongan minoriti itu terutama dalam aspek pendidikan perlu diubah.

Selain murid-murid berjaya membuktikan kebolehan mereka melalui beberapa pertandingan dan aktiviti peringkat kebangsaan, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang saban tahun datang ke sekolah menjalankan aktiviti turut membantu memberi pendedahan kepada murid-murid Orang Asli termasuk sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Saya mempunyai prinsip bring the world to them supaya mereka tidak takut berdepan dengan dunia luar. Memang tak dinafikan, stigma memandang rendah kepada golongan ini masih wujud namun sebagai guru saya akan berusaha membantu mendidik dan mengubah kehidupan mereka melalui pendidikan.

"Bertepatan dengan tema hari guru pada tahun ini Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu, saya percaya guru perlu membuat pembaharuan selaras dengan normal baharu akibat pandemik COVID-19 agar anak-anak ini terus bersemangat untuk belajar.

"Saya berazam mencetuskan perubahan kepada diri setiap murid Orang Asli supaya lebih maju dan menempa kejayaan. Semua guru inginkan anak murid mereka berjaya, begitu juga saya yang sentiasa yakin dengan kemampuan anak-anak murid saya dengan syarat mereka cekal berusaha dan terus belajar," katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua guru di Malaysia.

Selamat Hari Guru 2020. Terima kasih cikgu!

Berita Harian X