X
Rabu, 20 Mei 2020 | 11:00am
PETUGAS barisan hadapan antara golongan berisiko hadapi jangkitan pandemik sepert COVID-19..
PETUGAS barisan hadapan antara golongan berisiko hadapi jangkitan pandemik sepert COVID-19..

Negara tak ketandusan doktor tangani pandemik

DOKTOR, jururawat, ahli fisioterapi, juruteknologi makmal perubatan dan pekerja perubatan lain ialah wira barisan hadapan menghadapi COVID-19. Mereka bersedia dan bertugas bertungkus-lumus walaupun menghadapi risiko jangkitan bukan sahaja diri sendiri, bahkan keluarga.

Di negara yang terdedah kepada pandemik dengan teruk dan ribuan pesakit terpaksa dirawat setiap hari, pekerja perubatan dan kesihatan menghadapi cabaran getir. Mereka terpaksa bekerja lebih masa dan tanpa alat kelengkapan pencegahan sempurna serta berdepan peningkatan stres. Ramai juga dijangkiti COVID-19 dan meninggal dunia seperti didedahkan di televisyen, akhbar dan media sosial.

Bagaimana pula kesan COVID-19 kepada pelajar yang sedang mengikuti kursus perubatan dan kesihatan di negara ini? Apakah mereka yang bakal menjadi doktor dan pekerja kesihatan berasa takut melihat keadaan pekerjaan dan risiko mungkin dihadapi?

Bagi mendapatkan maklum balas ini, Pusat Pengurusan Penyelidikan, KPJ Healthcare University College, Nilai, menjalankan kajian dalam talian membabitkan pelajar jurusan perubatan dan kesihatan di seluruh negara. Kajian diketuai Prof Madya Dr Norhayati Mohd Zain ini mengutarakan soalan kesan dan persepsi terhadap COVID-19.

Kajian ini mendapat maklum balas daripada 642 pelajar. Responden daripada 21 universiti awam (UA) dan swasta yang sedang mengikuti kursus perubatan, kejururawatan, pergigian, fisioterapi, farmasi dan pengimejan diagnostik.

Kepada soalan mengenai kefahaman pelajar perubatan dan kesihatan terhadap pekerjaan bakal diceburi, hampir semua pelajar iaitu 97.55 peratus faham mereka akan menjadi pekerja kesihatan dan berkemungkinan sebagai pekerja barisan hadapan jika berlaku pandemik sama COVID-19.

Apabila ditanya mengenai ketakutan bekerja dalam sektor kesihatan berdasarkan laporan risiko jangkitan dan kematian, majoriti atau 82.4 peratus menyatakan tidak takut. Namun, apabila ditanya sama ada mereka berasa keselamatan terjamin bekerja di hospital, peratusan berasa terjamin menurun kepada 73 peratus. Sebanyak 13.1 peratus pula berasa tidak terjamin selepas COVID-19 ini dan 14.2 peratus pula kurang pasti.

Mengenai soalan lebih spesifik sama ada mereka akan membabitkan diri dalam merawat dan melakukan prosedur kepada pesakit menghidap COVID-19 dengan jaminan dapat memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang sempurna, majoriti (91.6 peratus) bersetuju melakukannya.

Ini menunjukkan terdapat sebilangan kurang yakin yang mungkin disebabkan terdapat laporan dari hospital di sesetengah negara kurang persediaan dan kekurangan peralatan perlindungan untuk pekerja kesihatan.

Namun, dengan jaminan PPE sempurna, pelajar perubatan dan kesihatan bersedia merawat pesakit COVID-19. Bagaimanapun, jika diberi pilihan sendiri, separuh atau 54.6 peratus akan mengelak bertugas di tempat ada pesakit positif COVID-19.

Adalah sesuatu memberangsangkan apabila 93.1 peratus pelajar yang sedang mengikuti kursus perubatan dan kesihatan tidak kesal mengikuti kursus bidang kesihatan yang dipilih. Malah, 76.9 peratus berasa sudah bersedia menghadapi COVID-19 atau sebarang pandemik sama pada masa hadapan.

Dalam kajian ini, nampaknya pelajar perubatan dan kesihatan di negara ini, tidak terdapat kesan negatif ketara walaupun mereka didedahkan kepada laporan mencabar dan menakutkan termasuk kematian dalam kalangan pekerja kesihatan barisan hadapan.

Mereka terus yakin dengan kursus kesihatan pilihan. Ini mungkin kerana keadaan kritikal dan berisiko besar kepada pekerja kesihatan, tidak berlaku di Malaysia. Persediaan rapi dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan langkah prihatin kementerian serta masyarakat bagi memastikan pekerja kesihatan terjaga memberi keyakinan kepada pelajar jurusan perubatan dan kesihatan.

Rumusan ini amat memberangsangkan dan memberi keyakinan negara akan mempunyai doktor dan pekerja kesihatan bersedia untuk berkhidmat, jika berlaku pandemik seperti COVID-19 pada masa akan datang.

Naib Canselor, KPJ Heatlhcare Universiti College, Nilai

Berita Harian X