X
Rabu, 27 Mei 2020 | 11:00am
Gambar hiasan/Warga emas, Zaharah Mat Akhoya, 57 bersama suami, Nik Kob Said, 70. bersalam-salaman menyambut Hari Raya tanpa anak-anak ketika ditemui di Kampung Baru, Hujung Repek, Bachok. Pihak kerajaan menetapkan larangan pergerakan rentas negeri untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing bagi membendung penularan COVID-19. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Gambar hiasan/Warga emas, Zaharah Mat Akhoya, 57 bersama suami, Nik Kob Said, 70. bersalam-salaman menyambut Hari Raya tanpa anak-anak ketika ditemui di Kampung Baru, Hujung Repek, Bachok. Pihak kerajaan menetapkan larangan pergerakan rentas negeri untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing bagi membendung penularan COVID-19. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Sinari Aidilfitri warga emas tanpa risiko jangkitan wabak

Warga emas mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19 dan mungkin berdepan komplikasi lebih serius akibat penyakit kronik sedia ada.

Kementerian Kesihatan (KKM) berulang kali menekankan risiko COVID-19 terhadap golongan warga emas, baik dalam komuniti, mahupun di institusi penjagaan.

Daripada 114 kes kematian COVID-19 dilaporkan setakat 21 Mei lalu, 66.7 peratus terdiri warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Bermula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 4 Mei lalu menandakan usaha kerajaan membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berperingkat.

Pelaksanaan PKPB berteraskan konsep penjarakan sosial untuk mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19, seiring fasa penjanaan semula dan pemulihan ekonomi negara.

Penjarakan sosial satu-satunya perlindungan paling berkesan terhadap penyebaran COVID-19 memandangkan penghasilan vaksin atau imuniti berkelompok bukan pilihan yang tersedia dalam jangka masa terdekat.

Pada 3 Mei juga, KKM memutuskan membuat saringan COVID-19 terhadap semua penghuni dan kakitangan pusat jagaan warga emas kelolaan kerajaan dan swasta.

Setakat 21 Mei lalu, sejumlah 182 pusat jagaan warga emas disaring dan 18 kes positif dikesan daripada sampel 6,702 penghuni dan kakitangan.

Sejumlah 15 pusat jagaan warga emas terbabit adalah penambahan kepada kluster warga emas yang diumumkan tamat pada 7 Mei lalu. Menurut KKM, kluster pusat jagaan warga emas di Klang dan Petaling sebelum ini menyebabkan 36 orang dijangkiti dengan lima kes kematian.

Langkah diambil pelbagai pihak untuk memastikan COVID-19 dibendung dan dielak daripada menjangkiti warga emas. Sejak awal Mac lagi, Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas Se-Malaysia (AgeCOpe) menyarankan kunjungan pelawat ke rumah orang tua disekat dan penerimaan penghuni baharu dihentikan buat sementara waktu.

Terkini, KKM mengarahkan semua pesakit warga emas yang sudah dibenar pulang dan kembali ke pusat jagaan perlu disaring terlebih dahulu dengan ujian COVID-19.

Pelbagai garis panduan, ringkasan dasar, cadangan peraturan serta amalan dan soalan lazim dikongsikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), KKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan sukarelawan dan profesional dalam serta luar negara.

Niat dan harapannya adalah sama, supaya kita semua bersama-sama dapat mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi warga emas yang berisiko tinggi daripada dijangkiti COVID-19.

Bagi rakyat Malaysia, diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi PKPB, terutama tidak melakukan pergerakan rentas negeri untuk berhari raya.

Jika ingin menziarahi ahli keluarga warga emas, cukup sekadar melalui panggilan telefon atau bersemuka secara dalam talian.

Kehadiran secara fizikal adalah satu bentuk risiko kesihatan kerana penyebaran COVID-19 boleh berlaku tanpa sedar. Tambahan pula, ramai penduduk Malaysia masih kurang peka akan wujudnya pesakit asimptomatik atau individu yang tidak menunjukkan apa-apa gejala.

Pesakit COVID-19 asimptomatik mungkin menjangkiti orang lain secara tidak sengaja kerana mereka sendiri tidak sedar diri masing-masing pembawa virus.

Orang ramai digalak mengamalkan prosedur kebersihan dan kesihatan seperti mengenakan pelitup muka, menggunakan cecair sanitasi tangan, serta mandi sejurus pulang ke rumah jika perlu berurusan di luar.

Di kediaman pula, diingatkan membersihkan dan menyahkuman permukaan yang mudah dicemari seperti tombol pintu, telefon dan susur tangan.

Pada musim perayaan ini, sudah pasti ramai warga emas mengharapkan anak pulang ke kampung dan juga sebaliknya. Namun, inilah masanya untuk kita mencari penyelesaian menerusi rangkaian sanak saudara dan sahabat handai di kampung.

Jiran tetangga boleh bertanya khabar agar mereka tidak kesunyian atau kebuntuan apabila memerlukan bantuan. Komuniti setempat pula boleh membantu warga emas memperoleh akses kepada internet atau peralatan telekomunikasi.

Warga emas boleh belajar menggunakan internet untuk berkomunikasi dan anak serta cucu boleh selalu melayan datuk dan nenek dari kejauhan.

Bertanyakan khabar jangan hanya pada musim perayaan. Tunjukkan keprihatinan dan kasih sayang dengan sentiasa kekal berhubung. Kirimkan buah tangan melalui pos atau perkhidmatan penghantaran yang kini boleh sampai terus ke kampung.

Jika anda tahu ada jiran warga emas menyambut Aidilfitri berseorangan, ajak mereka meraikannya bersama-sama dengan berkongsi juadah istimewa. Kalau pandai berkomunikasi melalui WhatsApp, aturkan panggilan video kepada anak mereka.

Berilah hadiah dan sumbangan kepada warga emas dengan bantuan yang ikhlas.

Banyak pusat jagaan memerlukan kelengkapan perlindungan diri (PPE), selain sumbangan kewangan dan barangan keperluan.

Sesungguhnya COVID-19 banyak membuka ruang dan peluang untuk kita saling membantu demi kesejahteraan semua. Sinar Aidilfitri yang suram untuk warga emas nescaya akan bergemerlapan semula dengan kasih sayang yang dikongsi bersama.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X