Khamis, 28 Mei 2020 | 9:41am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Ekonomi ASEAN tumbuh perlahan

Dalam suku pertama tahun ini, ekonomi Malaysia berkembang lebih baik daripada jangkaan pakar ekonomi dengan pertumbuhan marginal 0.7 peratus.

Namun, ia penurunan mendadak daripada 3.6 peratus dalam suku keempat tahun lalu dan kadar ini paling perlahan sejak krisis kewangan global.

Berdasarkan perbandingan suku tahun, ekonomi negara merosot dengan kadar 2 peratus berbanding pertumbuhan 0.6 peratus pada suku sebelumnya. Dalam konteks ASEAN, ekonomi negara lain juga dalam trend perlahan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura turun 2.2 peratus, manakala Indonesia jatuh 3 peratus, tahap paling lemah sejak 2001.

Ini tidak mengejutkan kerana pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac, menjejaskan ekonomi negara seperti dinyatakan Bank Negara Malaysia (BNM).

Beberapa sektor mencatat kadar pertumbuhan lemah dan merosot berbanding suku sebelumnya, iaitu perkhidmatan (daripada 6.2 kepada 3.1 peratus); pembuatan (3.0 kepada 1.5 peratus); perlombongan dan penggalian (-3.4 kepada -2.0 peratus); pembinaan (1.0 kepada -7.9 peratus) dan pertanian (-5.7 kepada 8.7 peratus).

Bagi komponen perbelanjaan, pecahan KDNK seperti penggunaan sektor swasta (daripada 8.1 kepada 6.7 peratus); penggunaan sektor kerajaan (1.3 kepada 5.0 peratus); pembentukan modal tetap kasar (-0.7 kepada -4.6 peratus); eksport (-3.4 kepada -7.1 peratus) dan import (-2.4 kepada -2.5 peratus).

Sekatan terhadap pelbagai aktiviti ekonomi negara sejak PKP menyebabkan kerugian RM2.4 bilion dalam masa sehari, menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi mengelak ekonomi terjejas lebih teruk terutama perniagaan, kerajaan memutuskan untuk melonggarkan sekatan kepada kebanyakan sektor ekonomi mulai 4 Mei dengan penetapan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Namun, ekonomi negara belum pulih selagi tiada vaksin dapat dihasilkan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan berkuatkuasa hingga 9 Jun.

Walaupun pengagihan pakej rangsangan RM260 bilion kepada peniaga dan rakyat masih berterusan, ramai merasakan kesakitannya.

Pada suku pertama tahun ini, kadar pengangguran meningkat kepada 3.5 peratus (3.2 peratus pada suku sebelumnya), dengan jumlah pengangguran lebih besar seramai 546,600 orang. Mereka yang terkesan dengan pasaran kerja adalah dalam kumpulan umur 15 hingga 30 tahun (6.9 peratus).

Kadar inflasi juga jatuh mendadak kepada 2.9 peratus pada April (-0.2 peratus pada Mac) disebabkan penurunan kos pengangkutan, ditambah harga minyak rendah. Untuk keseluruhan suku pertama, inflasi masih lemah pada kadar 0.9 peratus.

Inflasi rendah selaras kemerosotan indeks sentimen pengguna dikeluarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), iaitu 51.1 dalam suku pertama tahun ini (dari 82.3 dalam suku keempat 2019). Ini hanya suku pertama. Suku kedua juga dijangka suram memandangkan sekatan pergerakan masih dilanjutkan.

Berdasarkan petanda awal untuk suku kedua tahun ini, gangguan dalam rantaian bekalan memberi kesan teruk kepada aktiviti pembuatan dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit, jatuh kepada 31.3 pada April daripada 48.4 (Mac).

Menurut kebanyakan firma pembuatan, prestasi buruk pada awal suku kedua disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan domestik dan pasaran eksport, yang dilaksanakan untuk menangani penyebaran virus. Sebilangan juga menyatakan pengeluaran berkurang dipengaruhi kekurangan tenaga kerja dan pengambilan kerja baharu yang sedikit.

Awal bulan ini, Bank Negara Malaysia menurunkan kadar faedah penanda aras sebanyak 50 mata asas, daripada 2.50 peratus kepada 2 peratus, sama seperti kadar ketika krisis kewangan global.

Secara kumulatif, BNM melakukan pemotongan 100 mata asas tahun ini. Disebabkan COVID-19 dan ketidakpastian mengenai prospek ekonomi, terdapat kemungkinan kadar faedah ini boleh diturunkan lagi.

Walaupun usaha memulihkan ekonomi sudah bermula, proses pemulihan akan berbeza di setiap sektor. Sebagai negara mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia bergantung kepada perdagangan untuk menyokong ekonomi, pemulihan domestik tidak menjamin kesejahteraan ekonomi luar negara.

Ini hasil keadaan global pesimis – permintaan luaran lemah, harga minyak rendah dan gangguan dalam perniagaan disebabkan sekatan dan penutupan.

Pengangguran dijangka melebihi matlamat awal kerajaan pada paras 4 peratus disebabkan penutupan perniagaan semasa PKP. Tingkah laku masyarakat terhadap persekitaran semasa juga boleh menjadi penentu kecepatan proses pemulihan.

Bagaimana kita mengamalkan norma baharu seperti penjarakan sosial untuk mengelakkan gelombang jangkitan baharu dan bagaimana perbelanjaan berubah semasa waktu penuh dugaan ini juga bakal mempengaruhi ekonomi masa hadapan.

Seperti dinyatakan kerajaan, pemulihan ekonomi hanya akan dapat dilihat mulai separuh kedua tahun ini, namun bergantung agenda kerajaan seterusnya, yakni Pelan Pemulihan Ekonomi.

Penulis ialah Penganalisis Penyelidik di EMIR Research.

Berita Harian X