Selasa, 9 Jun 2020 | 11:00am
COVID-19 memberi impak besar bukan hanya terhadap pembangunan sosial dan kesihatan manusia sejagat, tetapi juga pembangunan ekonomi seluruh dunia. - Foto hiasan
COVID-19 memberi impak besar bukan hanya terhadap pembangunan sosial dan kesihatan manusia sejagat, tetapi juga pembangunan ekonomi seluruh dunia. - Foto hiasan

Manfaat cabaran pandemik perkukuh penguasaan IR4.0

Kehadiran COVID-19 memberi impak besar bukan hanya terhadap pembangunan sosial dan kesihatan manusia sejagat, tetapi juga pembangunan ekonomi seluruh dunia.

Pembangunan ekonomi pada era globalisasi banyak bergantung kemampuan intelek untuk mencetus idea dan inovasi dalam bidang teknikal serta saintifik yang meletakkan sains, teknologi dan kejuruteraan lebih ke hadapan berbanding bidang lain seperti perubatan, seni reka, sains sosial dan kemanusiaan.

Kini terbukti inovasi dalam industri sangat penting bagi mana-mana negara seluruh dunia. Peluang pekerjaan meningkat untuk bakat dan kemahiran baharu selaras perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Kemahiran baharu diperlukan untuk era IR4.0 lebih menjurus trend automasi dan pertukaran data semasa dalam teknologi pembuatan serta perkhidmatan berkaitan dengannya.

Ia merangkumi sistem fizikal siber, internet kebendaan (IoT), pengkomputeran awan dan pengkomputeran kognitif.

Hampir setiap industri yang mempunyai pengaruh besar dalam penjanaan ekonomi sesebuah negara, dipengaruhi kekuatan teknologi yang sebenarnya secara diam-diam menjelmakan IR4.0 ke serata pelosok dunia.

Sebenarnya, pakar ekonomi dan usahawan dunia memerhatikan perubahan besar ini ketika mereka mencari strategi baharu untuk mengembangkan perniagaan secara global.

Secara kebetulan, kemunculan COVID-19 memberi ruang kepada IR4.0 untuk diterima baik masyarakat dunia. Belum pernah ada waktu sebaik ini untuk IR4.0 berkembang pada tahap memberangsangkan sebelum ini.

Dalam tempoh 18 bulan hingga dua tahun akan datang, kemajuan dalam teknologi digital akan berkembang pantas secara eksponensial setara kemajuan dicapai sejak awal zaman komputer.

Perisian pintar memecahkan halangan untuk menyembunyikan maklumat apabila data boleh berada di mana sahaja kerana semuanya diproses secara digital dengan pantas dalam talian. Ini merangkumi apa yang kita suka, siapa yang kita ikuti, dengan siapa kita berkomunikasi serta bagaimana kita membeli.

Demi masa depan perniagaan dalam teknologi baharu, inilah masa yang harus dimanfaatkan graduan untuk bersedia menyiapkan diri mengikuti kemahiran relevan untuk menghadapi revolusi industri ini.

Sejak dahulu bakat manusia menjadi faktor penting dalam pertumbuhan ekonomi dan dianggap sama pentingnya dengan sumber ekonomi dan sosial lain. Bezanya cuma pada era IR4.0, bakat kemahiran diperlukan kini sangat berbeza dengan bakat kemahiran sumber manusia terdahulu.

Kebolehpasaran graduan era IR4.0 bukan sahaja menekankan pengembangan kemahiran berfikir dan teknikal tinggi, malah turut menekankan pentingnya memupuk kemahiran menyelesaikan masalah dan inovasi digital.

Malaysia sangat bertuah kerana kesedaran intelek dan pendidik terhadap pendidikan teknikal serta vokasional tercetus sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan menghasilkan program pendidikan teknikal berimpak tinggi, hasil kesedaran dan wawasan pemimpin negara yang mampu melihat keperluan itu pada masa hadapan.

Sehingga kini banyak institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara menjalinkan kerjasama dengan IPT luar negara dengan membawa sinergi menghasilkan graduan yang kompeten pada peringkat global.

Pendekatan kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi yang menghantar pendidik melanjutkan pengajian ke luar negara pada peringkat pengajian lebih tinggi seperti sarjana dan doktor falsafah sebelum ini adalah satu langkah berani dalam memberi peluang berlakunya pemindahan ilmu serta teknologi untuk jangka masa panjang.

Transformasi ini menjadi platform yang berfungsi sebagai medium asimilasi pendidikan dan teknologi antara ahli akademik dan pendidik tempatan dengan rakan akademik di luar negara.

Sedar tidak sedar kesarjanaan pendidik kini memberi impak besar kepada graduan dalam negara dari aspek kesediaan menghadapi era globalisasi IR4.0. Lebih daripada itu, amalan penyelidikan dan penemuan empirikal mereka bersama graduan pasca siswazah tempatan kini bertaraf dunia dan diiktiraf banyak negara.

Agenda kerajaan dalam menghasilkan modal insan holistik, berpendapatan tinggi dan menjadi masyarakat abad ke-21 berkemajuan teknologi IR4.0 bukanlah angan-angan, sebaliknya menjadi keperluan utama kepada modal insan pencetus penjanaan ekonomi negara selaras pembangunan lestari diimpikan rakyat dan negara kepada suatu anjakan nilai yang baharu.

Kesimpulannya, transformasi nasional melalui pendidikan dinamik dan fleksibel jangka panjang membantu memperkasakan modal insan negara serta mengubah Malaysia menjadi negara aman yang kaya dengan nilai ekonomi dan sosial berteraskan sains dan teknologi.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X