Selasa, 30 Jun 2020 | 11:00am
Gambar fail, gelagat kanak kanak Rohingya, pada program pemeriksaan kesihatan untuk kanak-kanak pelarian Rohingya anjuran NGO Allied Care for Neglected and Abandoned Kids (ANAK) & As Salaamah Wal Adaalah (ASWA). - Foto Mahzir Mat Isa
Gambar fail, gelagat kanak kanak Rohingya, pada program pemeriksaan kesihatan untuk kanak-kanak pelarian Rohingya anjuran NGO Allied Care for Neglected and Abandoned Kids (ANAK) & As Salaamah Wal Adaalah (ASWA). - Foto Mahzir Mat Isa

Pendidikan formal persiap ikhtiar hidup pelarian

Secara statistik, satu peratus penduduk dunia kini menjadi pelarian, pencari suaka atau pelarian dalaman di negara sendiri (IDPs). Sebahagiannya mungkin pernah mengecapi nikmat seperti dilalui 7.9 bilion manusia lain, termasuk mempunyai pekerjaan, kediaman mahupun kehidupan berkeluarga dalam keadaan aman.

Majoritinya ialah kanak-kanak dan wanita berisiko tinggi berhadapan seribu satu kemungkinan disebabkan peperangan, penganiayaan, pelanggaran hak asasi manusia dan keganasan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam Laporan Global Trend 2019 mendapati 79.5 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka hingga penghujung tahun lalu.

Angka ini menunjukkan lebih dua kali ganda perpindahan global berlaku dalam tempoh sedekad. Sebagai perbandingan, 10 tahun lalu, jumlah penduduk dunia kehilangan tempat berteduh dianggarkan 41.1 juta.

Ini bermakna bagi setiap satu minit, purata 30 hingga 40 individu terpaksa keluar berhijrah mengakibatkan berlakunya pertukaran status sosial mereka.

Ironinya, saban tahun warga global meraikan Hari Pelarian Sedunia pada 20 Jun dengan tahun ini bertemakan 'Setiap Tindakan Diambil Kira.' Ia bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap situasi dihadapi pelarian seluruh dunia.

Persoalannya, apakah warga dunia semakin cakna terhadap pelarian? Bagaimana pula sentimen xenophobia atau ketakutan mendalam terhadap orang asing dan diskriminasi kepada orang luar? Apakah kita bersetuju konflik dan krisis dunia berterusan akhirnya mencetuskan pandemik pelarian?

Fakta dilaporkan UNHCR menunjukkan 26 juta pelarian mendapatkan perlindungan di negara lain; pelarian di negara sendiri (45.7 juta) dan pencari suaka (4.2 juta), iaitu meninggalkan kampung halaman tetapi status belum dikenal pasti pihak berkuasa.

Daripada 26 juta pelarian disahkan status, 20.4 juta di bawah mandat UNHCR, manakala 5.6 juta lagi dengan Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).

Konflik peperangan di beberapa negara seperti Syria, Yaman, Afghanistan dan Myanmar termasuk kejatuhan ekonomi serta faktor perubahan iklim di Venezuela, Congo dan Selatan Sudan, menyebabkan dua pertiga penduduk kini tidak mempunyai pilihan, selain keluar dari negara asal.

Situasi itu menyebabkan pelarian politik atau ekonomi menyelamatkan diri dengan berjalan kaki atau menempuh lautan bergelora. Dilaporkan beribu kes kematian direkodkan demi meneruskan kehidupan.

Lebih malang, dunia kini berhadapan pandemik COVID-19, sekali gus memberikan impak buruk dalam sejarah kesihatan global. Umumnya negara miskin dan berpendapatan sederhana mahupun membangun seperti Bangladesh serta Pakistan menjadi destinasi pilihan pelarian.

Negara berkenaan kini berperanan sebagai tuan rumah kepada hampir 85 peratus pelarian yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan. Natijahnya, implikasi negatif ekonomi dan politik pasti akan berlaku dalam keadaan negara berkenaan juga bergelut kehendak domestik rakyat sendiri.

Pertambahan jumlah pelarian tidak dapat dikendurkan. Sinergi dan gabungan penggerak komuniti, masyarakat sivil, pemain politik dan organisasi antarabangsa wajar memainkan peranan lebih signifikan agar konflik dapat diselesaikan.

Pasti trauma penderitaan tidak mudah dilupakan. Ini termasuk pembunuhan di depan mata, ahli keluarga diperkosa, diusir, dinafikan hak, dipenjara mahupun sukar mencari rezeki hingga mengakibatkan kekurangan nutrisi.

Pada masa sama, sentimen kebencian dan prasangka buruk terhadap pelarian yang memohon perlindungan tidak dapat dielakkan. Mereka dilihat dengan naratif negatif dan disogok fitnah hingga mempengaruhi orang ramai. Tidak dinafikan ada dalam kalangan pelarian membuat onar, namun adilkah kita memukul rata?

Penumpuan wajar diberikan kepada kanak-kanak yang tidak harus menjadi mangsa dan menanggung penderitaan, malah ada yang terpaksa menanggung dan menyara keluarga pada usia muda. Ada menjadi mangsa eksploitasi pemerdagangan manusia.

Oleh itu, penekanan pendidikan amat dititikberatkan gerakan madani seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan memberikan peluang pendidikan formal kepada mangsa pelarian Bosnia, selain Kemboja, Palestin, Nigeria dan negara konflik lain.

Sebahagian mereka dahulunya ditempatkan di Malaysia hingga diberi ruang mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat universiti, termasuk doktor falsafah (PhD). Kini, sebahagiannya menjadi individu penting di negara masing-masing dalam pelbagai sektor termasuk politik, keagamaan, perniagaan dan perkhidmatan.

Justeru, model pendidikan dan penerusan pembelajaran yang memberi penekanan kepada elemen kepemimpinan ummah diteruskan hingga ke hari ini.

Ratusan pelarian Syria dan Rohingya diberi peluang untuk mengikuti pendidikan secara formal melalui Jasmine Ash Sham Alternative Education Centre diusahakan Malaysia For Syria (MFS) di bawah Global Peace Mission (GPM).

Jaringan Rohingya Education Centre (JREC) pula mempunyai ribuan pelajar Rohingya di beberapa Sekolah JREC di Selangor, Pulau Pinang, Pahang serta Terengganu.

Kedua-dua sekolah alternatif diiktiraf UNHCR ini menawarkan pendidikan rendah hingga menengah. Kewujudannya menjadi langkah solidariti dan empati yang berhasrat agar mereka ini bakal menjadi pemimpin masa hadapan. Mereka bakal membuka dan membangunkan semula negara yang dahulunya bergolak.

Kesinambungan usaha ini melalui simbiosis universiti awam (UA) dan swasta menerusi tawaran biasiswa khas kepada yang benar-benar layak amat dialu-alukan bagi meneruskan pencarian ilmu di peringkat lebih tinggi.

Usaha kolektif, holistik dan bersepadu semua pihak termasuk perundingan diplomasi kerajaan diperlukan agar terus memberi tekanan kepada negara yang terbabit konflik untuk segera menghentikan kezaliman dan peperangan, seterusnya menerima kembali pelarian.

Penulis adalah Naib Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Global Peace Mission (GPM) Malaysia

Berita Harian X