Khamis, 23 Julai 2020 | 8:30am
Lebih 2.75 juta pekerjaan dikekalkan melalui pelaksanaan PSU serta program pengekalan pekerja di bawah PRIHATIN dan PENJANA. - NSTP/Mustaffa Kamal
Lebih 2.75 juta pekerjaan dikekalkan melalui pelaksanaan PSU serta program pengekalan pekerja di bawah PRIHATIN dan PENJANA. - NSTP/Mustaffa Kamal

Melanjutkan subsidi upah pilihan lebih baik

MELANJUTKAN tempoh Program Subsidi Upah (PSU) tiga bulan lagi bagi syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai selepas tamatnya program itu, lebih baik berbanding melanjutkan moratorium pinjaman enam bulan.

Ini kerana PSU sangat berkesan dalam melindungi rakyat daripada hilang pekerjaan.

Oleh kerana sebahagian besar penangguhan moratorium berjumlah RM38.4 bilion membabitkan individu berbanding RM19.3 bilion yang dirasai perniagaan, kita boleh andaikan sebab utama gesaan inisiatif itu dilanjutkan adalah kebimbangan rakyat akan kehilangan pekerjaan, menghadapi pemotongan gaji atau mendapat cuti tanpa gaji.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lalu menyatakan sekitar 65 peratus isi rumah mendapat manfaat daripada penangguhan pembayaran pinjaman berjumlah RM38.4 bilion.

Beliau juga berkata, lebih 2.75 juta pekerjaan dikekalkan melalui pelaksanaan PSU serta program pengekalan pekerja di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Lebih 800,000 perniagaan, termasuk perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mendapat manfaat daripada pakej terbabit.

Kebimbangan mengenai ketidakpastian akan berlakunya suasana merudum pada masa terdekat menyebabkan sebahagian besar individu tidak memerlukan moratorium demi menabung untuk hari-hari sukar. Ini kerana 90 peratus peminjam sudah memanfaatkan moratorium itu, menurut satu tinjauan Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (AKPK).

Penabungan untuk hari-hari sukar diperkukuhkan apabila tinjauan mendapati hanya 21 peratus yang menyertai moratorium menggunakannya untuk keperluan harian berbanding 48 peratus menabung untuk dana kecemasan.

Namun, dalam keadaan perkembangan ekonomi masa kini, apa diperlukan bukanlah tabungan untuk mengumpul dana kecemasan. Sebaliknya yang penting perbelanjaan bagi mendorong peningkatan penggunaan yang menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada masa kemelesetan yang dijangka muncul akibat COVID-19.

Apa yang menarik, pelaksanaan PSU tidak seperti moratorium yang bersifat automatik. Seorang majikan hanya perlu memohon pada bila-bila masa antara 1 April hingga 30 September untuk menyertainya, dengan subsidi gaji dibayar mulai bulan permohonan dikemukakan.

PSU tidak akan menyaksikan longgokan pelaksanaan bermula serentak pada bulan sama. Puncanya syarikat yang dapat bertahan dalam berdepan masalah aliran tunai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak akan memohon pada April kerana boleh berbuat demikian kemudian.

Pokok pangkalnya mengelakkan kehilangan pekerjaan yang ramai. Rakyat mendapat manfaat berbanding moratorium.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pembayaran pinjaman tertunda di bawah moratorium dianggar mencecah RM55.2 bilion sehingga 13 Julai.

Melanjutkan moratorium hingga enam bulan lagi hanya akan meningkatkan jumlah pinjaman tertunda dan membebankan industri perbankan yang memainkan peranan mereka sebelum ini dengan menyetujui untuk melepaskan pembayaran faedah kompaun dalam moratorium enam bulan.

Lantaran disyorkan jika moratorium dilanjutkan, ia harus dilakukan berdasarkan kes tertentu yang disasarkan kepada mereka yang benar-benar mengalami kesulitan untuk memenuhi kewajipan membayar pinjaman tertunda mereka.

Tempoh lanjutan pula tidak semestinya enam bulan kerana bergantung keadaan peminjam bermasalah.

Semoga industri perbankan dapat sekali lagi memainkan peranan melepaskan bayaran faedah kompaun oleh kumpulan sasar peminjam yang menghadapi kesulitan dalam keadaan mencabar ini.

Lagipun, bank sememangnya mampu bermurah hati dengan penyertaan jumlah peminjam yang agak sedikit.

Penulis adalah Penyelidik di EMIR Research

Berita Harian X