Rabu, 29 Julai 2020 | 11:00am
Gambar fail, bot nelayan asing yang dikesan maritim di perairan Malaysia, Laut China Selatan.
Gambar fail, bot nelayan asing yang dikesan maritim di perairan Malaysia, Laut China Selatan.

Pertahan kedaulatan maritim tanpa undang krisis

Ketika China meneruskan pencerobohan terhadap Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan, kita perlu menunjukkan ketegasan tekad memandangkan berulang kali berlaku pelanggaran kedaulatan dan integriti wilayah secara jelas oleh China.

Pada masa sama, kita mesti terus berusaha melalui saluran diplomatik dua hala mahupun pelbagai hala untuk mendapatkan penyelesaian baik, berkekalan dan mampan kepada masalah berterusan ini.

Malaysia harus menerima hakikat ketegangan yang wujud akibat menjadi 'sahabat dan musuh' China (frenemy) dalam menangani isu Laut China Selatan yang pada asasnya bersendikan kepentingan nasional kita sebagai faktor utama.

Bagi tujuan itu, kita harus meningkatkan strategi dan infrastruktur keselamatan pertahanan maritim serta udara kita. Tindak balas tidak terancang dan sementara tidak lagi memadai.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan pada 14 Julai, China mencerobohi perairan Malaysia 89 kali antara 2016 dan 2019.

"Pengawal Pantai China (CCG) mencerobohi perairan Malaysia 72 kali sementara selebihnya oleh Tentera Laut Pembebasan Rakyat.

"Pencerobohan itu bertujuan menonjolkan kehadiran China berkenaan tuntutannya di Laut China Selatan, terutama di Beting Patinggi Ali (BPA) di perairan Sarawak," kata laporan itu.

Laporan itu dikeluarkan dalam suasana pendirian Amerika Syarikat (AS) yang semakin tegar terhadap kehadiran China di Laut China Selatan disusuli berbalas kenyataan antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Selain BPA, pencerobohan China terbaru dalam perairan kita adalah di kawasan bahagian pelantar benua Malaysia berdekatan Luconia Shoals dengan kapal tinjauan China disertai CCG dan kumpulan milisi nelayan dari April hingga Mei lalu.

Penganalisis berpendapat Malaysia kini lebih bergantung pada China untuk perdagangan akibat kesan ekonomi COVID-19. Namun, mereka juga menyifatkan diplomasi Menteri Luar yang dibuat dengan diam-diam dan penuh hikmah itu bukan kerana tekanan untuk tunduk kepada tuntutan China sama ada ekonomi atau ketenteraan.

Kenyataan Hishammuddin sebenarnya tidak mengejutkan. Harus diingatkan beliau ialah bekas Menteri Pertahanan yang memainkan peranan penting dalam menjalin dan mengeratkan hubungan pertahanan dan keselamatan serta kerjasama dengan China ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, terdapat keperluan merapatkan jurang dasar dari segi diplomasi dan keselamatan yang memerlukan penyelarasan baik.

Menuju ke arah itu, Malaysia seharusnya antara lain menggantungkan amalan memberi akses pelabuhan kepada kapal perang China dan menyeru agar China tidak mengirim aset ketenteraannya menemani kapal awam di ZEE negara yang menuntut.

Begitu juga, melaksanakan dasar memantau dan mengawasi kegiatan kapal China yang dihantar untuk tujuan tinjauan, saintifik, penyelidikan dan maritim serta menghentikan semua aktiviti perikanan nelayan China.

Di samping itu, Malaysia perlu menjalin dan mengeratkan kerjasama pertahanan dan keselamatan lebih kuat dengan negara anggota ASEAN terpilih, iaitu Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina dan Vietnam untuk menyekat kehadiran kapal China.

Pada masa sama, negara anggota ini harus mengesahkan perjanjian pertahanan bersama dan keselamatan untuk menandakan tekad menentang tingkah laku agresif China.

Dengan kata lain, Malaysia tidak mempunyai pilihan, selain meninggalkan amalan berkecuali dan bertolak ansur yang selama ini tidak menguntungkan.

Malaysia juga perlu memulakan protokol nota lisan atau nota pihak ketiga secara langsung kepada China bagi menyatakan bantahan dan protes terhadap pencerobohan, bukan melalui badan pengadil seperti Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Batasan Pelantar Benua walaupun berisiko menimbulkan kejanggalan dan kegeseran diplomatik.

Menggunakan bahasa baharu tegas dalam hubungan antarabangsa diimbangi dengan bahasa lebih sederhana, misalnya: "Malaysia memandang rampasan wilayah oleh China sebagai melanggar hak kedaulatan kita ke atas sumber dalam ZEE."

Malaysia tiada pilihan selain memperkasakan kedudukan demi kedaulatan dan integriti wilayah.

Penulis adalah Ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi di EMIR Research

Berita Harian X