Khamis, 30 Julai 2020 | 11:01am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kaji kaedah lupus pelitup muka

Penggunaan pelitup muka menjadi perbincangan hangat berikutan kerajaan mewajibkan pemakaiannya bermula 1 Ogos ini.

Namun, lebih awal daripada itu, rakyat England sudah diwajibkan memakai pelitup muka di kedai dan pusat beli-belah, bermula Jumaat lalu. Mereka yang gagal berbuat demikian, akan dikenakan denda £100 (RM546) dan jika dibayar dalam tempoh 14 hari, potongan 50 peratus diberikan.

Di Perancis pula, pemakaiannya mula diwajibkan di tempat awam tertutup, bermula 20 Julai lalu. Ini diwajibkan di tempat seperti kedai, pasar tertutup, muzium, lobi hotel dan dewan kuliah universiti. Denda bagi mereka yang gagal mematuhinya, €135 (RM675).

Penggunaan pelitup muka memang langkah baik bagi mengelakkan penularan COVID-19. Ia dapat menghalang daripada penyebaran virus melalui titisan cecair yang terhasil daripada percikan air liur ketika bercakap atau batuk.

Namun, kita sebenarnya menggunakan bahan sintetik fiber plastik sekali guna yang sukar dilupuskan. Ini merujuk pelitup muka pembedahan dan N95. Selain itu, ramai juga menggunakan pelitup muka kain diperbuat daripada kapas yang boleh dibasuh dan diguna semula.

Pelitup muka kain kapas lebih lestari, tetapi ia tidak berkesan untuk menghalang penularan COVID-19. Ia memang tidak sesuai bagi mereka bergejala. Bagi orang sihat, saranan memakai pelitup muka kain kapas sudah memadai, tetapi ia memerlukan pengesahan Kementerian Kesihatan.

Dapat dibayangkan apabila semua orang diwajibkan memakai pelitup muka pakai buang, kita akan menyaksikan lambakan sisa sekali guna di tempat pelupusan sampah. Paling teruk, ia akan berada di mana-mana memandangkan ciri produk yang ringan dan mudah melayang. Ini ditambah sifat kurang bertanggungjawab segelintir masyarakat membuang sampah tidak tentu tempat.

Sisa pelitup muka sintetik fiber plastik juga tidak boleh dimasukkan ke dalam tong kitar semula plastik. Ia tidak sesuai dikitar semula atas faktor kebersihan dan kesihatan.

Justeru, kerajaan wajar mencadangkan cara pelupusan jelas kepada rakyat. Contohnya dengan menyediakan tong sampah khas untuk pelitup muka pakai buang di tempat awam. Ini memudahkan kerajaan mengambil langkah cara pelupusan difikirkan sesuai. Buat masa ini, mungkin pembakaran dalam insinerator lebih sesuai dan mungkin teknologi sisa ke tenaga (waste to energy) boleh diambil kira.

Jika tidak, ia akan ke tempat pelupusan sampah. Tidak kira sama ada bahan digunakan ialah bahan polimer fiber berasaskan petroleum atau bahan boleh biorosot, ia akan berada di situ dan mula terurai disebabkan cuaca panas, sejuk, hujan, lembap serta panas terik.

Bahan boleh biorosot yang berada di tempat pelupusan sampah juga lama-kelamaan berpotensi menghasilkan gas metana jika pada keadaan tertentu.

Penting untuk kerajaan menyedari pembuangan pelitup muka pakai buang menyebabkan lambakan sisa akan dapat dilihat di sekitar tapak pelupusan sampah. Mungkin juga ia akan ke sungai, lautan dan tempat awam jika kita semua lepas pandang atau lepas tangan mengenai hal ini.

Justeru, kerajaan dan Kementerian Kesihatan wajib menyarankan pemilihan pelitup muka yang sesuai bagi mereka sihat atau bergejala, cara pengumpulan sisa pelitup muka jelas di tempat awam dan mengambil langkah pelupusan sisa dengan berkesan.

Penulis adalah Pensyarah Program Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X