Jumaat, 31 Julai 2020 | 11:00am
Antara binaan lama Lembah Bujang yang menunjukkan interaksi komuniti lampau menggunakan Selat Melaka, ribuan tahun lalu. - Foto hiasan/Zunnur Al Shafiq
Antara binaan lama Lembah Bujang yang menunjukkan interaksi komuniti lampau menggunakan Selat Melaka, ribuan tahun lalu. - Foto hiasan/Zunnur Al Shafiq

Khazanah, ekosistem Selat Melaka warisan budaya Malaysia

Sebagai laut sempit antara Malaysia, Indonesia dan Singapura, Selat Melaka menjadi laluan maritim terpenting di dunia. Selat sepanjang kira-kira 800 kilometer dan lebar 10 hingga 300 kilometer itu, menjadi sempadan laut terpenting antara Sumatera dan Semenanjung.

Kedalaman laut ini tidak mencapai 100 meter dan pada kawasan paling cetek berhampiran Singapura, kedalamannya sekitar 23 meter. Ia juga laluan strategik antara Barat dengan Timur sejak ribuan tahun.

Penduduk padat di pinggir Selat Melaka, sepanjang perairan Sumatera dan Malaysia menyumbang kesibukan laluan maritim serta kemerosotan alam sekitar laut. Malaysia bergantung kepada air Selat Melaka untuk kepentingan makanan, pelancongan dan industri perkapalan yang sering terkait dengan isu pencemaran laut penting ini.

Sebagai antara laluan terpenting dagangan maritim dunia yang menyumbang lebih 30 peratus daripada dagangan global pada 2017, ia juga menyambung Lautan Hindi dengan Lautan Pasifik dan menjadi laluan lebih 100,000 kapal setiap tahun.

Ia dijangka bertambah dua kali ganda dengan peningkatan ekonomi China pada 10 tahun akan datang. Ini jelas memberi impak besar terhadap status kualiti alam sekitar di perairan Selat Melaka.

Secara sejarahnya, komuniti manusia tinggal di pesisiran Selat Melaka mempunyai perjalanan lama. Dagangan dari India dan China bertemu di sini yang terbukti dengan penemuan candi serta relau pelebur besi di Lembah Bujang, Kedah.

Artifak berunsur India dan tembikar dari China menunjukkan interaksi komuniti lampau menggunakan Selat Melaka, sebahagiannya menjangkau lebih 2,400 tahun.

Antara kerajaan lama memerintah ialah Majapahit, Srivijaya, Acheh dan Melaka. Kerajaan Melaka kurun ke-13, diikuti detik penjajahan Barat meneruskan lagi kepentingan Selat Melaka sebagai laluan dagangan maritim.

Percampuran antara komuniti perdagangan dengan tempatan membentuk budaya unik. Warisan komuniti di pesisir Selat Melaka berkait rapat budaya dan identiti kepelbagaian komuniti tempatan.

Malaysia mencerminkan identiti ini dan dirujuk sebagai negara maritim. Oleh itu, kelestarian Selat Melaka berkait rapat perlindungan warisan budaya Malaysia.

Keunikan kepelbagaian biologinya boleh difahami dengan merujuk pembentukan selat itu sendiri. Dari sudut geologi, Selat Melaka terbentuk ketika peningkatan paras air sekitar 20,000 tahun dulu yang memisahkan tanah besar Asia (termasuk Semenanjung Tanah Melayu) dari Pulau Sumatera.

Ini menyebabkan komuniti hidupan darat di kedua-dua bahagian pesisir Selat Melaka berbeza antara satu sama lain. Laluan laut yang terjadi membentuk Selat Melaka, kini menghubungkan Laut China Selatan dengan Lautan Hindi.

Bagi hidupan laut, Selat Melaka bukan sekadar penyambung antara dua lautan, bahkan pertemuan antara kedua-dua lautan utama ini.

Dengan kemasinan air lebih rendah berbanding Lautan Hindi dan Laut China Selatan, sebahagian besar hidupan laut tidak dapat melintasi Selat Melaka. Ia menjadikan selat ini penting dari sudut pembentukan kepelbagaian biologi marin terasing dan unik – berfungsi sebagai kawasan menyokong serta menyekat percampuran komuniti laut antara dua lautan besar.

Contohnya, komuniti ikan terumbu karang di Lautan Hindi berbeza spesiesnya berbanding di Laut China Selatan kerana komuniti ini tidak dapat menjangkaui Selat Melaka. Bagaimanapun, ikan pelajik (yang dapat berenang jauh) seperti tuna dan haiwan hijrah seperti ikan paus dapat merentasi Selat Melaka serta boleh dijumpai di kedua-dua lautan berkenaan.

Berbanding Lautan Hindi dan Laut China Selatan, tahap kepelbagaian biologi di Selat Melaka adalah sederhana, tetapi komposisinya agak unik. Gamat Langkawi yang dijumpai di Selat Melaka, baru saja diberikan nama saintifik, sekali gus menggambarkan keunikan spesis di rantau ini.

Beberapa spesis siput baru saja dijumpai di hutan bakau tua Merbok di Kedah, iaitu hutan sederhana besar dan dikelilingi penempatan manusia padat. Ini menandakan keistimewaan ekosistem marin di Selat Melaka dan kepentingan untuk memuliharanya.

Pembentukan ekosistem unik di Selat Melaka dipengaruhi dua faktor utama. Pertama, kemasinan air laut rendah berbanding Lautan Hindi dan Laut China Selatan. Ini disebabkan aliran air sungai yang banyak dari Sumatera dan Semenanjung Malaysia.

Kedua, kekeruhan air yang juga hasil daripada kemasukan bahan asing dari darat. Sungai besar seperti Sungai Perak dan Sungai Muda di Semenanjung serta Sungai Kampar dan Sungai Siak dari Sumatera antara sistem sungai menyumbang kepada kekeruhan dan kemasinan air rendah di Selat Melaka.

Ada beberapa jenis ekosistem besar di sini seperti ekosistem hutan bakau, terumbu karang, pesisir pantai berselut dan berpasir, ekosistem rumpai laut dan ekosistem laut terbuka. Masing-masing menyumbang kekayaan kepelbagaian biologi di Selat Melaka. Ekosistem terbesar ialah ekosistem hutan bakau. Di Semenanjung, hutan bakau luas boleh didapati di kawasan pesisiran pantai bermula Kedah, Perak, Selangor hingga ke Johor.

Antara ekosistem bakau terkaya kepelbagaian biologi ialah Merbok dan Pulau Langkawi. Kebanyakan kawasan hutan bakau di Sumatera terletak di Taman Negara Berbak dan Sembilang. Ekosistem ini amat penting sebagai tapak pembiakan dan tumbesaran ikan, sekali gus tempat simpanan stok karbon besar (lebih besar berbanding hutan hujan tropika) yang berpotensi mempengaruhi iklim dunia.

Ekosistem terumbu karang penting hanya boleh didapati di sudut hujung Selat Melaka kerana air lautnya lebih jernih seperti di gugusan kepulauan Songsong dan Langkawi di Kedah. Terumbu karang masih boleh dijumpai di sekitar Pulau Sembilan (Perak) dan Port Dickson, tetapi berkeluasan agak kecil.

Semua ekosistem terumbu karang agak unik kerana mengandungi komponen spesies yang tahan terhadap kekeruhan air tinggi dan pH air laut rendah berbanding spesies terumbu karang di Lautan Hindi dan Laut China Selatan.

Apabila terumbu karang dunia diancam fenomena keasidan laut (atau kejatuhan nilai pH air laut) akibat perubahan iklim menjurus kepada kemusnahan ekosistem ini, komuniti karang di Selat Melaka masih dapat bertahan. Ini mungkin disebabkan pembentukan komuniti karang yang lama terbentuk dalam suasana laut sering berubah. Kawasan terumbu karang lasak di perairan ini mungkin menjadi satu-satunya ekosistem karang yang dapat bertahan dengan fenomena keasidan laut akibat pertukaran iklim.

Penulis adalah Ahli Pasukan Bertindak, Kluster Alam Sekitar & Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM)

Berita Harian X