Rabu, 16 September 2020 | 11:14am

Merdeka bukan bermakna perjuangan terhenti

Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa hamba dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa saya serahkan

Bait syair klasik ini barangkali dinukilkan ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, tatkala Kota Melaka masih berdiri utuh.

Sekiranya ditelusuri sejarah, kita pasti dapat melihat Kerajaan Melaka dan Majapahit yang terletak di Tanah Jawa adalah kerajaan yang memiliki pengaruh serta empayar cukup luas.

Pembayang pantun memberi maksud mendalam bagaimana perjuangan pemimpin terdahulu bersemangat teguh untuk mempertahankan negara, malah turut digambarkan, andainya roboh Kota Melaka, akan dibawa papan dari Jawa bagi membangunkannya semula.

Badan dan nyawa sanggup diserahkan menggambarkan bagaimana kesungguhan mereka yang sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan tanah air tercinta.

Penubuhan Malaysia pada tanggal 16 September 1963 yang diisytiharkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka adalah kesinambungan sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan 31 Ogos. Ia disambut saban tahun bagi memperingati penubuhan Malaysia.

Bagi orang lama, tarikh keramat itu kekal terpahat dalam lipatan sejarah yang tidak mungkin dilupakan. Semangat menyala-nyala dengan gejolak rasa yang mahu bebas meronta-ronta.

Betapa getirnya pemimpin negara mempertaruhkan nyawa demi menuntut sebuah kemerdekaan. Ia dicapai dengan titisan darah dan air mata. Ia akan terus mekar sebagai satu nostalgia yang tidak luput di ingatan.

Ironinya, bagi anak muda yang tidak lagi perlu melalui pengalaman getir dijajah, adakah kemerdekaan hanya dilihat sebagai retorik pengkisahan sejarah semata? Atau sekadar satu catatan daripada epilog kembara yang perlu diingati semula?

Jika demikian, maka bangun dan renungkanlah. Hayati makna kemerdekaan, insafilah amanah perjuangan dalam erti kata sebenar.

Kemerdekaan bukan bermakna terhentinya sebuah perjuangan. Ia melambangkan titik permulaan pembangunan suatu bangsa yang merdeka. Bebaskan diri, pemikiran dan budaya daripada cengkaman penjajah serta dogma sesat.

Jadilah jiwa yang merdeka, terus berjuang untuk mencicip nikmat kemerdekaan yang belum digapai.

Kemerdekaan tidak ternilai harganya kerana ia memungkinkan kita menikmati pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan.

Malaysia bumi bertuah kerana masih dikurniakan kestabilan politik dan ekonomi. Semangat patriotisme dalam perjuangan pemimpin terdahulu harus disemai dalam hati sanubari setiap individu.

Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah atas pengorbanan, titisan darah dan air mata tokoh terdahulu.

Jiwailah semangat merdeka. Manifestasikan semangat merdeka dengan menghormati kedaulatan negara, hindari rasuah, tingkatkan nilai integriti dalam melaksanakan sesuatu tugas.

Bekerjasama untuk membangunkan negara ke arah lebih maju. Jadilah anak watan yang mempunyai jati diri yang tinggi.

Pada hari ini, tatkala kita dilanda pandemik COVID-19, kegigihan dan pengorbanan petugas barisan hadapan harus kita hargai.

Tema 'Malaysia Prihatin' menggambarkan kesatuan seluruh rakyat Malaysia memerangi pandemik ini. Ia turut mencerminkan jalinan kesediaan dalam menghadapi segala rintangan bersama.

Semangat Malaysia Prihatin juga dapat disemarakkan dalam segenap kehidupan yang menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian negara.

  Negara yang merdeka memiliki perundangan yang luhur, mempamerkan kebersamaan semua rakyat pelbagai kaum dalam meniti kemakmuran, keamanan dan kedamaian.

Generasi yang hadir daripada pelbagai latar belakang dan resam dapat disatukan sebagai satu bangsa bermaruah.

Sederap kita membina bangsa. Cintai Malaysia, tanah airku yang merdeka.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat

Berita Harian X