Selasa, 23 Jun 2020 | 8:24am
Selamat ulang tahun ke-64 buat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Selamat ulang tahun ke-64 buat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Karya wibawa, berkualiti angkat sumbangan DBP

SELAMAT ulang tahun ke-64 buat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ayuh kita pandang institusi penting ini dalam tanggungjawabnya membina tamadun bangsa.

Salah satu peranan besar institusi ini ialah penerbitan buku. Bukan pada aspek jumlah judul baharu diterbitkan setiap tahun, namun buku diterbitkan mempunyai wibawa yang akhirnya menjadi khazanah peradaban Melayu.

Penerbit yang baik menjadikan buku diterbitkan sebagai rujukan dan simpanan dalam kalangan ilmuwan dan koleksi istimewa di perpustakaan ilmiah.

DBP yang sarat pengalaman boleh menjadi penanda aras dan kebanggaan kita sebagai penerbit berwibawa mengikut acuan tempatan.

Di tanah Arab, antara penerbit terkemuka ialah Maktabah Bulaq, Muassasah Risalah, Maktabah al-Mutanabbi, Mustafa al-Halabi dan Dar al-Kutub al-Misriyyah.

Kewibawaan mereka terserlah dengan menerbitkan buku karangan ilmuwan besar Islam termasuklah Imam al-Ghazali dan al-Iji yang berkualiti tinggi dan menjadi carian serta rujukan ilmuwan disegani.

Di Barat pula, penerbit seperti Princeton, Oxford, Cambridge, Brill dan EJW Memorial Series juga terkenal untuk sekian lamanya.

Selain karya ilmuwan Barat, mereka proaktif dan produktif menerbitkan buku terjemahan ilmuwan Islam merentasi pelbagai disiplin ilmu.

Walaupun terdapat buku diterbitkan mereka sudah lama habis dicetak, ia tetap bernilai tinggi dan menjadi buruan pengkaji, ilmuwan dan perpustakaan utama dunia. Buku baik dihasilkan oleh pengarang berwibawa di samping kualiti kertas dan persembahan kulit muka yang bermutu.

Mengimbas kembali dua dekad awal penubuhannya, DBP berperanan memperkenalkan karya sastera Melayu yang penting.

Dalam 'Siri Sastera DBP' misalnya, beberapa karya diterbitkan seperti Hikayat Hang Tuah (1968), Hikayat Pandawa Lima (1964) dan juga Hikayat Amir Hamzah (1969).

DBP juga tidak terkebelakang menerbitkan buku terjemahan besar misalnya karya Ibn Khaldun berjudul Muqaddimah, Syeikh Wahbah al-Zuhayli (Fiqh Islam), Benard Vlekke (Nusantara) dan Marshall Hogson (Kebangkitan Islam).

Harus diingat tradisi keilmuan Islam juga mengutamakan penterjemahan karya besar bagi bacaan khalayak penuntut ilmu yang serius.

Tambahan pula, DBP turut menerbitkan buku berbahasa Inggeris. Tamsilnya, buku berjudul The Origin of the Malay Sha'ir' (1968) dan Concluding Postscript to the Origin of the Malay Sha'ir (1971) karangan ilmuwan disegani, Prof Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Kedua-dua buku ini adalah kritikan ilmiah Prof al-Attas terhadap dua orientalis terkenal, Prof Andries Teeuw dan Dr Pectus Voorhoeve.

Prof al-Attas mempertahankan ketulenan sumbangan ilmuwan Melayu, Syeikh Hamzah al-Fansuri, berdasarkan kajian langsungnya terhadap manuskrip Syeikh al-Fansuri.

Secara tidak langsung, Prof al-Attas mengingatkan kepada kita agar belajar dan faham tulisan Jawi dengan mengenal makna sebenar kandungan perbicaraan dan istilah penting yang disuratkan ilmuwan dalam karya mereka.

Ini bagi mengelakkan makna sebenar diseleweng semberono yang mengakibatkan mesej yang tersurat dan tersirat, gagal difahami. Ia sekali gus menenggelamkan sumbangan besar ilmuwan dalam pembinaan pemikiran orang Melayu selama ini.

Sementelahan itu, DBP menerbitkan buku berjudul Ilmu Ketatanegaraan Melayu hasil kajian Dr Khalif Muammar A Harris amat dialu-alukan.

Ia kajian ilmiah terhadap dua manuskrip tulisan Jawi karangan Raja Ali Haji dalam ilmu ketatanegaraan berjudul Muqaddimah fi Intizam dan Thammarat al-Muhimmah.

Kajian ini penting kerana terdapat penemuan baharu yang mengangkat lagi sumbangan keilmuan Raja Ali Haji yang sebelum ini terserlah dalam ilmu historiografi, persuratan dan faham bahasa Melayu.

Kedua-dua manuskrip membuktikan orang Melayu sudah sedia awal mempunyai falsafahnya tersendiri dengan berasaskan pandangan alam Islam terhadap tujuan dan cara mentadbir negara.

Pengaruh tasauf turut menjadi elemen penting dalam melahirkan pentadbir negara yang cemerlang. Raja Ali Haji mengingatkan pentadbir untuk mengawal daya marah (al-ghadabiyyah) untuk menjadi pentadbir berani, terbuka mendengar pandangan rakyat dan adil.

Lebih menarik, buku itu juga melampirkan transliterasi dan salinan semula tulisan Jawi manuskrip asal yang siap ditahkik. Ini memberi peluang kepada kita membaca kembali kandungan falsafah ketatanegaraan Raja Ali Haji dalam tulisan Jawi.

Usaha penerbitan ini secara tidak langsung mendokong titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah, "Bahasa itu sebahagian daripada roh bangsanya, mencerminkan sejarah, adab tertib dan etika bangsa dalam sesuatu peradaban. Perkembangan tamadun sesuatu bangsa, daripada segi keupayaan dan pencapaian intelek, tergambar dalam bahasa yang digunakan".

Kesimpulannya, peranan DBP dalam penerbitan bukunya amatlah dihargai dan wajar diperkuatkan lagi dengan memberi tumpuan juga terhadap manuskrip Melayu-Islam.

Secara langsung, ini juga dianggap usaha ilmiah lagi rasional dalam mempertahankan tulisan Jawi.

Muhammad Mohamad Idris,
Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian X