Rabu, 29 Julai 2020 | 10:30am
Institut Koperasi Malaysia.
Institut Koperasi Malaysia.

Koperasi umpama 'kerajaan' jaga kebajikan ahli

Koperasi sebagai pertubuhan digerakkan untuk menjayakan sosioekonomi anggotanya, dapat memajukan kepentingan ekonomi dan sosial, sekali gus bermanfaat untuk masyarakat setempat.

Pandemik COVID-19 menjejaskan sektor ekonomi termasuk perniagaan koperasi. Ada antaranya terpaksa mengurangkan bilangan kakitangan, manakala keuntungan sukar diraih, malah kewangan yang ada adalah untuk meneruskan kehidupan lebih mencabar.

Mandat diberikan kepada anggota lembaga koperasi pasti diuji. Ketika ini, koperasi perlu merealisasikan prinsip dan nilai dalam membantu anggota masing-masing. Dapat dikatakan koperasi bagaikan 'kerajaan' yang harus menjaga kebajikan dan keperluan 'rakyat', yakni anggota koperasi.

Walaupun 'kerajaan' berhadapan cabaran getir untuk survival dalam ekonomi, bantuan dan sokongan masih perlu diberikan kepada 'rakyat'.

Banyak kaedah yang boleh diambil koperasi untuk membantu ahli ketika menghadapi impak COVID-19. Antaranya menjadi hab penyaluran barangan makanan dan keperluan. Koperasi sudah semestinya mempunyai butiran lengkap anggota yang memudahkan koperasi mengedarkan bantuan makanan dan keperluan lain.

Strata taraf anggota koperasi bersifat pelbagai. Anggota yang mempunyai kewangan mantap boleh menyalurkan sedekah kepada koperasi bagi membantu anggota tidak bernasib baik dan kewangan tidak stabil termasuk sakit atau orang kurang upaya (OKU). Keperluan seperti lampin pakai buang, peralatan sokongan atau susu makanan tambahan dapat meringankan beban mereka.

Ini menjadikan koperasi sebagai pusat sehenti bagi anggota koperasi dan komuniti berhampiran untuk mendapat bantuan. Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi memudahkan aktiviti penyaluran bantuan kepada semua.

Menjadi tanggungjawab ahli lembaga koperasi dan jawatankuasa berkaitan untuk membuat penjadualan bagi melaksanakan gerak kerja penyaluran bantuan. Ini meningkatkan imej koperasi di mata masyarakat.

Koperasi juga boleh bertindak memberikan bantuan sumber kewangan. Ini pentingnya mewujudkan tabung kebajikan dan kecemasan yang boleh digunakan ketika menghadapi impak COVID-19 seperti membeli keperluan, memulakan aktiviti menjana pendapatan dan membayar bil utiliti.

Koperasi boleh memberi pinjaman dengan syarat tidak membebankan anggota. Pemberian moratorium juga boleh dilakukan untuk meringankan bebanan kewangan ahli.

Dari segi sokongan emosi dan motivasi, koperasi membantu anggota terutama mengatasi segala bentuk tekanan. Jangan lupa anggota koperasi mempunyai keluarga, sekali gus perlu dibantu dalam hal ini.

Mengambil tahu dengan bertanya khabar sebenarnya mudah. . Koperasi boleh mewujudkan skuad khusus sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

Koperasi juga boleh bekerjasama dengan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan psikologi, mental dan emosi. Oleh itu, kekusutan, ketakutan dan kekeliruan boleh diredakan.

Dalam konteks sokongan pendidikan, koperasi yang mempunyai kemudahan internet boleh memanfaatkannya untuk kegunaan anggota yang memerlukan. Anak anggota dapat meneruskan pembelajaran sekiranya koperasi menjadi hab proses pembelajaran ini. Usaha ini perlu disokong pihak berkaitan, terutama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Koperasi perlu membuat perancangan kecemasan seperti keadaan yang sedang berlaku ini. Bayangkan sekiranya koperasi mempunyai tanaman nanas, mempelam, ternakan ayam dan ikan, tetapi tidak dapat diedarkan, sudah tentu lambakan produk akan rosak dan dibuang begitu sahaja.

Sekiranya kerjasama antara koperasi dapat dilakukan contohnya koperasi mengeluarkan produk dengan koperasi menjalankan aktiviti jualan secara dalam talian atau aktiviti pengangkutan, isu lambakan dapat dikurangkan.

Koperasi juga boleh bekerjasama dengan syarikat penghantaran cepat bagi menyelesaikan permasalahan seperti barangan tidak sampai pada waktunya akibat terlampau banyak menerima bungkusan.

Kerjasama dengan pihak berkuasa seperti menerima tempahan untuk menyiapkan kelengkapan barisan hadapan. Sekiranya semua lebih 14,000 koperasi di negara ini mengemaskini data keanggotaannya yang melebihi 6 juta itu, ia akan dapat membantu terutama kerajaan dalam pengagihan bantuan atau pemantauan.

Ia diharap dapat mengatasi isu rakyat yang mungkin ada yang terlepas pandang daripada menerima bantuan sewajarnya.

Rumusannya, koperasi ialah jentera penjana bermatlamat mempertingkatkan ekonomi dan sosial anggota serta komuniti. Koperasi yang aktif akan menyediakan pelbagai aktiviti dalam menggambarkan kerelevanan. Aktiviti koperasi perlu disokong dan dijayakan sebaiknya agar tenaga, wang serta masa adalah berbaloi.

Manfaat diperoleh pula bukan sahaja dari segi kewangan, bahkan faedah bukan kewangan seperti kemudahan pembelajaran, rujukan kesihatan, keharmonian dan gotong-royong ketika kesusahan. Koperasi terbaik dapat menjamin kesejahteraan anggota dalam keadaan apa sekalipun.

Namun, bukan mudah untuk memastikan matlamat penubuhan sesuatu koperasi tercapai kerana ia memerlukan komitmen semua komponen. Justeru, koperasi dan anggota berpisah tiada kerana kedua-dua ini saling memerlukan dalam menjadikan gerakan koperasi relevan kepada semua.

Ini bertepatan dengan apa dikatakan 'satu untuk semua, semua untuk satu.'

Hasrin Abu Hassan,
Kampung Pondoi, Tampin, Negeri Sembilan

Berita Harian X