Khamis, 30 Julai 2020 | 10:30am
- Foto Muhammad Asyraf Sawal
- Foto Muhammad Asyraf Sawal

Bersama semarak Hari Kebangsaan

Beberapa hari lagi, kita akan memasuki bulan kebangsaan iaitu bermula 1 Ogos hingga 16 September. Setiap tahun, hari kenegaraan ini disambut seluruh rakyat dengan penuh kebanggaan dan semangat patriotik.

Bagi membangkitkan momentum sambutan Hari Kebangsaan, biasanya Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menjadi penyelaras dalam kebanyakan aktiviti sambutan bulan kebangsaan seperti aktiviti kibar Jalur Gemilang.

Kibaran Jalur Gemilang di seluruh negara seolah-olah menjadi sesuatu 'wajib' sebagai lambang menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan atau bulan kemerdekaan negara.

Tahun ini, sambutan hari kebangsaan ialah ulang tahun kemerdekaan ke-63. Dijangkakan sambutan kali ini, amat sederhana disebabkan negara masih berada dalam fasa pemulihan COVID-19. Namun, kita yakin sambutannya akan tetap meriah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata empat aktiviti utama akan diadakan sempena Bulan Kebangsaan iaitu Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara bermula 9 Julai hingga 16 September, Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Putrajaya (28 Julai), Sambutan Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur (31 Ogos) dan Sambutan Hari Malaysia di Sibu (16 September).

Pengisian lain ialah pertandingan kenegaraan dalam masyarakat bagi tujuan menyemarakkan semangat cintakan negara. Antaranya, Pertandingan Pidato Kenegaraan, Sayembara Puisi Merdeka, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan dan Pertandingan Fotografi [email protected] dan Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka), [email protected].

Rakyat boleh sama-sama merancakkan lagi kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan melalui penggunaan media sosial untuk menzahirkan rasa kebanggaan menyambut hari penuh bermakna ini.

Apa pun, sambutan hari kebangsaan disertakan ulang tahun ke-50 Rukun Negara amat bermakna buat negara dan rakyat. Ingatan dan penjiwaan semula Rukun Negara sebagai ideologi negara akan menjadikan pemikiran, semangat dan orientasi sikap rakyat lebih dinamik dalam menjadikan negara ke arah masyarakat tinggi semangat perpaduan dan membawa negara ke arah kemajuan lebih cemerlang.

Kita perlu membangunkan satu budaya baharu bersifat nasional bagi tujuan menggerak dan melonjakkan perubahan serta kemajuan dalam semua sektor sama ada bersifat pembangunan ekonomi (kebendaan) dan spiritual (kerohanian). Pencapaian seimbang penting sebagai indeks atau petunjuk kita benar-benar merdeka secara fizikal, minda dan spiritual.

Jika kita hanya berbangga pencapaian ekonomi sedangkan masyarakat kita mungkin luntur semangat kenegaraan dan mundur minda serta kerohanian hingga menimbulkan pelbagai masalah, kita sebenarnya belum berada dalam kerangka kemerdekaan sebenar. Masyarakat akan pincang dengan pelbagai masalah menghantui kehidupan dan mengganggu kestabilan serta keharmonian.

Dalam konteks etos kerja, nilai dinamik perlu diterap dan dibangunkan dalam kalangan rakyat agar dapat menghala kepada semangat kerja tinggi. Kerja bukan semata-mata untuk diri, bahkan negara atas semangat patriotisme. Nilai utama seperti ketekunan, kesungguhan, ketelitian, kerapian, kecekapan dan bekerja penuh integriti perlu disuburkan dalam masyarakat.

Etos kerja ini harus disuburkan dan dijiwai sebagai nilai budaya kerja nasional supaya menjadi pemangkin ke arah lonjakan berganda kemajuan negara. Inilah semangat mesti digarap dalam menghayati sambutan Hari Kebangsaan.

Tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ialah Malaysia Prihatin yang bermakna seluruh rakyat berganding memerangi pandemik COVID-19. Penghayatannya mesti diperluaskan kepada prihatin terhadap semangat untuk terus membangunkan negara ke arah kemajuan cemerlang.

Usaha mengatasi COVID-19 mesti merangkumi usaha memulihkan ekonomi negara dan kehidupan rakyat yang terjejas, malah kerajaan sendiri menunjukkan sikap prihatin melalui inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Usaha menyubur budaya kerja dinamik memerlukan sikap mental kritis dan kreatif untuk menghasilkan hasil kerja atau kualiti produk tinggi. Kreativiti dan inovasi melaksanakan kerja, penggunaan internet, kesalinghubungan digital selari dengan tuntutan era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ialah aliran baharu dalam pembangunan ekonomi dunia.

Pada era IR4.0 ini, pendigitalan berfungsi sebagai pemboleh daya ekonomi. Antara elemen penting ialah analisis data raya, kecerdasan buatan (AI), internet dan pengkomputeran awan perlu dikuasai masyarakat. Ia mesti dijadikan budaya kerana nilai baharu IR4.0 akan menentukan keupayaan negara untuk bersaing di pentas global.

Walaupun kita berdepan keadaan sukar dengan ekonomi, sosial dan politik berdepan risiko, dengan disiplin serta semangat tinggi kita tetap gagah hadapi cabaran sukar ini dengan kekuatan mental, semangat dan kemahuan. Kemahuan dan kesungguhan ditunjukkan rakyat ialah lambang patriotisme yang mesti dikekalkan. Pemimpin politik juga harus bersifat patriotik dengan bersikap matang dan rasional dalam berpolitik.

Dalam negara memasuki tahap pemulihan dan rakyat masih bergelut memulihkan kehidupan, ahli politik mesti mengelakkan krisis dan 'perang' politik sesama mereka supaya kestabilan politik negara tidak tergugat. Peralihan kuasa kerajaan kepada Pakatan Nasional (PN) melalui kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang diuruskan Baginda secara demokratik hendaklah dihormati. Bukankah kesetiaan kepada Raja dan Negara menjadi antara lima prinsip Rukun Negara?

Kesimpulannya, sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar mengimbau kembali perjalanan sejarah kemerdekaan negara tetapi ia perlu melihat kepada usaha pengisian kemerdekaan dan rakyat hidup penuh harmoni serta bersatu padu dan mempunyai jati diri dan semangat patriotisme tinggi.

Mohd Ayop Abd Razid
Batu Caves

Berita Harian X