Jumaat, 31 Julai 2020 | 10:30am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

'Rawat individu mahu bunuh diri, bukan hukum'

Saya ingin menyuarakan sokongan kepada seruan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang cubaan membunuh diri menjadi jenayah yang boleh dihukum sehingga setahun penjara, denda atau kedua-duanya.

Saya juga ingin mencadangkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menyegerakan kajian cadangan yang dikemukakan kementerian berkenaan untuk memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Saya berpendapat peruntukan tertera dalam Kanun Keseksaan itu adalah ketinggalan zaman dan perlu digugurkan.

Alasan untuk memelihara peruntukan itu yang diwarisi daripada masa pihak penjajah adalah bahawa penghapusannya akan mendorong lebih banyak percubaan membunuh diri. Sehingga kini, tidak ada data atau laporan kes yang menunjukkan 'dekriminalisasi' meningkatkan kes bunuh diri.

Sebenarnya, kadar bunuh diri cenderung menurun di negara selepas dekriminalisasi. Ketika bunuh diri dianggap tindakan jenayah, percubaan bunuh diri sering disembunyikan dan kematian bunuh diri tidak dilaporkan hingga memberikan persepsi tingkah laku bunuh diri kurang lazim.

Adalah mustahak kerajaan dan pihak berkuasa yang relevan di negara ini memperhatikan seruan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada semua negara anggota untuk mengkaji semula peruntukan undang-undang berkaitan bunuh diri dan berusaha ke arah dalam dekriminalisasi bunuh diri.

Bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada 2014, WHO mengeluarkan Laporan Bunuh Diri Sedunia (WSR). Laporan itu menyusul penerapan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Komprehensif 2013-2020 oleh Majlis Kesihatan Sedunia, yang menyatakan kesanggupan semua 194 negara anggota mengurangkan kadar bunuh diri sebanyak 10 peratus menjelang 2020.

Antara pemerhatian utama laporan komprehensif ini adalah mengenai status undang-undang bunuh diri dan kesannya terhadap pencegahan bunuh diri di negara anggota ini. Daripada 194 negara yang disiasat, 25 yang kini, termasuk Malaysia mempunyai undang-undang dan hukuman khusus terhadap cubaan membunuh diri.

Kematian dalam keluarga sama ada dengan bunuh diri atau cara lain, biasanya meninggalkan trauma mempengaruhi ahli keluarga, rakan karib dan juga komuniti sosial pelbagai peringkat. Bunuh diri secara lazimnya akan semakin memburukkan keadaan emosi semua terbabit. Mereka yang mempunyai niat untuk bunuh diri harus diberi nasihat dan rawatan dan bukannya dihukum.

The Befrienders Kuala Lumpur, sebuah NGO diwujudkan pada 1970 untuk memberikan sokongan emosi kepada orang tertekan atau mempunyai niat membunuh diri, melihat peningkatan jumlah panggilan diterima, terutama dalam beberapa tahun terakhir ini. Jumlah panggilan hampir dua kali ganda dalam tempoh enam tahun antara 2014 hingga 2019, dengan jumlah panggilan 36,154 tahun lalu.

Hampir satu pertiga panggilan tahun lalu adalah daripada mereka berusia antara 15 hingga 29 tahun dengan majoriti berusia 20-an. Angka ini berkorelasi dengan kes bunuh diri menjadi penyebab kematian kedua utama dalam kalangan kumpulan berusia 15 hingga 29 tahun seperti dilaporkan WHO.

Semakin banyak pemanggil bercakap mengenai cabaran berkaitan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kegelisahan.

Banyak pemanggil yang tertekan mempunyai pemikiran untuk mengakhiri hidup mereka. Pada 2019, sejumlah 34 peratus daripadanya menyatakan mempunyai keinginan untuk membunuh diri. Peratusan pemanggil bunuh diri dalam enam tahun terakhir berkisar antara 25 peratus dan 34 peratus yang menunjukkan kepentingan dan keperluan usaha pencegahan bunuh diri.

Selalunya, ada sindiran halus; baik dari dalam keluarga mahupun dari luar masyarakat, bahawa anggota keluarga masih hidup bertanggungjawab atas kematian mangsa membunuh diri dengan tidak memberi sokongan sepenuhnya atau tidak cukup waspada terhadap tanda amaran awal.

Mangsa bunuh diri sering menderita atas rasa bersalah, menyalahkan diri sendiri dan bahkan kemarahan terhadap mangsa bunuh diri yang kematiannya kadang-kadang dapat dilihat sebagai pengkhianatan kepercayaan ahli keluarga dan rakan terdekat mereka.

Penyelidikan kes bunuh diri berterusan menentukan isu kompleks membabitkan interaksi pelbagai faktor psikologi, sosial, biologi, budaya dan persekitaran.

Cara sederhana untuk melihatnya adalah dengan menganggap bunuh diri sebagai jalan terakhir apabila seseorang menghadapi pelbagai beban dan tekanan yang tidak lagi mampu menanggungnya bersendirian. Kajian penyelidikan berulang kali menunjukkan pengasingan sosial dapat meningkatkan risiko bunuh diri dan sebaliknya memiliki ikatan manusia yang kuat dapat melindungi terhadapnya.

Oleh itu, hubungan sangat penting bagi individu yang mungkin terdedah kepada bunuh diri dan menjangkau mereka terputus hubungan dengan orang lain serta menawarkan sokongan dan persahabatan kepada mereka mungkin menjadi tindakan menyelamatkan nyawa.

Tan Sri Lee Lam Thye,
Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental

Berita Harian X