Rabu, 16 September 2020 | 10:30am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Keharmonian kaum tonggak kemakmuran, kemajuan negara

Pada 31 Ogos setiap tahun, ayah akan membawa saya ke suatu tempat agak istimewa. Pada tarikh itu, majikan ayah, Southern Malayan Tin Dredging (SMTD) akan mengadakan program khas untuk semua pekerja di bawah seliaannya.

SMTD sebuah syarikat perlombongan bijih timah beroperasi di Kampar, Perak. Pekerja lombong membabitkan tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Mereka ditempatkan dan disediakan penginapan, iaitu sebuah rumah mempunyai dua bilik. Ayah antara pekerja lombong bijih timah.

Program berbentuk 'Pesta Sukan Rakyat' dirancang untuk memberi peluang kepada semua pekerja dan ahli keluarga menyertainya. Permainan seperti memanjat tiang licin, tarik tali dan lari berganti-ganti mendapat sambutan paling hangat.

Semua pekerja bersama keluarga masing-masing ditempatkan di kawasan padang agak luas. Gerai makanan dan minuman juga disediakan untuk kemudahan pengunjung.

"Ini semua untuk pekerja kenal antara satu sama lain," jawap ayah ringkas ketika ditanya kenapa program sebegitu dianjurkan.

Peristiwa itu berlaku 47 tahun lalu, iaitu di sekitar awal 1980-an. Sehingga kini, masih terbayang keriuhan dan kehangatan program, yang mana semua pekerja dapat bergaul dan bertanya khabar antara satu sama lain.

Masih ingat lagi, ayah memperkenalkan beberapa rakannya yang berlainan bangsa. Antara masih diingat ialah Uncle Rama dan Uncle Ah Chong. Mereka juga membuat perkara sama, memperkenalkan anak masing-masing kepada ayah.

Kini baru difahami betapa signifikan dan unsur nilai tambah boleh dikutip hasil program itu. Bukan untuk bersukan semata-mata, tetapi mempunyai tujuan murni, iaitu perpaduan. Dengan perpaduan ini, maka tercetus keharmonian seperti diimpikan.

Peristiwa itu sedikit sebanyak mengubah persepsi dan pandangan terhadap perpaduan. Perpaduan ibarat pohon yang perlu disemai dan dibaja. Ia juga perlu dibentuk dan bukannya terbangun dengan sendirinya. Apakah yang perlu dilakukan dan diutamakan untuk membentuk sebuah generasi yang bersatu?

Tugas ini dilihat mencabar. Generasi sekarang menampakkan perpecahan begitu ketara. Bangsa Melayu yang menjadi etnik dominan, juga tidak dapat lari daripada ancaman perpecahan.

Perbezaan fahaman politik, kecelaruan budaya dan berlainan status atau kelas begitu meruncing. Masyarakat Melayu yang dahulunya begitu berpegang kepada nilai ketimuran, seperti saling hormat-menghormati, kini sudah bertukar wajah.

Kata-kata kesat dan maki hamun sudah menjadi kebiasaan. Kejadian pemandu bergaduh dengan seorang pengawal keselamatan masih segar dalam ingatan. Itulah kejadian sering berlaku sekarang.

Perbezaan bangsa dan etnik menjadikan isu ini ibarat barah yang sukar disembuhkan. Setiap bangsa semestinya mempunyai pantang larang dan pegangan yang pelbagai. Sebagai contoh, orang Melayu akan 'naik angin' apabila ada yang menyentuh perihal hak keistimewaan bangsanya. Banyak peristiwa menjadi nanah dalam hati setiap orang Melayu.

Kerancakan dunia digital sememangnya memberi impak besar dalam perbincangan ini. Media sosial menjadi wadah komunikasi semakin meluas.

Daripada anak kecil sehingga datuk atau opah, sudah memiliki akaun Facebook atau Instagram. Fenomena ini jika diurus dengan baik, akan dapat menghasilkan sesuatu yang positif.

Namun, kegagalan dan penggunaan media sosial secara tidak sihat akan memburukkan lagi keadaan. Penyalahgunaan media sosial menjadi isu yang sukar dibendung. Berita yang tidak enak untuk perkembangan keharmonian kaum pastinya akan cepat tular.

Justeru, keharmonian kaum tanpa mengira warna kulit perlu dipandang lebih serius. Keutuhan tembok perpaduan dan keharmonian ini penting untuk kelangsungan kemajuan negara.

Selepas kita mengalami perubahan dalam tampuk pemerintahan negara, diharap isu keharmonian dan perpaduan kaum dapat dilihat lebih mendalam.

Kewujudan Kementerian Perpaduan Negara yang baharu, sedikit sebanyak memberi nafas lega untuk kita mengharungi bersama isu ini. Pelan tindakan jangka panjang perlu dirangka sebaik mungkin.

Penyertaan orang muda dalam hal perdebatan mengenai perpaduan negara, perlu diusahakan. Program berbentuk kesukarelawan tanpa mengira bangsa boleh diketengahkan.

Semangat cintakan negara perlu dipupuk selari model keutuhan keharmonian bangsa. Perpaduan yang pernah dicapai dulu, perlu dibina dan diberi nafas baharu. Untuk menjadikan Malaysia negara maju dan disegani, keharmonian kaum tonggak utama kemakmuran dan kemajuan negara.

Zamri Sarji.
Pusat Asasi UIAM Gambang

Berita Harian X