Rabu, 12 Julai 2017 | 6:00am

Tribunal PPT di KL bela etnik ditindas


PELARIAN Rohingya ketika membuat protes terhadap tindakan keras etnik Rohingya di Myanmar. - Foto Reuters

Tribunal Awam Tetap (PPT) beribu pejabat di Rome akan mengadakan Sesi Penutup prosiding mengenai warga Rohingya, Kachin dan lain-lain kumpulan etnik minoriti di Myanmar, yang dijangka diadakan di Kuala Lumpur (KL) mulai 18 hingga 22 September 2017. Sesi Pembukaan PPT diadakan di International State Crime Initiative, Queen Mary University of London pada 6 dan 7 Mac lalu.

Pada waktu itu PPT menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN supaya mengambil langkah efektif dan segera untuk hentikan kekejaman dan keganasan jenayah antarabangsa Myanmar, terutama terhadap etnik Rohingya dan Kachin. Walaupun PBB dan ASEAN tidak memberi respons secara berkesan, kepentingan tangani isu yang didepani dua komuniti terbabit tetap kekal sebagai isu mendesak.

PPT secara rasmi lahir di Bologna pada 1979 sebagai lanjutan langsung pengalaman Russell Tribunal II bagi menangani kediktatoran Amerika Latin (1974-1976). Tribunal ini dipromosi oleh Lelio Basso untuk mencela kejahatan rejim tentera di rantau berkenaan. Kehendak rakyat dan mangsa kekejaman Amerika Latin mengubah sifat Russell Court yang kadang-kadang berubah menjadi forum pengaduan tetap bagi masyarakat yang mengalami ketidakadilan akibat kegagalan undang-undang antarabangsa.

Oleh kerana itu, PPT adalah inisiatif akar umbi dan hasil desakan untuk menyediakan mekanisme bebas bagi menganalisis perkembangan diingini untuk memulakan proses pembebasan dan keadilan masyarakat yang dizalimi.

Sama seperti Tribunal Russell, PPT terus relevan kerana wujud pandangan bahawa pengadilan antarabangsa yang kompeten bagi mengatur tuduhan dan tuntutan individu yang dikandung dalam dimensi kolektif mereka belum dapat dizahirkan secara berkesan oleh anggota PBB. Dalam keputusannya, PPT melampaui pengiktirafan tanggungjawab jenayah untuk menghasilkan kebenaran, peringatan dan pembaikan moral.

Usaha PPT berdasarkan prinsip Deklarasi Universal Hak-Hak Rakyat diisytiharkan di Algiers pada 1976 dan instrumen antarabangsa utama melindungi hak asasi manusia. Piagam Algiers jelas menghubungkan prinsip umum perisytiharan untuk perjuangan pembebasan, yang mana Resolusi 1514 (XV) PBB pada 14 Disember 1960 diletakkan di bawah perlindungan undang-undang antarabangsa, dengan pemahaman hak penentuan nasib sendiri tidak boleh diumumkan sebagai sudah dipenuhi dan tidak membabitkan hanya fasa politik dekolonisasi.

Ketika sidang Pertubuhan Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, Mac lalu, satu resolusi diperakui bersama menghantar wakil rasmi Misi Pencarian Fakta (FFM) ke Myanmar dan seterusnya menubuhkan FFM dianggotai tiga wakil terdiri daripada pakar hak asasi manusia yang diperakui antarabangsa dari Sri Lanka, India dan Australia.

Suu Kyi tolak usaha PBB

Kekecewaan mendalam dalam kalangan komuniti hak asasi manusia terserlah apabila pemimpin de facto Myanmar dan Penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi berulang kali menolak secara terbuka usaha PBB mencari kebenaran mengenai penindasan, pencabulan dan keganasan melampaui nilai kemanusiaan dan jenayah hak asasi manusia peringkat antarabangsa di wilayah Kachin, Shan dan Rakhine.

PPT yang akan diadakan di Kuala Lumpur, sebagai sebuah badan bebas daripada mekanisme keadilan global dan mekanisme tadbir urus PBB akan terus mendengar serta mengumpul luahan dan keterangan dari mangsa etnik minoriti Myanmar. Pandangan dan penilaian profesional terhadap laporan pakar hak asasi manusia yang berpengalaman turut dibentangkan kepada PPT.

PPT kemudian akan memaklumkan pandangan awam dalam ASEAN dan selainnya serta mengemukakan pendekatan konkrit yang masih boleh diterima pakai PBB, ASEAN dan OIC serta usaha pihak kerajaan sebagai langkah mengurangkan kesengsaraan etnik minoriti di Myanmar.

Dijangka pada akhir sesi penutup PPT, sekumpulan panel juri terdiri daripada tokoh ternama pelbagai bidang akan turut membentangkan hasil penemuan mereka kepada awam. PPT ini juga akan kemukakan 'penghakiman' dan syor serta bukti diterima kepada wakil FFM.

Adalah menjadi harapan tinggi bahawa penemuan PPT nanti akan mencetuskan tindakan kerajaan, kumpulan masyarakat dan individu supaya keamanan dan keselamatan dapat dikembalikan kepada masyarakat etnik minoriti di Myanmar yang menderita berdekad-dekad melalui kekejaman rejim tentera Myanmar.

Mulai sekarang hingga permulaan sesi PPT pada pertengahan September nanti, jawatankuasa pelaksana PPT di Kuala Lumpur akan menganjurkan perbincangan dan forum di Malaysia dan juga di negara ASEAN. Ini bertujuan mendidik organisasi masyarakat sivil, pengamal media, ahli akademik, ahli politik, pegawai kerajaan dan orang awam keseluruhannya berkaitan situasi yang semakin meruncing terhadap masyarakat Rohingya, Kachin dan juga etnik minoriti lain di Myanmar.

PPT berhasrat membuat rayuan penting kepada warganegara dan organisasi masyarakat sivil serta rangkaian dalam wilayah ASEAN serta di mana sahaja untuk membantu hentikan penganiayaan dan jenayah terhadap kumpulan komuniti etnik dan agama di Myanmar.

Secara jangka panjangnya, hasil tribunal ini diharap dapat memperkasa gelombang organisasi masyarakat sivil antarabangsa bagimengheret mereka yang bertanggungjawab melakukan kekejaman dan kezaliman terhadap etnik minoriti di Myanmar.

Usaha PPT, sekalipun tidak mengikat secara undang-undang, tetap berpotensi sebagai kuasa moral dan mempengaruhi mobilisasi kempen menyelamatkan kaum yang diisytiharkan sebagai 'kaum minoriti paling ditindas di dunia' oleh PBB dan masih belum dibela seadilnya.

# Penulis antara anggota pasukan peguam CENTHRA yang menyelidik dan mencari fakta mengenai bukti kekejaman terhadap masyarakat Rohingya untuk dikemukakan kepada PPT.

Penulis adalah Peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Berita Harian X