Rabu, 13 September 2017 | 7:10am

Imunisasi elak penyakit berbahaya

MALAYSIA adalah antara negara membangun yang menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik dunia. Perkhidmatan itu disalurkan menerusi subsidi maksimum di hospital kerajaan di seluruh negara.

Kesungguhan menyediakan perkhidmatan terbaik ini memberi peluang semua peringkat masyarakat menikmatinya dengan sempurna.

Perkhidmatan berkualiti ini juga menjadi penanda aras kepada kecekapan pentadbir dalam menguruskan dana secara lestari.

Pada tahun lalu, kerajaan dalam laporan belanjawannya mengumumkan peruntukan berjumlah RM25 bilion bagi tujuan itu, sekali gus meningkatkan kualiti kesihatan rakyat sepanjang tempoh 2017.

Satu peruntukan besar berbanding populasi berjumlah 31 juta. Daripada jumlah berkenaan, dianggarkan sejumlah RM4 bilion disediakan untuk bekalan ubat dan vaksin.

Usaha meningkatkan kualiti kesihatan rakyat perlu dilaksanakan secara khusus dengan memberi penekanan kepada penjagaan menyeluruh pada peringkat awal kelahiran.

Statistik mencatatkan, jumlah kohort kelahiran kebangsaan dianggarkan sekitar 450,000 hingga 480,000 setahun.

Golongan ini memerlukan penjagaan rapi bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan holistik daripada sebarangan jangkitan penyakit yang boleh membawa maut.

Jumlah kes kematian dalam kalangan kanak-kanak berusia di bawah 15 tahun boleh dielakkan dengan pemberian vaksin tambahan sebagai tambahan kepada vaksin sedia ada.

Amerika, Eropah, Singapura wajibkan suntikan

Namun, dalam usaha menaiktaraf perkhidmatan sedia ada ini, terdapat juga segmen perkhidmatan yang memerlukan perhatian yang khusus.

Sebagai contoh, vaksin pneumokokal untuk bayi berusia dua bulan ke atas untuk empat dos memberi perlindungan kesihatan sepanjang hayat.

Ini terbukti di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah termasuk Singapura sudah mewajibkan vaksin ini sejak lebih 10 tahun lalu.

Pemberian vaksin itu secara klinikal membuktikan berlaku penurunan kes invasive pneumococcal infection, iaitu lebih daripada 90 peratus.

Kuman pneumokokal terdapat di seluruh dunia tanpa mengira iklim negara berkenaan atau tahap sosial termasuk di Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan satu juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun mati akibat jangkitan kuman pneumokokal setiap tahun.

Risiko tertinggi jangkitan pneumokokal ini adalah dalam kalangan anak kecil serta orang tua yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah. Dua jangkitan yang sangat kritikal disebabkan oleh kuman ini adalah meningitis (jangkitan selaput otak) dan pneumonia (jangkitan para-paru).

Potensi cacat otak kekal

Kuman pneumokokal ini sangat cepat merebak di dalam anggota badan dan jika lambat dirawat berpotensi menyebabkan anak menjadi amat tenat dan kritikal.

Pengalaman sebagai pakar pediatrik neurologi merawat kanak-kanak yang dijangkiti meningitis pneumokokal menyaksikan mereka datang dengan demam tinggi, sawan atau koma.

Kajian klinikal membuktikan penyakit meningitis boleh menyebabkan punca kematian sehingga 10 peratus. Dianggarkan juga 25 peratus daripada mereka berpotensi mengalami kecacatan otak kekal kesan serangan berkenaan.

Bagi kes yang serius, pesakit perlu menjalani rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan kos rawatan dianggarkan di antara RM1,000 hingga RM1,5000 sehari. Kadar semasa tidak termasuk kos bekalan ubat.

Tempoh rawatan di ICU pula meliputi tempoh selama berminggu-minggu serta perlu menjalani pembedahan otak bagi mengeluarkan nanah atau merawat hydrocephalus (lebihan air di dalam otak) akibat jangkitan kuman yang serius ini.

Secara hoslistik, kerajaan terpaksa menampung kos rawatan yang tinggi dengan prosedur ICU, keperluan pemantauan doktor pakar dan perbelanjaan tambahan keluarga sepanjang tempoh rawatan anak masing-masing.

Namun, sehingga kini, vaksin utama yang berupaya mencegah jangkitan meningitis ini masih belum dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), walaupun pelbagai pihak sebelum ini sering menyarankan supaya berbuat demikian.

50 negara laksana suntikan vaksin pneumokokal

Sebagai pengamal perubatan, adalah menjadi harapan saya supaya kerajaan mengkaji dan seterusnya menambah baik perkhidmatan sedia ada dengan memasukkan vaksin pneumokokal sebagai sebahagian daripada program NIP.

Pelaksanaan ini terbukti melindungi kanak-kanak daripada serangan penyakit berbahaya seperti meningitis dan peneumonia.

Kedua-dua bentuk serangan berkenaan terbukti mengakibatkan komplikasi kepada kanak-kanak yang sering dilaporkan di semua hospital kerajaan, mahupun swasta.

Pemberian vaksin pneumokokal pastinya tidak membebankan kerana inisiatif itu sebagai jaminan untuk generasi muda hari ini yang juga pelapis pemimpin akan datang menikmati kehidupan lebih sihat.

Vaksin pneumokokal, kini sudah dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan di lebih 50 buah negara yang terdiri dari negara maju serta membangun seperti yang disyorkan oleh WHO.

Malaysia sebagai negara dengan wawasan menjadi negara maju menjelang 2020 dapat menyalurkan perolehan pendapatan dengan memasukkan vaksin pneumokokal sebagai vaksin wajib menerusi NIP.

Penulis: Pakar Perunding Pediatrik dan Neurologi yang juga Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

177 dibaca
Berita Harian X