Khamis, 14 September 2017 | 10:20pm
PENCARI kerja juga boleh hadir ke Karnival Kerjaya. - Foto fail NSTP/Rohanis Shukri

Ilmu kerjaya prasyarat pekerja berjaya

MENJADI kelaziman bagi belia tidak kira lepasan sekolah, lepasan institusi pengajian, pencari kerja mahupun yang sedang bekerja menginginkan pekerjaan mudah dengan upah lumayan.

Golongan ini tertarik dengan tawaran pekerjaan yang menjanjikan bayaran tinggi dan tidak memerlukan prosedur pengambilan yang sukar. Namun, kebanyakan pencari kerja di negara ini tidak tahu saluran pencarian pekerjaan boleh dipercayai dan aspek yang perlu dilihat sebelum menerima tawaran sesuatu pekerjaan.

Jabatan Tenaga Kerja, sebuah jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui JobsMalaysia menawarkan perkhidmatan pekerjaan secara percuma dan berperanan sebagai hab pekerjaan untuk rakyat Malaysia dengan memberi keutamaan peluang pekerjaan dalam semua sektor kepada warganegara.

Peranan ini selaras dengan Employment Service Convention No. 88, 1948, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menghendaki perkhidmatan pekerjaan kepada semua warganegara disediakan secara menyeluruh, terangkum dan percuma.

Bagi maksud itu, pencarian pekerjaan boleh dilakukan secara atas talian di portal JobsMalaysia di alamat www.jobsmalaysia.gov.my dengan mendaftar sebagai pencari kerja dan memasukkan maklumat yang diperlukan.

Tawaran kekosongan kerja disahkan kesahihan

Perkhidmatan ini juga boleh didapati di 18 JobsMalaysia Centre (JMC) dan 62 JobsMalaysia Point (JMP) di seluruh negara. Sembilan JMC beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan dua JMC di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), manakala JMP beroperasi di Pejabat Tenaga Kerja Negeri dan Cawangan.

Selain itu, pencari kerja juga boleh hadir ke Karnival Kerjaya seperti Program Train Ride dan JobFair@UTC serta temu duga terbuka anjuran JobsMalaysia secara berkala di semua JMC di seluruh negara.

Kesemua tawaran kekosongan pekerjaan melalui JobsMalaysia disahkan dari segi kesahihan tawaran, kesahihan majikan, terma-terma asas perkhidmatan dan kadar upah yang tidak kurang daripada kadar gaji minimum ditetapkan.

Maklumat pencari kerja yang ditempatkan dalam pekerjaan melalui JobsMalaysia akan direkod dan ini memudahkan pencari kerja terbabit untuk merujuk kepada JobsMalaysia mengenai tawaran pekerjaan yang diterima. Perkhidmatan nasihat kerjaya termasuk tip temu duga, penyediaan menulis resume dan pengenalan awal kepada dunia kerjaya turut ditawarkan oleh JobsMalaysia.

Peranan JobsMalaysia tidak terhad kepada satu kumpulan masyarakat namun meliputi semua warganegara secara inklusif, iaitu lepasan graduan, sekolah serta golongan tenaga kerja seperti orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesara, gelandangan, bekas banduan, bekas penagih, miskin tegar, golongan tercicir persekolahan dan sebagainya.

Justeru, JobsMalaysia membentuk jaringan kerjasama secara berstruktur dan strategik dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, kolej, universiti, agensi pekerjaan swasta, persatuan majikan dan pihak industri serta koridor ekonomi bagi mengenalpasti peluang pekerjaan dalam pasaran kerja untuk dimanfaatkan rakyat.

Selain JobsMalaysia, perkhidmatan pekerjaan sama ada secara berbayar atau percuma juga ditawarkan oleh agensi pekerjaan swasta yang berlesen di bawah Jabatan Tenaga Kerja.

Adalah penting bagi pencari kerja memastikan agensi pekerjaan itu mempunyai lesen sah bagi mengelak sebarang eksploitasi ke atas pencari kerja sama ada oleh majikan yang menawarkan pekerjaan atau agensi itu sendiri.

Antara aspek utama yang perlu diketahui dan diambil maklum pencari kerja dalam menerima tawaran pekerjaan ialah perihal kadar gaji minimum seperti ditetapkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta MPGN).

Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) berkuatkuasa pada 1 Julai 2016 menetapkan kadar gaji minimum dan penguatkuasaannya dilaksanakan Jabatan Tenaga Kerja melalui pemeriksaan berkanun ke atas premis pekerjaan serta pengendalian kes aduan dan kes buruh yang difailkan pekerja.

Pekerja yang dibayar kurang daripada kadar gaji minimum boleh buat aduan atau menuntut bayaran perbezaan kadar gaji dengan memfailkan kes di Pejabat Tenaga Kerja berdekatan.

Pencari kerja perlu prihatin mengenai syarat dan terma pekerjaan yang ditawarkan sebelum bersetuju dengan sesuatu tawaran.

Lazimnya, perkara sedemikian digariskan di dalam surat tawaran atau kontrak pekerjaan. Tetapi, perlu diingatkan, penyediaan kontrak pekerjaan secara bertulis bukan satu kewajipan sekiranya pekerjaan ditawarkan tidak bertempoh.

Penting celik ilmu kerjaya, perburuhan

Aspek lain yang perlu dilihat, termasuk masa kerja, peruntukan cuti tahunan dan cuti sakit, kadar bayaran kerja lebih masa (jika terpakai), terma berhubung penamatan pekerjaan dan perkara lain seperti diperuntukkan Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67).

Bagi memastikan hak pekerja dan pencari kerja terlindung serta mengelak eksploitasi pekerja berlaku, adalah penting bagi pekerja dan pencari kerja celik dalam ilmu kerjaya dan perburuhan. Ini turut membolehkan kualiti pekerjaan di Malaysia ditingkatkan, sekali gus meningkatkan taraf hidup pekerja.

Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia sebagai agensi utama di Malaysia yang menerajui perkhidmatan pekerjaan dan penguatkuasaan perburuhan sedia menawarkan khidmat nasihat dan memberi pendidikan perburuhan kepada semua rakyat Malaysia.

Marilah sama-sama kita celik ilmu kerjaya dan berjaya sebagai pekerja.

Penulis ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia

208 dibaca
Berita Harian X