Isnin, 25 September 2017 | 10:16am

5k tiang seri manifestasi bandar ilmu

Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik & Perhubungan Korporat) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Apabila Menteri Besar Johor menzahirkan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan pekan Parit Raja, Sri Gading dan Panchor, Pagoh setaraf bandar Universiti Oxford di United Kingdom, sudah pasti idea ini mesti dicerna dengan baik dan tindakan segera berkaitan diambil.

Melihat perkembangan transformasi bandar ilmu lain seantero dunia kesan perkembangan kepesatan universiti, misalnya Oxford, Heidelberg, Montpellier dan Salamanca, menjadi bukti bahawa universiti di Malaysia juga memiliki amanah yang mesti dilunaskan. Komitmen segenap pihak meliputi universiti dan pemimpin masyarakat setempat yang berkaitan mesti digembleng kemas secara kolektif agar yang berat itu sama dipikul dan ringan sama dijinjing.

Terus diusahakan demi muafakat bermanfaat. Hari ini, pekan Parit Raja sahaja jumlah pelajar UTHM mencecah angka sekitar 13,000 orang, manakala kumpulan sulung UTHM di kampus baharu Pagoh sekitar 4,000 orang. Jelas, pelbagai impak kuasa pengganda sosioekonomi begitu melebar.

Pengalaman penulis yang memulakan pengajian pada 1997, kumpulan pertama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk program Sarjana Muda di Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO), masih segar dalam ingatan begitu nyaman atmosfera di pekan Parit Raja.

Bukan sahaja suasana kampus yang tenang, jalan yang masih lengang, kedai makan dan pasar raya juga masih boleh dibilang. Terkini, 14 September 2017 pekan Parit Raja mencatat sejarah baharu dengan pembukaan rasmi TESCO Parit Raja, iaitu rangkaian Pasaraya TESCO ke-57 di Malaysia, yang ke-8 di Johor dan di daerah yang ke-3 selepas Johor Bahru dan Kulai, menyaksikan hampir 150 peluang pekerjaan baharu dibuka untuk masyarakat sekitar.

Pertimbangkan lima K

Selepas hampir 20 tahun, selepas seketika berkelana di bumi Bangi dan Uxbridge, penulis masih di sini, meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa demi alma mater ini, yang bukan hanya memberikan segulung ijazah, tetapi yang mendidik akal budi. Justeru, untuk terus berkembang sebagai sebuah bandar ilmu, pertimbangkan lima K berikut sebagai rukun manifestasi bandar ilmu, iaitu Keilmuan, Kebersihan, Kesukarelawanan, Keselamatan dan Kesopanan.

Keilmuan

Di Bandar Ilmu, budaya ilmu mesti menjadi teras kegiatan. Pembudayaan ilmu menerusi diskusi, sidang meja bulat, kumpulan fokus, seminar dan kursus antara universiti dan masyarakat mesti berkembang mekar.

Mahasiswa sebagai pemuda pemudi harapan bangsa

Apabila timbul isu membabitkan masyarakat setempat, pemimpin masyarakat dan ilmuwan di universiti mesti berganding bahu bermuzakarah mencari penyelesaian terbaik. Inilah nadi sebuah bandar ilmu. Perkembangan intelektual anak setempat juga akan terkesan jika pelbagai kegiatan yang membina minda dan sikap, giat dijalankan.

Kebersihan

Persekitaran yang bersih memberi gambaran terhadap tahap pemikiran masyarakatnya. Kebersihan adalah mengenai gaya hidup yang ringkas tetapi berkualiti, inilah masyarakat rendah karbon. Sebagai sebuah Bandar Ilmu, aspek kebersihan mestilah diutamakan dan budaya 3R (reuse, reduce, recycle) mesti diarusperdanakan oleh pihak universiti bersama pemimpin masyarakat setempat bandar ilmu seiring bersama kempen amalan gaya hidup sihat.

Kesukarelawanan

Kesukarelawanan itu tidak memiliki tanda harga, bukan kerana terlalu murah tetapi kerana tiada harga yang layak diletakkan. Bandar Ilmu mesti subur dengan aktiviti kesukarelawanan, memiliki masyarakat yang sentiasa ringan tulang. Mahasiswa sebagai pemuda dan pemudi harapan bangsa, kudrat dan pemikirannya sangat diperlukan masyarakat. Walau sesibuk mana di universiti, ingatlah bahawa akhirnya kelak mereka akan terjun bersama masyarakat untuk terus membawa manfaat.

Aktiviti kesukarelawanan berupaya membantu siswa dan siswi menajamkan kemahiran insaniah dan ini sangat berguna dalam menghadapi cabaran dunia VUCA (Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity) yang menggila.

Keselamatan

Universiti mesti lebih tuntas dengan turun padang membawa mesej positif soal keselamatan kepada masyarakat. Bagi UTHM yang menawarkan program kejuruteraan elektrik dan elektronik misalnya, amat baik jika diwujudkan skim sukarelawan untuk membantu penduduk kampung menyemak tahap keselamatan peralatan elektrik yang digunakan di rumah mereka. Ada masyarakat melakukan pendawaian secara haram, banyak juga di rumah yang hanya menggunakan wayar penyambung tanpa mengambil kira beban peralatan elektrik yang ditanggung. Dengan peranan seperti ini, budaya cintakan keselamatan dapat dikembangkan demi kebaikan bersama.

Kesopanan

Masyarakat yang sopan membawa mesej jelas bahawa mereka hidup dalam suasana dan persekitaran yang terpimpin. Masyarakatnya sangat bertimbang rasa di jalan raya, tidak semudah menekan hon apabila kenderaan sedikit perlahan keluar dari petak parkir. Komunitinya dengan sopan menghulur bantuan dan memberikan teguran terhadap apa yang silap, bukan semudah semua perkara diviralkan menerusi media sosial. Transformasi nilai diri masyarakat ini perlu dirangka pelan strategiknya agar perubahan bukan didorong oleh keterpaksaan, tetapi penuh ikhlas.

Akhirnya, hubungan antara universiti dan masyarakat itu umpama irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. Jika dipisahkan maka sumbang bunyinya. Universiti mesti terus komited untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat hingga impak kehadiran universiti berjaya menjelmakan persekitarannya sebagai bandar ilmu. Dengan iltizam yang menggunung, biar langkah dihayun seia dan sekata tanpa ada yang tersadung. Universiti dan masyarakat, biar tersimpul rapat penuh dengan muafakat.

Berita Harian X