Ahad, 14 Januari 2018 | 7:22am

Mewah di alam maya

'BALLIN' adalah perkataan separa rasmi Inggeris yang bermaksud bergaya, berkehidupan mewah dan meriah. Mungkin sejak kebelakangan ini ini saya banyak menonton video Instagram Caprice, atau mungkin 'wanita' ini membesar pada zaman kegemilangannya adalah ketika 4U2C berkumandang di radio seluruh negara.

'Ballin' yang cukup popular dalam kalangan anak muda sekarang adalah perkataan yang saya pilih untuk menerangkan suasana media sosial pada hari ini. Suatu ketika dahulu media sosial digunakan seperti namanya iaitu sebuah platform media untuk bersosial.

Banyak kisah penemuan cinta dan persahabatan yang berjaya dibentuk melalui platform media sosial. Pernah suatu ketika dahulu Friendster cukup popular di Malaysia kerana seperti namanya, ia digunakan untuk mencari kawan. Ia satu kemajuan dalam mencari sahabat baharu selepas era surat-menyurat ruang berkenalan di majalah URTV.

Namun, trend sekarang saya perhatikan media sosial lebih banyak digunakan sebagai ruang untuk penyebaran idea dan imej sama seperti televisyen tetapi dalam bentuk yang lebih peribadi dan dekat.

Sebagai manusia memang kita tertarik dengan benda cantik dan menarik, kita tidak terlepas daripada perasaan ini.

Apabila hendak memuat naik gambar, kita akan memilih gambar terbaik. Kita juga akan mengikuti mereka yang menampilkan perkara menarik; daripada gambar pemandangan indah, makanan enak hingga kucing comel yang berguling-guling. Ini perkara biasa dilakukan kita semua termasuk saya.

Platform jual kemewahan

Menyedari hakikat ini ada pula sebahagian pengguna media sosial yang menggunakan platform ini untuk menjual idea dalam bentuk kemewahan dan peragaan barangan berjenama.

Idea yang cuba dilontarkan 'inilah rupa kejayaan', bahawa kejayaan dan kemenangan datang dalam bentuk gaya hidup mewah dan peragaan barang berjenama.

Penjualan idea ini bukan sesuatu yang baharu. Kalau kita tonton muzik video hip-hop dan pop, sering imej yang dibawa penyanyi dan selebriti adalah dalam bentuk peragaan kemewahan atau dalam bahasa pasarnya 'ballin'.

Daripada Nicky Minaj hingga Britney Spears, penjualan idea bahawa kejayaan bererti kemewahan sering diperagakan dalam imej yang mereka bawa untuk menarik peminat khususnya anak muda. Hasilnya selebriti ini akan menjadi idola yang diklasifikasikan sebagai influencer atau mereka yang berpengaruh.

Pengaruh yang dibina, maka mereka akan memasarkan produk atau perkhidmatan dan ini adalah kaedah yang cukup efektif. Kaedah pemasaran ini kini menjadi ikutan di Malaysia, dapat kita lihat sejak kebelakangan ini ramai usahawan masa kini gemar memperagakan kemewahan mereka melalui media sosial.

Ada yang mengatakan ini adalah sifat riak yang suka menunjuk-nunjuk, tetapi saya melihat perkara ini dari sudut pemasaran. Kalau anda suka dengan barangan berjenama dan gaya hidup mewah diperagakan ini, anda haru mengikuti jejak langkah yang sama.

Dengan itu mereka dapat membentuk satu trend yang dapat mereka pengaruhi tidak kira dari segi penjualan idea, produk atau perkhidmatan. Ini bukan perkara yang salah mahupun licik, tetapi anggap ia sebagai antara strategi pemasaran.

Persepsi cetek

Apa yang membuatkan saya sedikit risau dalam penjualan idea bahawa kejayaan itu berlandaskan kemewahan dan kebendaan adalah ia mungkin membentuk persepsi yang cetek dalam kalangan anak muda kita.

Mana tidaknya, apa yang mereka lihat hanya perkara indah dan cantik, yang mereka tidak sedar di sebalik kereta, tas tangan dan percutian luar negara yang sengaja diperagakan adalah usaha keras, risiko yang dihadapi dan kadang-kadang hutang yang terpaksa ditanggung.

Setiap kejayaan ada harga yang perlu dibayar dan sebahagian besar daripada harga itu datang bukan dalam bentuk wang ringgit. Mana mungkin seseorang usahawan berjaya kalau tidak berani mengambil risiko hutang, mana mungkin dia bijak berniaga kalau tidak pernah rasa kegagalan atau berada di ambang kemuflisan.

Masalahnya, anak muda tidak nampak perkara ini, mereka hanya nampak gaya hidup yang mewah 'ballin' dan mahukan perkara yang sama. Masalah dengan generasi media sosial ini ialah mereka ketagih dengan keseronokan segera.

Enggan tunggu lama

Jika ada sesuatu yang diidamkan, ia mesti diperoleh dengan segera, mereka tidak mahu tunggu atau meluangkan masa lama untuk mendapatkannya. Mungkin sebab ini mengapa video Instagram tidak melebihi seminit dan garis masa instastory dan snapchat beberapa saat sahaja.

Zaman internet yang serba pantas menyebabkan penumpuan generasi muda kini amat singkat seperti mereka mahu sesuatu perkara diterangkan dalam bentuk 140 atau 280 aksara ke bawah seperti di Twitter.

Dunia tidak seperti itu, kejayaan tidak datang bergolek dengan mudah pada masa singkat.

Di sebalik kekayaan yang ditayangkan di media sosial adalah bertahun-tahun usaha dan pengalaman dalam kegagalan serta risiko yang diambil. Di sebalik barangan mewah ditayangkan adalah hutang yang belum dijelaskan, cukai dan komitmen yang mesti dilangsaikan.

Perkara ini amat sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk video 15 saat atau satu gambar di Instagram.

Saya risau dengan generasi yang membesar dipengaruhi peragaan kemewahan dan kekayaan tanpa mereka menyedari kesusahan, kepayahan dan kadang-kadang, satu pengorbanan besar yang perlu dibayar.

Generasi yang mahukan kehidupan 'ballin' tanpa menyedari bahawa dalam setiap satu perkara itu ada harga yang perlu dilunaskan, takut-takut mereka tidak mampu untuk melangsaikannya kelak.

Penulis adalah Bekas personaliti TV

1220 dibaca
Berita Harian X