Sabtu, 28 April 2018 | 7:11am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Demokrasi, pilihan raya dan tanggungjawab warganegara

Pilihan raya ialah proses pemilihan barisan kepemimpinan, juga sebahagian daripada penentu masa depan negara dan proses yang perlu disertai serta diraikan semua warganegara yang layak.

Peluang untuk membuat pilihan ini tidak boleh disia-siakan dan dalam konteks pemilihan kepemimpinan bagi menggerakkan sistem demokrasi, pilihan raya juga kayu ukur kepada kejayaan atau kegagalan demokrasi.

Demokrasi seperti dikenali ramai ialah sistem berasaskan kepada pilihan yang dibuat oleh majoriti rakyat yang layak mengundi. Semakin tinggi jumlah pengundi yang melaksanakan tanggungjawab, semakin jelas sokongan terhadap barisan pemimpin yang dipilih.

Namun, semakin rendah jumlah pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi, semakin tidak jelas jumlah majoriti. Pada masa sama, kita juga amat memahami bahawa demokrasi mempunyai ideal dan prinsip mengenai kebebasan.

Sejarah demokrasi itu sendiri menunjukkan bahawa ia adalah mekanisme kepada penginstitusian atau pengiktirafan kepada hak dan kebebasan.

Mereka yang mendukung demokrasi hendaklah berkhidmat sebagai penjaga kepada keutuhan sistem demokrasi secara umum dan hendaklah menjaga kebebasan, demi kelangsungan sistem demokrasi itu sendiri.

Lantas, inilah prinsip yang dibawa oleh demokrasi seperti yang dibawa di negara yang mengamalkan demokrasi serata dunia.

Frasa ucapan Abraham Lincoln yang tidak dapat dilupakan mengenai sifat demokrasi ialah: "Demokrasi ialah kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat".

Walaupun demokrasi menginstitusikan kebebasan, adalah ironi kepada penginstitusian itu sekiranya idea kebebasan dilebarkan sehingga boleh membunuh demokrasi itu sendiri.

Berkaitan amalan kebebasan, ada yang berhujah bahawa hak untuk mengundi terangkum juga hak untuk tidak mengundi.

Hak untuk tidak mengundi

Hujah hak untuk tidak mengundi menggunakan konsep kebebasan menyuarakan pendapat, yang juga prinsip asas demokrasi, adalah termasuk juga kebebasan untuk tidak menyuarakan pendapat.

Namun, dalam konteks keberkesanan demokrasi, prinsip kebebasan untuk tidak menyuarakan pendapat tidak patut dipupuk sehingga boleh menyebabkan kematian kepada demokrasi itu sendiri.

Justeru, prinsip kebebasan yang dijamin oleh demokrasi tidak seharusnya dilebarkan sehingga menikam mati demokrasi itu sendiri.

Walaupun terdapat kelemahan tertentu dalam sistem demokrasi seperti demokrasi hanya mementingkan jumlah atau kuantiti bukan kualiti dan tiada penapisan dalam kriteria pemilih, (kecuali tapisan umur, seperti had umur mengundi tertentu), demokrasi diterima oleh sejumlah besar negara.

Demokrasi juga membuktikan kemampuannya memberi manfaat kepada banyak negara, termasuk membebaskan negara tertentu daripada penindasan.

Sehingga dibuktikan secara praktikal bahawa terdapat sistem lain yang lebih berkesan, maka demokrasi menjadi pilihan negara tertentu, mungkin dibuat atas dasar pengalaman sejarah pahit negara berkenaan seperti penjajahan atau kerajaan kuku besi.

Demokrasi yang diamalkan di negara kita dikenali sebagai demokrasi berparlimen secara perwakilan, adalah antara ciri-ciri demokrasi yang paling lumrah di dunia.

Walaupun asasnya sama dalam semua demokrasi, dalam konteks aplikasinya ia hendaklah berbeza antara negara disebabkan setiap negara mempunyai citra ketatanegaraan dan cita-cita sebagaimana yang ditetapkan dalam perlembagaan mereka sendiri.

Bagi Malaysia, kita bukan sahaja tidak mempunyai definisi mengenai demokrasi dalam perundangan negara, bahkan perkataan demokrasi juga tidak didapati secara harfiah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun begitu, ia tidak menafikan penerimaan kita kepada sistem demokrasi yang tatacara demokrasi berparlimen di negara kita difahami dengan merujuk ciri-ciri demokrasi seperti wujudnya sebuah suruhanjaya, Suruhanjaya Pilihan Raya dalam Bahagian VIII Perlembagaan Persekutuan.

Dengan adanya peruntukan itu, jelas kita juga mengamalkan electoral democracy yang selanjutnya membentuk representative democracy dengan pemilihan wakil rakyat, sama ada pada peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Kita juga mempunyai representasi yang dilantik atas kriteria khusus pada peringkat negeri dan Persekutuan dengan adanya Dewan Negara.

Mereka yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara hendaklah mereka yang telah memberikan "perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan Orang Asli." (Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan).

Mandat pemerintahan

Kemudian, dalam amalan atau pentadbiran yang ditunjukkan oleh pimpinan negara sebelum ini, wujud ruang terbuka untuk perbincangan dan menyuarakan pendapat kepada pimpinan negara.

Kita beralih pula kepada konsep participatory democracy dengan rakyat terbanyak diberikan peluang untuk menyuarakan pendapat dalam pelaksanaan kuasa oleh pihak kerajaan selepas mereka mendapat mandat pemerintahan melalui proses pilihan raya.

Untuk sesuatu sistem demokrasi berjaya, pilihan raya hendaklah menjadi pilihan raya bebas dan telus. Oleh itu, negara meluluskan pelbagai undang-undang untuk mengawal selia pelaksanaan pilihan raya, bermula dengan Perlembagaan dalam pelantikan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Perlembagaan menyatakan dengan jelas sekali mengikut Perkara 114 bahawa suruhanjaya berkenaan hendaklah mempunyai keyakinan awam.

Selain itu, kita dapati beberapa undang-undang seperti Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilhan Raya) 1981, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 serta beberapa undang-undang lain.

Kita juga tidak boleh lupa bahawa sistem demokrasi kita ialah demokrasi yang meletakkan institusi beraja pada suatu tempat yang strategik. Institusi ini diharapkan mampu untuk mengimbangkan suasana sukar, sekiranya timbul dalam sistem demokrasi.

Justeru, kedatangan pilihan raya kali ini perlu diraikan dengan menunjukkan kematangan kita sebagai warganegara Malaysia yang layak mengundi untuk melihat citra ketatanegaraan dan cita-cita negara tercapai.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Berita Harian X