Rabu, 11 Julai 2018 | 9:17am
SYED Saddiq Abdul Rahman dan Yeo Bee Yin.
SYED Saddiq Abdul Rahman dan Yeo Bee Yin.

Cabaran menteri muda penuhi aspirasi belia

PERCATURAN Kabinet oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak dipertanggungjawabkan mengetuai kerajaan pada 10 Mei lalu, menampilkan kejutan tersendiri.

Sebaik sahaja senarai penuh Kabinet dilengkapkan minggu lalu, seorang anak muda yang baru berusia 25 tahun dipilih menjawat jawatan menteri penuh, iaitu Syed Saddiq Abdul Rahman.

Syed Saddiq, juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memecah rekod jawatan menteri penuh termuda pertama di Malaysia. Sebelum ini, penyandang pemimpin paling muda dalam kerajaan disandang oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978.

Ketika itu, Najib berusia 25 tahun. Najib seterusnya menggalas tugas Menteri Belia dan Sukan ketika usia 33 tahun.

Selain Syed Saddiq, kerajaan hari ini turut menampilkan seorang lagi anak muda, Yeo Bee Yin daripada DAP. Beliau diberi kepercayaan menggalas tugas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar. Pentas politik Bee Yin, 35, bermula dengan penyertaan sebagai sukarelawan DAP. Kini beliau ialah Ahli Parlimen Bakri.

Berkelulusan jurusan kejuruteraan kimia dari University Teknologi PETRONAS dan University Cambridge, anak kelahiran Segamat, Johor ini sememangnya memiliki kelayakan akademik yang cukup untuk menggalas tugas sebagai menteri penuh.

Namun, cabaran dihadapi beliau sudah pasti terkait kepada beban tugasnya yang dilihat lebih besar berbanding menteri pada era kerajaan terdahulu. Di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, portfolio tenaga, teknologi dan sains serta perubahan iklim dan alam sekitar disatukan.

Cabaran getir

Sudah pasti ia mendatangkan cabaran cukup getir untuk Bee Yin, terutama dalam menghadapi beberapa isu besar seperti jerebu rentas sempadan, banjir kilat, tanah runtuh serta aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.

Tidak kurang juga, isu penyelidikan dan pembangunan (R&D) di institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak dipasarkan, walaupun kerajaan sudah menghabiskan jutaan ringgit bagi tujuan itu, namun hasilnya tidak dapat dioptimumkan.

Di antara kedua-duanya juga, nama Syed Saddiq paling banyak diperkatakan. Bukan kerana perwatakan sahaja, namun pengalamannya dalam politik yang belum menjangkau lima tahun menjadi 'perjudian' rakyat.

Pastinya, rakyat mengharapkan belia pada usia pertengahan 20-an ini mampu menggalas tugasnya. Ahli Parlimen Muar ini perlu membuktikan beliau boleh lakukan. Sekurang-kurangnya mesti dilihat setanding bekas Menteri Belia dan Sukan terdahulu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mendepani persekitaran politik semasa, dimensi anak muda mempunyai kepelbagaian. Bukan sahaja aspek pemikiran dan pandangan, malah minat dan gaya hidupnya. Ini menjadi tanggungjawab seorang Menteri Belia dan Sukan untuk memperhalusinya.

Tidak perlu bagi Syed Saddiq untuk memperkenalkan pelbagai perkara baharu di kementeriannya, merombak dasar terdahulu atau dilihat terlalu mengkritik dasar lama. Ini bukan apa yang diharapkan daripada beliau.

Pemilikan rumah belia

Masalah membelenggu anak muda kini jauh lebih kritikal. Antaranya, pertama, isu pemilikan rumah oleh belia.

Kajian Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia Kementerian Belia dan Sukan pada 2016, ke atas 1,875 responden belia berusia 21 hingga 40 tahun mendapati, majoriti daripadanya belum memiliki kediaman sendiri.

Antara yang mendorong berlaku situasi itu, termasuk faktor kos sara hidup tinggi yang menyumbang 97 peratus daripada dapatan kajian. Faktor lain, harga rumah mampu milik kurang (96.6 peratus); bayaran wang pendahuluan dan pemprosesan yang tinggi (94.7 peratus), bayaran ansuran bulanan yang tinggi (94.6 peratus) serta kadar faedah pinjaman yang terlalu tinggi iaitu 94.2 peratus.

Kedua, isu pengangguran. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia setakat April lalu menunjukkan biarpun kadar pengangguran negara berada pada paras 3.3 peratus, namun jumlah pengangguran dicatatkan setakat April lalu seramai 510,000, iaitu turun 0.4 peratus berbanding April 2017.

Jumlah yang terbabit ini sudah pasti majoritinya ialah belia.

Dari segi pengangguran siswazah pula, pada tahun lalu media memetik bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Idris Jusoh, menyatakan seramai 54,103 siswazah universiti menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian.

Jumlah ini besar, malah ia akan terus meningkat dengan pertambahan bilangan siswazah yang menamatkan pengajian setiap tahun.

Ketiga, pendapatan belia. Rekod Jabatan Perangkaan dikeluarkan pada Oktober tahun lalu menunjukkan, secara keseluruhan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata di negara ini menunjukkan peningkatan daripada RM3,578 pada 2014 kepada RM4,033 pada 2016, iaitu pertumbuhan 6.0 peratus setahun pada nilai nominal.

Di bandar, peningkatan pada kadar 5.8 peratus setahun daripada RM3,921 kepada RM4,402, manakala luar bandar, meningkat pada kadar 5.7 peratus setahun daripada RM2,431 kepada RM2,725 bagi tempoh sama.

Dari segi komposisi perbelanjaan bulanan, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain ialah penyumbang tertinggi kepada keseluruhan perbelanjaan penggunaan iaitu 24 peratus.

Diikuti kumpulan utama makanan dan minuman bukan alkohol (18 peratus); pengangkutan (13.7 peratus); dan restoran serta hotel, 13.4 peratus.

Data ini menunjukkan, jika masih ada belia memperoleh pendapatan isu rumah di bawah RM4,000 sebulan, mereka tergolong dalam kelompok yang sukar untuk menguruskan perbelanjaan sara hidup bulanan.

Atas faktor itulah, belia begitu kritikal terhadap kerajaan, terutama Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Penyelesaian menyeluruh

Tiga masalah ini perlu dipikul Syed Saddiq. Beliau perlu merangka penyelesaian menyeluruh dan bersifat jangka panjang.

Untuk itu, selain dari fokus meningkatkan keupayaan belia dan kebolehpasaran graduan, perkara yang terpenting ialah bagaimana KBS boleh bersama-sama dengan industri untuk mewujudkan peluang pekerjaan berstatus tetap yang signifikan terhadap persekitaran dan keperluan perbelanjaan belia.

Isu pekerjaan dan kos sara hidup begitu menghimpit belia pada masa kini. Malah, ia faktor yang menyebabkan anak muda perlu melakukan dua kerja dalam satu masa, tidak kurang yang tersenarai sebagai muflis.

Penyelesaian terbaik ialah menjana pekerjaan yang boleh memberi nilai tambah kepada belia seperti keupayaannya untuk melabur dan membeli hartanah.

Satu lagi aspek yang terpenting perlu diberi perhatian ialah dapatan daripada siri jelajah Program Transformasi Nasional 2050 (TN50). Sejak jelajah diperkenalkan, ia berjaya memperoleh 80,000 cadangan daripada belia.

Sebelum dirumuskan kepada tujuh aspirasi utama iaitu nilai murni, urus tadbir, persekitaran, pendidikan, pekerjaan, gaya hidup dan meletakkan Malaysia pada pentas global.

Setiap dapatan daripada jelajah TN50 perlu terus diperhalusi, seelok-eloknya dilaksanakan secara berperingkat. Bukan kerana ia idea BN, sebaliknya yang terpenting, setiap cadangan dizahirkan berpaksi kepada hati nurani dan kehendak belia masa kini.

Berita Harian X